BETULLAH kata kawanku, virus bersaiz 60-140 nanometer ini benar-benar menguji manusia dan kemanusiaan. Beberapa hari lepas, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 diumumkan bertujuan untuk meringankan beban rakyat menghadapi cabaran wabak COVID-19.
Pakej ini antaranya memberi bantuan sebanyak RM1600 kepada isi rumah berpendapatan bawah RM4000 sebulan, RM1000 bagi isi rumah berpendapatan RM4001-RM8000 sebulan, dan beberapa faedah lain yang berfokus kepada golongan B40.
Penulisan ini dibuat bukan untuk mengkritik atau menyokong sepenuhnya pakej rangsangan ekonomi tersebut melainkan untuk melihat bagaimana musibah ini telah menzahirkan sebahagian pandangan jelik orang kaya terhadap orang miskin yang mungkin sebelum ini termendap dalam pemikiran sehingga tak disentuh dan diuraikan.
Sehari selepas pengumuman itu dibuat, terdapat beberapa posting di media sosial yang mempertikai mengapa kerajaan hanya fokus memberi bantuan kepada golongan B40 sedangkan komitmen golongan T20 lebih tinggi. Padahal yang waras tahu bahawa yang disenarai sebagai 'komitmen' itu lebih pada pilihan gaya hidup bukan kos sara hidup yang asas.
Salah seorang pemilik akaun yang memuat naik posting berkenaan juga menyatakan bahawa kemiskinan hanyalah andaian minda. Kata seorang lagi pula, T20 ini ibarat diperah-perah kerajaan dengan cukai yang tinggi sedangkan mereka berusaha kuat untuk memperoleh pendapatan tinggi sebegitu dan mereka juga merasa susah payah kehidupan.
Cukai yang dibayar pada kerajaan pun katanya tidak memanfaatkan golongan T20 kerana mereka antaranya tidak menggunakan pengangkutan awam, hospital awam dan sekolah kerajaan masih berada pada tahap yang tidak memberangsangkan.
Katanya lagi, kalau diberi bantuan pada orang miskin ini malah bukan dibuat beli barang berguna, mungkin mereka akan menghabiskan duit membeli handphone baru dan tudung berjenama yang mahal.
Tidak habis di situ, keesokannya pula terdapat beberapa ahli perniagaan yang mengadu di media sosial bahawa mengapa kerajaan tidak mengambil langkah melindungi peniagaan-peniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sedangkan industri ini paling terkesan dengan situasi sekarang dan mungkin terpaksa membuang pekerja kerana tidak mampu menampung kos. Kritikannya itu benar tetapi dengan nada yang menghina mengatakan bahawa yang miskin akan menjadi lebih kaya kalau kerajaan asyik membantu mereka.
Daripada pengaduan orang kaya di atas dapatlah kita melihat serba sedikit pandangan jelik orang kaya terhadap orang miskin yang mungkin sebelum ini tertanam dalam dan melarat sehingga diperlihatkan selepas musibah COVID-19 melanda.
Yang pertamanya, kemiskinan pada mereka adalah akibat masalah sikap malas dan pemikiran yang mundur. Sehingga menganggap jikalau diberi wang kepada orang-orang ini, mereka akan membelanjakan wang pada rokok, tudung berjenama atau apa sahaja yang tak berguna kerana pemikiran orang miskin ini mundur.
Kedengaran tidak asing bukan?
Ya, seorang tokoh politik di negara ini pun masih mencanangkan perkara yang sama setiap masa tanpa gagal mengingatkan kita semua bahawa 'melayu malas'.
Masalah kemiskinan ini bukanlah satu masalah sikap atau karakter. Ia adalah masalah tiada wang yang mencukupi untuk keperluan asas. Mengapa tak mencukupi? kerana sistem yang dudukinya telah menindas dan menyebabkan orang miskin tidak dapat keluar dari tampuk kemiskinan.
Sistem yang bagaimana?
Sistem yang membenarkan elit kapitalis atau elit politik memonopoli pasaran, perniagaan, tender, posisi dan jawatan sehingga yang lain tidak dapat bersaing sehingga kekayaan tidak dapat beredar selain dari kelompok tersebut.
Sistem yang aman terhadap rasuah dan salah guna kuasa sehingga peruntukan negara untuk tujuan pembangunan fasiliti hospital, sekolah dan infrastruktur awam disalah guna untuk kepentingan peribadi dan kroni sehingga masyarakat terbanyak terpaksa menerima kemudahan awam yang mundur sehingga mengurangkan peluang mereka untuk maju.
