top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

CIRI-CIRI GURU YANG AKAN TURUN MOGOK oleh Izzah Dejavu

JAM 5.37 petang, angka petisi 351, 382 pempetisyen telah menandatangani petisi bagi menuntut YB Maszlee Malik kekal sebagai Menteri Pendidikan Malaysia. Sudah lepas satu hari, barangkali angkatan parlimen lantikan politik tingkat 18 sudah habis mengemas barang dan selfie terakhir. Mengucup pipi kiri kanan dengan olesan lipstick merah yang sengaja dibeli untuk melangkah seperti orang-orang besar dalam kerajaan Malaysia dengan angkuh tetapi ingin berpura sederhana dan rendah hati.

Tapi sayang, dari 351, 382 orang, tiada seorang yang ke depan merasakan perlu untuk membawa idea petisyen ke realiti atau benar-benar serius ke depan memperjuang keyakinan dan keberanian atau mencabar ‘real politik’ bahawa mereka adalah rakyat yang bebas dalam memilih dan menyatakan pendirian. Bahawa ini pilihan rakyat. Belum, belum ada yang tampil radikal, keras dan melawan saat tulisan ini dimuatnaik kecuali ajakan kecil guru-guru untuk mogok yang entah bakal bersahut atau tidak.

Tapi ini adalah ciri-ciri guru yang akan mogok lakukan sesuatu selain mengomel dan marah-marah di media sosial;

1. GURU-GURU YANG ADA KEMAMPUAN MORAL

Kemampuan moral adalah kemampuan berkata benar dan berdiri dalam garis moral universal dengan prinsip kemanusiaan bahawa yang salah, mesti dikata salah. Dan yang benar, mesti dikata benar. Kemampuan moral tidak hadir dengan kemarahan tanpa asas, tetapi kejujuran menyatakan dan membela kebenaran. Setelah guru punya kemampuan moral yang menjamin keberdayaan jiwa dan kemampuan hati untuk menanggung beratnya beban moral dalam pemikiran masyarakat-guru akan menjadi ajen penggerak ditempatnya.

2. GURU-GURU YANG PUNYA KEBERANIAN MORAL

Keberanian moral lahir dari jiwa dan semangat besar. Keberanian tanpa kebijaksanaan tidak mendatangkan apa-apa. Bijak dalam mengatur langkah, bijak dalam menyusun pemikiran masyarakat, bijak dalam mengurus konflik, bijak dalam menyatukan dan menghargai perbezaan adalah nilai mahal dalam mempertahan keberanian moral dalam tuntutan keberpihakan. Tanpa keberpihakan, guru tak akan ke mana-mana.

3. GURU YANG MEMILIKI KEMAMPUAN INTELEK

Apalah makna keberpihakan kalau guru tak punya kemampuan intelek yang jelas tentang apa, kenapa, mengapa dan bagaimana. Setiap guru yang lahir dalam kejelasan pemikiran akan pentingnya mengambil pihak dalam setiap hal anak bangsa- akan sentiasa mengambil sisi bertanggungjawab untuk sentiasa membezakan yang hak dan batil.

Namun ini cuma coretan pembakar semangat untuk mereka yang bersedih. Yang sebenar guru-guru yang benar memiliki ciri ini tidak akan turun mogok; kerana kita tahu pesan kemanusiaan terlalu menakutkan di tangan penguasa. Seperti kata sasterawan Usman Awang saat ditanya kenapa beliau komited dalam menjadi seniman dan aktivis seni tentang kenapa DIA TIDAK MENJADI AHLI POLITIK-

‘Saudara fikir apakah semua orang masuk parti itu komited kepada masyarakat. Dan saudara tahu berapa banyak orang masuk parti politik yang komited dengan diri sendiri dan perut sendiri’

Atau perut kawan-kawan-

Tapi tidak mengapalah,

Tidak ada jabatan di dunia ini yang perlu dipertahankan mati-matian.

-KH ABDURRAHMAN WAHID

12 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page