Oleh W.N Khuzairey.
SAYA punyai seorang kenalan, tubuhnya tegap, rambutnya tersisir rapi dan hobinya pula gemar menonton siri-siri ceramah di youtube oleh penceramah-penceramah, selebriti, ustaz-ustaz, mahupun akademia dari Malaysia. Dia tidak pernah gagal untuk menceritakan segala isi ceramah yang ditonton ketika kami melepak di restoran. Kadangkala terlihat pesimis, ada masanya rasis, ada masa penuh dengan dongengan melangkaui logik seorang manusia dan kadangkala ada masanya penuh isi kritis. Ini menyedarkan saya bahawa ledakan teknologi hari ini membantu manusia untuk melihat apa saja perkara yang mereka mahukan tanpa ada batasan.
Menyentuh soal isi ceramah, saya pernah dengarkan siri ceramah yang disampaikan oleh Dr Fahrudin Faiz dengan tajuk 'Ngaji Filsafat Ibnu Tufail dengan akal mampu menemukan Tuhan'. Ceramah ini sepertinya disampaikan dan direkod dalam sebuah masjid selepas waktu Isyak di Indonesia. Jujurnya, saya terkejut sekalian hairan, ini jarang sekali berlaku di Malaysia yang belum pernah ada siri ceramah mesjid yang bicara soal filsafat apatah lagi di video-video youtube kita. Ternyata ini menjadi satu pengalaman segar bagi saya,lantas terus menarik minat untuk terus mendengar ceramah online.
Ceramah itu sememangnya penting, kerana fungsinya untuk menyedarkan, mencerahkan, memupuk nilai murni juga melahirkan pemikiran kritis dalam kalangan masyarakat. Namun, kejanggalan berlaku bila koleksi ceramah yang dilambakkan di youtube oleh penceramah tempatan jauh dari fungsi sebenar ceramah. Videonya tidak memupuk nilai, tidak mencerahkan, apatah lagi memupuk semangat pemikiran kritis malah memesongkan, membawa manusia ke dunia lain yang penuh imaginasi, khayal, nektofilia dan macam-macam lagi.
Sebenarnya inti yang sebegini patut kita bimbangkan, kerana bagi kita bila ia dipanggil “ceramah” maka ia membawa satu pandangan baik, walhal tak semua ceramah yang dihidangkan itu baik kerana sebahagian dari 'ceramah' juga mampu mengherot pemikiran dan tindakan manusia melangkaui sifat kemanusiaan.
JENIS-JENIS CERAMAH MERAPU.
Sepanjang pengalaman saya menonton ceramah di platform online, dapat saya kategorikan ceramah ini kepada tiga jenis. 1) Sejarah jadi dongeng; 2) Sains jadi khayalan; 3) Amukan jadi sandaran.
Sekarang ini terbit banyak penceramah yang kononnya cuba merungkai sejarah yang terpendam atau disembunyikan. Bunyinya garang dan mengghairahkan. Sepertinya sudah ada usaha untuk memperkenalkan sejarah dari bawah. Tapi bukanlah dari kaca mata sarjana seperti Vijay Parshad mahupun Howard Zinn yang mahukan sejarah itu ditulis dari kaca mata orang tertindas, yang lemah, mahupun diperbudakkan.
Isi sejarah yang disampaikan penuh dongengan tanpa ada kajian rapi malah penuh spekulasi lalu akhirnya membawa kepada romantisasi. Pernah saya dengarkan siri sejarah tentang keagungan orang Melayu juga empayar Melaka. Dikatakan mereka pakar melakukan semua perkara lalu dikatakan sebagai bangsa yang hebat. Analisis seperti itu menonjolkan jelas bahawa disiplin sejarahnya lemah, penuh penceritaan tanpa ada fakta mahupun sumber yang kuat.