Sistem yang membenarkan tenaga buruh diperas majikan tanpa mendapat gaji yang setimpal setanding kos sara hidup yang makin meningkat. Sistem yang aman terhadap penjarah alam yang menggondol hutan, menambak laut dan mencemarkan sumber air sehingga petani dan nelayan terbanyak menerima kesan, tanaman mereka rosak, hasil tangkapan mereka berkurangan, terpaksa berpindah dan hilang mata pencarian.
Sistem yang memandang sebelah mata penguat kuasaan yang lemah sehingga membenarkan bangsat-bangsat mengutip sewa yang tinggi di premis-premis, dan orang tengah membeli dengan harga yang murah tetapi menjual dengan harga maha tinggi sehingga menindas yang menyewa dan penghasil utama. Perlukah dijelaskan lagi semua ini?
Melihat kemiskinan sebagai masalah individu, bahawasanya mereka ini malas dan berpemikiran mundur adalah satu kesedaran naif. Dengan kesedaran naif kita tidak dapat mengaitkan sesuatu masalah dengan realiti disekelilingnya. Dengan kesedaran naif kita menganggap sesuatu masalah itu muncul kerana ianya sebuah kemalangan, bukan sistematik.
Kesedaran naif ini harus diganti dengan kesedaran kritikal seperti saranan Freire, iaitu melihat sesuatu masalah secara berstruktur, dan mengaitkannya dengan realiti sesuatu masyarakat. Sehingga kita dapat melihat bahawa kemiskinan itu muncul kerana sistem ini menindas mereka untuk terus miskin.
"Tapikan ramai je orang miskin aku tengok malas, bagi bantuan pon salah guna. Orang kaya elok je berusaha keras untuk maju."
Beginilah ya, tak dinafikan memang ada kelompok miskin yang ada masalah sikap. Menyalah gunakan bantuan kerajaan seperti menjual bot untuk menangkap ikan yang diberikan kerajaan secara percuma untuk mendapat wang dengan cepat. Tapi kita kena lihat, sikap buruk itu datang dari mana. Miskinnya pemikiran dan keadaan yang mendesak menyebabkan mereka mengambil jalan pintas.
Jika dalam psikologi ini dipanggil sebagai 'scarcity mentality', ketika keadaan mendesak manusia akan menjadi kurang bijak dari keadaan biasa kerana ada keperluan yang harus dipenuhi segera.
Itulah tugas orang yang kaya pemikiran, yang telah bebas dari kesempitan kewangan dan terdidik untuk sama-sama mendidik masyarakat mereka sendiri dan memberikan apa yang sepatutnya hak orang miskin. Yang terpelajar dan terdidik ini harus bangkit bersama orang-orang miskin untuk menentang sebarang sistem yang menindas, tak kiralah siapa pelakunya dan siapa mangsanya.
Jika yang terdidik pun melepas tangan dan melihat kemiskin sebagai hanya semata-mata masalah sikap, siapalah yang nak diharapkan lagi.
Dan masalah kedua, adakah orang miskin langsung tidak menyumbang pada ekonomi sehingga dipandang jelek golongan kaya ini? Adakah mereka lupa bahawa kekayaan dijana oleh tenaga kerja orang-orang di bawah mereka?
Mungkin sebab inilah banyaknya majikan di Malaysia menentang sebarang usaha untuk merapatkan jurang pendapatan di antara pekerja dan majikan, kerana bagi mereka kekayaan yang ada adalah sepenuhnya usaha mereka sendiri sehingga Malaysia tersenarai sebagai sebuah negara yang mempunyai jurang ketara antara pekerja biasa dan Ketua Pegawai Eksekutif melebihi Singapura. Agihan kekayaan negara kita sangat tidak seimbang.
Ya benar, dasar-dasar dan usaha kerajaan memang banyak yang perlu dikritik untuk menambah baik keadaan masyarakat terutama di saat genting seperti sekarang, seperti kata seorang pakar ekonomi, kemelesetan ekonomi kita adalah seperti zaman perang.
Oleh itu teruskanlah mengkritik, tetapi sasarannya harus betul bukan memangsakan lagi orang miskin yang memang sudah menjadi mangsa dalam setiap keadaan.
コメント