top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

BAYI PEREMPUAN WULAN #MIGRANJUGAMANUSIA Oleh Nursyuhaidah A. Razak

Apalah yang mahu diharapkan pada al-Bakri. Saya akan mulakan tulisan ini dengan kata-kata Yusron: ‘’Pandemik ini tidak memandang sesiapapun di dalam status sosial kehidupannya, kerana status sosial ‘hanya omong kosong’, yang dilindungi harta dan senjata. Rakyat tentu tidak akan mati jika saling membantu. Budaya kita adalah saling bantu dan gotong-royong dengan sesama tanpa peduli golongan dan kepentingannya.’’


Apalah yang mahu diharapkan pada al-Bakri. Saya memulakan dengan kata-kata Yusron kerana ia senada dengan gesaan Tuhan sendiri: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung. (al-Imran, 104)


Apalah yang mahu diharapkan pada al-Bakri. Ia terlupa memanjangkan gesaan Tuhan ini ketika manusia-Islam begitu ghairah menjadi pembiak rasisme. Prinsip maqasid syariah yang dianjingi akhirnya meliputi isu-isu tetek-bengek (bukan bahasa kelucahan: rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat) dengan alasan menjaga kepentingan agama seperti halnya tongkat khutbah Raya.


Sebelum saya menghalakan perhatian pembaca budiman kepada Yusron, suka untuk saya memetik dahulu Dr Yusuf al-Qaradhawi yang telah menyatakan tujuh kesilapan ahli agama masa kini mendepani Fiqh Aulawiyyat (Fiqh Keutamaan).


Untuk tidak kedengaran begitu berkhutbah sekali, di sini saya hanya akan merangkum secebis tegurannya sahaja sebagai peringatan paling asas.


Menurut Dr al-Qaradhawi, manusia-Islam sering menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang marjuh lalu mereka menganggap perkara itu sebagai perkara yang rajih. Manusia-Islam juga sering bertengkar mempertahankan sesuatu perkara yang bersifat furu’ (cabang) pada setiap hari lalu mengabaikan perkara yang lebih utama. Lebih mengerikan, al-Bakri yang berada di dalam kedudukan yang lebih baik terus membiarkan manusia-Islam ini tidak dipandu fikiran yang bertujuan. Ia sekaligus merosakkan elemen keutamaan ketiga yang menjadi pelengkap kepada prinsip maqasid syariah yakni al-tahsiniyyat (kepentingan untuk berakhlak mulia dan baik budi).


Sekali lagi, apalah yang mahu diharapkan pada al-Bakri.


Dalam halnya menjaga nyawa, sepatutnya tidak berlaku pengkelasan nyawa. Ketika seorang pemimpin Melayu-Islam tanpa malu mendedahkan sikap prejudisnya kepada komuniti migran secara terbuka - di sinilah tanggungjawab sosial mendidik orang jahil murakkab menjadi keutamaan al-Bakri. Jahil murakkab seperti definisinya di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, adalah suatu sifat yang tercela. Ini kerana, bukan sekadar dirinya jahil bahkan dia mempertahankan kebatilan tersebut dengan menganggap ia sebagai suatu kebenaran. Dengan demikian, adalah wajib kejahilan-mutlak pemimpin Melayu-Islam ini lantang disanggah al-Bakri kerana kejahilannya telah memberi mudarat berganda kepada rakyat terbanyak.


Sayangnya, apalah yang mahu diharapkan pada al-Bakri.


Sebelum saya lanjut kepada peribadi Yusron, mari dahulu kita mengingat sabda Nabi Muhammad SAW: Janganlah meremehkan kebaikan walaupun hanya berbicara kepada saudaramu dengan wajah yang tersenyum kepadanya. Amalan itu adalah sebahagian daripada kebajikan. (Hadis Riwayat Abu Dawud)


YUSRON


Pada 13 Mei yang lalu, Yusron mengirim saya satu mesej di whatsApp.


‘’Asslamualaikum. Kak boleh minta tolong. Nomer tlp dokter yang boleh tolong melahirkan. Saya punya kawan mau melahirkan. Kak..’’


Yusron ialah teman migran dari Indonesia yang saya kenal lewat acara diskusi buku Pramoedya Ananta Toer, Bumi Manusia. Kami tidak pernah bertemu, hanya terbatas di atas talian. Mesej-minta-tolong yang dikirim Yusron membuat saya panik. Teman Yusron dan isteri yang mahu bersalin itu kedua-duanya tidak mempunyai dokumen. Keduanya juga hilang pekerjaan dalam tempoh PKP. Nah, sekiranya anda ketika membaca ini mempunyai soalan-soalan seperti: bagaimana mereka boleh lepas sempadan atau mengapa mereka tidak buat simpanan, ketepikan dulu soalan-soalan itu. Awas ya, saat anda lagi teragak-agak ada perempuan yang sedang cemas mahu bersalin! Kos perbelanjaan bersalin di hospital kerajaan untuk bukan warganegara boleh mencecah hampir RM4K. Selain terpaksa melawan kesakitan fizikal, isteri temannya Yusron itu juga terpaksa melawan ketakutan tiada wang.


Nah, hari itu, cukup dengan whatsApp, dikerahkanlah bumi manusia dan segala persoalannya ini untuk memberi tumpuan kepada perempuan yang mahu bersalin itu.


Dengan baik budi seorang pensyarah dan teman-teman terdekat, kami menggerakkan ‘Tabung untuk Wulan’. Tidak sampai sehari, dana terkumpul melebihi RM6K. Semuanya ini terjadi hanya di atas talian. Jam 2 pagi, mereka terkandas pula di kaunter pendaftaran. Tidak dibenarkan masuk jika tidak ada jaminan wang. Yusron lekas menghubungi saya, dan saya disuruh bercakap dengan akauntan hospital itu melalui pembesar suara. Akhirnya dibenarkanlah perempuan yang mahu bersalin itu masuk.


Sekali lagi, semua ini terjadi lewat atas talian. Kerana PKP, tiada pekerja sosial yang dapat turun 'membantu' Yusron dan temannya di hospital pada ketika itu. Hanya dalam sehari, ramai yang tampil ke depan membantu seorang migran yang mereka tidak pernah jumpa dan kenal. Naratif solidariti norma baharu ini penting untuk didedahkan.


Semalam baru saya berpeluang untuk bertanya kepada Yusron, apakah yang mendorong dia untuk percaya? Yusron nekad menjawab, kemanusiaan. Pengalaman ibunya ketika mengandungkan dia dahulu yang terpaksa tidur di dalam hutan kerana ketakutan ditangkap, itulah pendorong kuat untuk dia berani membantu isteri temannya, Wulan.


Kata Yusron, ‘’Sebagai kawan, saya tak tega..’’


Iya, ‘kemanusiaan’ adalah perkataan yang sedang dikeji pada ketika ini. Apa lagi yang mahu diharap pada al-Bakri. Atau pada pemimpin-pemimpin Melayu-Islam. Yusron telah hadir membenamkan korupsi moral. Dia membuktikan kepada kita semua, kemanusiaan masih punya semangat dan perlu terus hidup.


Seperti harapan kehidupan, ketika lahirnya bayi perempuan Wulan.

39 views
bottom of page