Saya tidak nafikan bahawa argumen ini mahu mengangkat semangat nasionalis dalam kalangan Melayu, namun kadang-kadang ia menjadi narsistik dan romantis. Di satu sisi mereka membentangkan hujah dengan fakta lemah, di satu sisi lagi ada sebahagian yang mendengar merasakan diri mereka superior dari bangsa lain sehingga terus ada sentimen-sentimen yang buruk seperti perkauman dan sebagainya. Adakah dengan merasa hebat dan kuat dari orang lain, dapat kita mengangkat taraf sosial masyarakat dengan lebih tinggi? Atau sekadar menjadi kisah dongeng sebelum kita tidur?
Pernah juga saya dengar seorang Ustaz yang membentangkan argumen mengatakan, 'Raja dahulu menggunakan mahkota bukan tanjak' lalu memetik isi buku Tajus salatin. Saya hairan kerana Tajus salatin tidak menceritakan soal mahkota, ia menggariskan soal keadilan. Tidak pula mereka membentangkan perihal keadilan dan moral kerana topik itu lebih membangkitkan semangat manusia untuk lebih menjadi “manusia”.
Itu belum lagi ceramah dari ustaz-ustazah yang mengaitkan sejarah dunia dengan agenda iluminati ataupun freemason. Hasilnya manusia jadi mengecil. Takut tak tentu pasal, runtuh harapan terhadap masa depan dengan alasan semuanya telah dikawal oleh tangan ghaib yang mahu menjatuhkan kita. Sudahnya apa tujuan kita hidup di bumi?
Kedua, kemunculan ceramah youtube yang banyak melanggar hukum logik apabila menyentuh soal sains dan teknologi tanpa kajian rapi. Hujahnya berterabur tanpa arah. Umpama menghalau itik pulang ke reban. Tidak ada bukti kukuh. Tapi disebabkan mereka berdiri atas tiket penceramah orang mengiyakan. Lalu memuji meninggi gunung di bahagian komen kononnya “inilah ilmu yang kami cari”.Perbahasan tentang bumi leper, tentang HAARP, atau blackhole yang dikaji oleh saintis secara bertahun-tahun dinafikan kesarjanaan mereka hanya dengan satu kata “konspirasi” maka gugurlah semua ilmu pengetahuan manusia yang belajar konsep asas sains dari darjah satu, lalu digantikan dengan teori-teori penceramah tersebut.
Persoalannya sekali lagi adalah, hal-hal ini mahu dibawa kemana? Apa yang boleh kita bina untuk memudahkan hidup manusia jika kita anuti teori tu? Sedangkan kita masih bergelut dengan sistem pelupusan sampah kita, adakah dengan teori itu dapat kita bina satu teknologi pelupusan sampah yang baik sehingga mampu mendamaikan semua manusia dan bumi?
Ketiga amukan jadi sandaran. Saya cukup takut bila menonton ceramah-ceramah yang suaranya membentak-bentak di dalam masjid semata-mata mahu mempertahankan parti politik mereka. Ironinya, isu-isu moral seperti rasuah, penindasan kaum lemah, pecah amanah, kemiskinan luar bandar tidak pula mereka bersemangat begitu, malah hampir tidak diceritakan langsung di mimbar-mimbar suci. Malah ceramah yang terkait rapat dengan hate speech. Sebarkan wabak rasisme, kebencian, dan kemarahan yang tiada hujung pangkal pula menjadi hangat sehingga sudahnya mesjid jadi tempat orang benci membenci dan marah memarahi. Merebak pula pada penonton yang tonton sampai basah dahi.
KESIMPULAN
Saya fikir bagaimanapun kita, teknologi seharusnya seiring dengan akal fikiran kita, atau akal fikiran kita mendahului teknologi. Jangan sampai kita dimamah teknologi seolah mereka lebih pintar dari kita. Di satu sisi lain, kita perlu meraih keberagaman budaya ilmu seperti ceramah yang ada di channel internet, dan di satu sisi juga kita perlu kritis dengan tidak menerima bulat-bulat apa yang diperkatakan kerana dunia bukan sekadar hitam putih.
Kata Edward Said,“Our role is to widen the field of discussion, not to set limits in accord with the prevailing authority.”
Comments