top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

Berhati-hati Dengan Ulama' Jahat.

oleh Ahmad Muziru Idham.




ULAMA' jahat ini tidak datang daripada yang mahir dengan ilmu-ilmu teknikal agama semata-mata. Ia datang dari golongan ilmuwan dalam semua bidang ilmu (ahli perundangan, sejarawan, sosiologis, penganalisis politik, pensyarah, dll) yang mencari peluang daripada segenap segi untuk mendapatkan keuntungan kepada dirinya sendiri. Tidak kisahlah keuntungan itu bersifat harta, kuasa, pangkat, pengaruh, politik, kepuasan peribadi, dan sebagainya.


Ulama yang jenis sebegini akan menyarung jubah kesarjanaannya dengan kemas dan membanggakan dirinya sebagai seorang ilmuwan bagi mendapat tarikan pengaruh bagi setiap perkara yang dicakapkannya. Pangkat kesarjanaannya akan diangkat tinggi-tinggi supaya masyarakat dapat mempercayai kredibilitinya untuk bercakap.


Sudah tentu masyarakat tidak akan berani hendak mempertikaikan setiap pengucapannya, lebih-lebih lagi jika naratif pengucapannya lebih selari dengan kehendak mentaliti masyarakat. Masalahnya bukan disebabkan konteks pengucapannya itu yang menepati naratif dominan masyarakat, tetapi masalahnya adalah pada sikap ulama' itu yang bersikap jahat dan tidak amanah dalam penyampaiannya ilmu.


Ciri-ciri sikap ulama jahat yang tidak amanah dalam menyampaikan ilmu:


1) Tidak lagi bersikap terhadap kebenaran, tetapi lebih kepada hendak memenangkan naratif yang dipercayainya.


2) Sengaja mendiamkan separuh kebenaran yang dia sebenarnya sudah tahu, kerana separuh kebenaran lagi yang diangkat dapat memenangkan naratif kepercayaannya.


3) Lebih banyak melakukan serangan terhadap pihak lain atas nama ilmu, berbanding membuat penjelasan dan mencerahkan kefahaman masyarakat.


4) Kerjanya adalah mengorek-ngorek salah orang lain dan sengaja dibesar-besarkan dengan sebarang justifikasi yang dibuat-buat.


5) Sebarang teguran orang lain terhadapnya ditolak, malah jika dibuktikan salah sekalipun, dia akan berusaha juga memutarbelitkan hujah dan fakta sehingga teguran yang benar telah disalahkan.


6) Penyampaian ilmunya tidak membawa kepada memperelok akhlak pengikutnya, malah sengaja pula membiarkan perilaku pengikutnya korup akhlak tanpa ditegur asalkan dapat setia mendokong dengan setiap yang disampaikannya.


7) Tidak membebaskan dirinya daripada sebarang konflik berkepentingan (conflict of interest) justeru sebarang penyampaian ilmunya itu adalah bertujuan mengangkat kepentingannya itu.


8) Menyampaikan ilmu berdasarkan apa yang dikehendaki masyarakat atas alasan hendak menarik minat mereka kepada ilmu, bukannya dengan tujuan memenuhi keperluan masyarakat dan membijaksanakan mereka.


9) Menipu dalam menyampaikan ilmu. Apabila penipuannya terbongkar, dia akan mencari jalan melepaskan diri tanpa berhajat untuk membetulkan semula kerosakan yang telah ditimbulkannya.


10) Menegakkan dan membanggakan pangkat kesarjanaannya untuk mendiamkan masyarakat dan mencari pengaruh.


Dengan ciri-ciri itu, maka kita tahu bahawa ulama' yang sebegini tidaklah benar-benar ikhlas pun untuk menyampaikan ilmunya. Mereka bukannya tidak tahu pun apa yang mereka sedang lakukan, tetapi sengaja membiarkan dirinya dalam keadaan penafian sepanjang masa dan sentiasa mencari-cari hujah sebagai justifikasi apa yang dia lakukan dan menyedapkan hatinya sendiri. Lama-kelamaan hatinya semakin keras dan merasa seronok dengan pekerjaannya itu.


Sebab itulah Tuhan dan Nabi mencela keras ulama jahat ini. Kerosakan yang ditimbulkan oleh mereka jauh lebih besar daripada pemimpin yang zalim. Pemimpin zalim hanya akan menzalimi masyarakatnya dengan kekuasaan politik dan mudah untuk disedari. Kesedaran itu akan berdaya membangkitkan perlawanan sosial untuk melawan kezaliman.


Tapi ulama jahat ini akan menyebabkan masyarakat sentiasa berada dalam kejahilan dan jauh daripada kebenaran. Ia doktrinisasi yang semakin lama semakin sukar hendak diperbetulkan. Kejahilan dan kebatilan itu akan terus diwariskan kepada generasi demi generasi. Kesedaran sosial semakin dibungkam.


Akibatnya, generasi akan datang pun merasakan tidak ada apa masalahnya dengan kezaliman yang mereka lakukan dan menganggap itu sudah normatif yang sudah diterima.

Maka, sebelum kita mengambil ilmu atau mempercayai penyampaian ilmu daripada sesiapa sekalipun (sama ada belajar secara talaqqi mahupun melalui media sosial), setidak-tidaknya kita menapis dan kritis terhadap penyampaiannya terlebih dahulu sebelum terima. Percayalah dengan akal dan kalbu sendiri untuk membuat keputusan.



71 views0 comments

Recent Posts

See All

留言


bottom of page