top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

BUDAYA MENGEMBEK DI DALAM KAMPUS

Oleh: Basri M.


“Kalian pemuda kalau tidak punya keberanian sama saja dengan ternak, karena fungsi hidupnya hanya menternak diri sendiri sahaja”

(Pramoedya Ananta Toer)


Istilah budaya menurut kamus dewan membawa maksud kebudayaan keseluruhan cara hidup (yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan, dan berfikir) serta segala hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tamadun, peradaban, kemajuan (akal budi). Mengembek pula merupakan suatu istilah yang penulis sandarkan pada perilaku mereka yang suka mengikut sesuatu figura, fahaman, kelompok, perkumpulan, dan parti secara membabi buta tanpa ada fikiran yang bersifat kritis, reflektif dan analitikal. Kampus kita umum sudah mengetahui merujuk kepada sesuatu institusi Pendidikan peringkat tinggi.


Pasca 9 Mei telah mengubah beberapa aspek didalam kehidupan bernegara masyarakat secara umum. Antara perubahan yang paling terkesan adalah berlakunya pertukaran tampuk kepimpinan pemerintahan. Namun didalam keasyikan ini tampaknya ada beberapa ketul bongkah batu dipinggir sungai yang masih tidak bergerak dibawa arus perubahan. Bongkah-bongkah kecil ini yang jika tidak dialihkan maka akan menutupi ruang-ruang kita berfikir, kelakuan, cara tindak ke arah yang lebih baik. Fokus perbincangan yang ingin disentuh oleh penulis sudah semestinya perihal kemahasiswaan dan kampus.


Mahasiswa adalah antara segmen yang paling fragile didalam negara. Mereka tiada apa-apa melainkan sikap, kehendak dan idealisme. Bak kata Tan Malaka;”idealisme adalah kemewahan terakhir yang hanya dimiliki oleh pemuda”. Didalam lipatan sejarah kita telah lihat beberapa wajah mahasiswa terutamanya mereka yang self-proclaimed bahawa mereka adalah pemimpin mahasiswa tidak bersikap mandiri. Hal ini berlaku sama ada pada pemerintahan kerajaan Barisan Nasional mahupun zaman kerajaan Pakatan Harapan kini. Seringkali kita dapat menyaksikan wajah-wajah mahasiswa yang menempel bersama pak-pak Menteri mahupun politikus yang ‘mengembala’ mereka.


Pecahan kecil kononnya pemimpin mahasiswa ini lebih seronok untuk menghadiri majlis makan malam di hotel bersama menteri. Berdiskusi tentang ekonomi dunia dengan politikus yang kelayakan akademik hanya peringkat SPM sahaja. Berprogram dan selfie bersama menteri dengan berkot hitam dan berkasut kulit di Putrajaya. Yang penuh ironi adalah membincangkan penubuhan Student Union dengan perasmian program oleh Pak Menteri Pendidikan dan Hal Ehwal Pelajar. Mengelirukan sungguh!


Rentetan hal ini akan melahirkan watak minda tertawan sepertimana yang disebut oleh almarhum Prof Syed Hussein al-Atas dalam magnum opusnya ‘Intelektual Masyarakat Membangun’. Antara simptom watak minda tertawan yang berjaya didiagnosis pada mahasiswa-mahasiswa ini adalah (1)sikap atau sifat peniruan, tidak kritis (2) Tidak dapat menimbulkan persoalan baru dalam lingkungannya (3)Tidak pernah membantah apa-apa sahaja yang disajikan kepada mereka dan (5) watak minda tertawan ini tidak tahu dan tidak menyedari bahawa mereka tertawan dan ini adalah masalah besar.


Budaya mengembek ini selamanya akan wujud didalam kampus. Ia bukanlah soal batang tubuh mahasiswa itu tetapi ia adalah suatu sifat yang kita ternak dan bela didalam diri kita. Budaya epidemik ini pernah dan akan terus-terusan menjangkiti mahasiswa pro-PH, pro-PAS, pro-UMNO, dan mahasiswa non-partisan.

17 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page