Jarang-jarang aku berasa penat berada dalam kelas. Perkara yang diajarkan pada hari ini masih sama seperti semester lepas. Kemiskinan. Aku sama sekali tidak mengerti. Subjek yang berbeza tetapi pensyarah yang sama, pembentangan yang sama, ucapan yang sama. Paling sama sekali, adalah kemiskinan masih sama. Masih lagi orang miskin bertambah miskin.
Barangkali kerana keadaan politik kini, kemarahan aku semaking meningkat. Lagi-lagi pada institusi-insitusi pendidikan. Para guru, para pensyarah, para intelektual yang memilih untuk berdiam diri dan masih lagi terus-menerus menghadkan ruang perbincangan hanya pada bilik-bilik kuliah.
Sering kali, agama mengingatkan kita, bahawa tuhan akan mempersoalkan kita semua disaat kita mengetahui sesuatu tetapi tidak melakukannya. Maka soalannya, adakah para intelektual ini benar-benar tidak tahu masalah masayrakat di bawah, masalah ekonomi kini, masalah penindasan ini, atau mereka benar-benar memilih untuk diam?
Aku melihat angka-angka kemiskinan yang dikeluarkan. Kemiskinan adalah tidak ada pendidikan, kemiskinan adalah tidak ada jaminan kesihatan, kemiskinan adalah gaji rendah, kemiskinan adalah itu dan ini. Tetapi soal mengapa wujudnya kemiskinan dan kaya tidak dibicarakan secara kritis. Tidak dibicarakan dengan melihat semula kepada sistem yang korup ini. Malah, sepertinya tidak ada keberpihakan pada yang ditindas. Diajarkan angka-angka kemiskinan itu adalah sekadar angka.
Hari ini, ada orang tanya, keadilan apa yang kalian mahukan?
Barangkali, pada saat ini bukan wang menjadi keadilan yang jelas. Wang bisa di korupsikan. Wang bisa menjadikan orang tidak waras. Wang bisa membeli kuasa. Jangan terkejut jika pemerintahan baru ini cuba untuk membeli kepercayaan rakyat dengan memberi wang percuma sana dan sini, tanpa mereka sedar itulah hak-hak mereka yang disenyapkan.
***
Aku fikir, pada saat ini ada sejenis keadilan yang jarang-jarang diucapkan. Sering kali, kita mendengar bagaimana seorang murid atau pelajar harus menghormati guru mereka. Tetapi, jarang sekali kita membicarakan tentang bagaimana seorang guru harus menghormati anak muridnya.
Soalnya bagaimana guru yang harus menghormati?
Nah, dalam dunia pesantren, guru-guru harus menghormati anak muridnya dengan menjadi adil.
Pertama sekali, hendaklah guru mengajarkan kepada murid-muridnya mula-mula tentang masalah yang mudah dan banyak terjadi di dalam masyarakat. Maka, kerja utama para guru yang pertama adalah turun pada masyarakat! Ya, bagaimana guru mahu pengajar pada anak muridnya, jika guru sendiri tidak kenal masalah dunia realiti?
Kedua, guru yang mengajarkan satu ilmu janganlah memburukkan ilmu yang tidak diajarkan. Nah! Ini yang paling berat sekali. Ternyata, banyak sekali para pengajar kini memilih untuk hanya mengajar silibus-silibus yang dikeluarkan para pentadbiran yang jelas-jelas berat sebelah. Seterusnya kefahaman ini menyebabkan para pelajar menjadi mandom, tidak boleh menerima pendapat lain dan yang paling berat sekali adalah mereka membesar menjadi masyarakat yang jumud dan dogmatik.
Terakhir sekali adalah, hendaklah guru mengajar muridnya supaya berpikir dan bukan semata-mata menerima sahaja. Aneh sekali berada di dalam kelas-kelas dimana para guru tidak memberi ruang untuk sebarang kritikan atau jawapan-jawapan yang berbeza. Apatah lagi jika murid itu seorang minority dalam kasta sosial, dibuang terus ruang perdebatan dan perbincangan.
***
Para pengajar harus mengetahui bahawa keadilan ini amat penting kerana anak didik adalah amanah yang harus dibina potensi-potensi mereka. Namun, tanpa keadilan ini, potensi itu akan dibazirkan. Potensi itu hanyalah untuk memenuhi kehendak ekonomi dan sosial. Potensi itu akhirnya memilih untuk menjadi keldai yang hanya tahu mengikut tuannya.
Barangkali, menjadi guru yang adil adalah ujian pertama dalam membuka ruang untuk mencapai keadilan sosial. Membicarakan kemiskinan tetapi tidak membicarakan keadilan sosial bagaikan mencurah air pada daun keladi. Pengajaran yang tidak dipedulikan. Pengajaran sekadar belajar di bilik-bilik kuliah, muntah diatas kertas. Tidak ada apa-apa kesan.
Jika begini diteruskan selamanya 10 tahun akan datang lagi masih lagi kita akan terus membicarakan tentang kemiskinan dan angka-angkanya. Tetapi membicarakan kemiskinan tanpa keadilan guru, itu bukan bicara, itu adalah penghinaan.
Ada orang tanya, habis guru yang mengajar matematik atau sains bagaimana?
Pengajaran tentang kemiskinan dan kemanusiaan ini bukan hanya tertakluk pada guru sejarah, guru pendidikan moral atau pensyarah di fakulti sains sosial dan kemanusian. Semua perkara mempunyai falsafah kemanusiaannya. Termasuklah matemarik atau sains.
Petang tadi, seorang pensyarah di bahagian perubatan menelefon aku. Katanya, bagaimana mahu bergerak ke hadapan di saat ramai orang masih keliru dan penguasa yang bebal yang hanya sibuk berebut tentang kekuasaan. Nah. Ternyata kalau guru itu adil, biarlah di bahagian, subjek atau fakulti apa pun, akhirnya persoalannya adalah harus, dimanakah keadilan sosial dalam ilmu ini? Dimanakah kemanusiaan di dalam kerja-kerja dihadapan nanti?
Comments