Oleh L.
AKU melihat butir - butir nasi jatuh ke atas meja. Seperti tasbih yang terputus tali, butir - butir nasi itu terus terhempas ke atas meja. Tiada zikir keluhan yang aku dengar daripada mana - mana sang pemangsa. Aku merasakan ada rembesan liur sedang memukul dinding mulut dan menghempas landai lidah. Semacam ada tsunami sedang meranap bumi. Aku mengetap bibir menyimpan malapetaka dari dalam sini lalu aku menjerit pada Tuhan, agar butir nasi tak jatuh ke meja lagi.
Aku kecilkan mata macam seorang kakek sedang membaca surat khabar (yang tarikhnya entah bila) tanpa kaca mata. Mata aku bergetar dan jiwaku berdebar. Ada seorang pembunuh upahan sedang menyiat hati lalu dia gigit - gigit. Kemudian, dia rentap jantungku dan biarkan jatuh tergeletak. Kalau aku lihat ke dalam - aku yakin jantungku sudah tiada. Sudah tenggelam dalam lautan perutku sendiri. Ada sebutir nasi di tepi bibir si perempuan bermata bundar dan beralis tebal - katanya - diambil daripada ibu tapi aku tak menolak kemungkinan yang ia palsu. Aku menyaksikan butir nasi sedang merintih di tepi bibir, mahu diselamatkan tetapi kematiannya sudah hampir. Aku memegang dada mencari kalau jantungku masih ada lalu aku menjerit pada Tuhan, agar butir nasi terselamatkan.
Aku menghela nafas. Ada larian berpuluh kilometer yang aku sertai. Manik - manik peluh seperti rantaian mutiara yang disusun sebelum menjadi seutas rantai indah. Atau gelang. Atau gelang kaki. Aku menjengah dari daun pintu. Ada Cikgu S sedang mundar mandir. Matanya menyala dan mulutnya terkumat kamit (macam seorang bomoh Siam sedang membuang sial). Dia pandang mataku dan aku larikan lirikan. Takut.
Dengan mod gerak perlahan - aku angkat kepala.
'Mahu makan?!'
Aku tersenyum. Aku saksikan fragmen - fragmen bahagia sedang menyampaikan berita gembira. Hatiku menguntum mawar merah melihat makanan percuma tak disentuh si penerima. Mungkin mereka sudah berharta. Mungkin mereka sudah bawa bekal dari rumah. Atau - Mereka sudah jemu.
Lihat - aku takkan biarkan butir nasi terhempas lagi.
Comments