PERDEBATAN tentang sistem pasaran yang mana yang memberi lebih manfaat terhadap ekonomi dan mobiliti sosial masih lagi menjadi perdebatan.
Penyokong sistem pasaran bebas secara umumnya percaya bahawa urusan perdagangan yang membiarkan harga barangan dan perkhidmatan terapung dengan sendirinya dengan kuasa bekalan dan permintaan akan memastikan pembekal barangan dan perkhidmatan dalam sistem ini dapat bersaing dengan adil dalam memberikan produk terbaik pada harga paling kompetitif.
Di samping itu campur tangan pihak kerajaan yang minimum atau ketiadaannya terus dalam bentuk pasaran ini dikatakan akan memastikan kualiti produk yang terbaik, meningkatkan kecekapan perkhidmatan, mengurangkan korupsi, dan mengelakkan monopoli pihak-pihak tertentu berlaku secara tidak adil.
Namun begitu, perkara ini boleh dihujahkan sebaliknya kerana hakikatnya, tidak semua jenis barangan dan perkhidmatan sesuai didagangkan dengan sistem pasaran bebas. Banyak pihak yang berhujah bahawa perkhidmatan penting dan bersifat asasi seperti penjagaan kesihatan tidak sepatutnya didagangkan semata-mata melalui pasaran bebas. Hal ini terbukti dalam satu situasi di Amerika Syarikat (AS), sebuah negara gergasi ekonomi dunia yang maju namun mempunyai sistem kewangan dan penjagaan kesihatan yang sangat lemah kerana terlalu mempertaruhkan perkhidmatan kesihatan melalui pasaran bebas.
Di AS, sistem penjagaan kesihatan mereka jauh berbeza dengan negara seperti kita. Di Malaysia, hampir seperti di United Kingdom, sistem penjagaan kesihatan adalah mengikut sistem berpusatkan kerajaan persekutuan yang mempunyai jabatan-jabatan kesihatan di setiap negeri yang mengendalikan hospital dan klinik milik kerajaan di samping mengendalikan agensi kesihatan awam lain.
Dengan kata lain, sebahagian besar, jika bukan majoriti, khidmat penjagaan kesihatan yang didapati di Malaysia adalah ditawarkan dan diuruskan oleh pihak kerajaan. Berbeza dengan AS pula, fungsi hospital awam atau milik kerajaan kini makin mengecil dan lebih ramai rakyatnya mendapatkan perkhidmatan kesihatan daripada hospital swasta.
Sistem kewangan dan perdagangan penjagaan kesihatan AS merupakan suatu sistem yang sangat bermasalah untuk menjaga kemaslahatan kesihatan awam dan perlindungan sosial rakyat mereka. Tanpa insurans perubatan, rakyat AS secara amnya terpaksa menelan belanja yang sangat mahal untuk rawatan di hospital dan hal ini menyebabkan rakyat yang miskin atau yang berpendapatan sederhana terutamanya akan menanggung hutang perubatan yang sangat tinggi.
Sebuah analisis yang diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika Syarikat (JAMA) pada 2017 melaporkan bahawa pesakit di AS yang langsung tidak mempunyai insurans perubatan dicaj empat kali lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai insurans “Medicare” untuk rawatan di Jabatan Kecemasan hospital. Laporan yang sama juga melaporkan untuk satu jenis rawatan kecemasan yang memakan kos 100 dollar AS, sesetengah hospital meletakkan caj sehingga 1600 dollar AS untuk rawatan tersebut.
Rakyat Malaysia yang mendapatkan rawatan kecemasan di hospital kerajaan Malaysia pula sebaliknya hanya dicaj RM 5 untuk rawatan asas. Manakala kes yang memerlukan kemasukan ke wad pula hanya dicaj RM 3 sehari untuk caj wad untuk wad kelas tiga dan tiada caj rawatan atau caj rawatan yang minimum sahaja untuk kelas yang sama.
Maka, apa yang salah dalam pasaran bebas di AS dalam mengawal kos dan caj perubatan yang melampau tingginya hingga sistem ini menggadaikan keselamatan sosial dan nyawa rakyat sebuah negara gergasi ekonomi yang sangat gah tersebut?
Mengapa persaingan dalam memberikan perkhidmatan terbaik tidak mampu memberikan harga yang lebih berpatutan dan kompetitif untuk rakyatnya sebagai pengguna berbanding Malaysia yang jauh lebih rendah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan dan yang mempunyai sistem kesihatan yang sebahagian besarnya dikendalikan oleh pihak kerajaan?
Bagi memahami mengapa masalah sebegini terjadi dalam sistem kewangan kesihatan AS, beberapa konsep amalan proses rundingan kos dan caj perubatan di AS perlu difahami sedikit sebanyak terlebih dahulu. Selain untuk anggota dan bekas anggota tentera, perkhidmatan kesihatan AS, rakyat AS secara amnya perlu menanggung kos perubatan mereka sendiri dengan subsidi yang amat rendah atau hampir tiada langsung, lebih-lebih lagi jika di hospital swasta.
Status yang membezakan seseorang itu mampu membayar kos perubatan di AS ialah sama ada seseorang itu mempunyai insurans perubatan atau tidak. Pengendali insurans pula terbahagi kepada dua, iaitu insurans tanggungan kerajaan atau insurans persendirian yang dicarum melalui syarikat swasta.
Kerajaan AS menanggung insurans perubatan rakyatnya di seluruh negara itu melalui dua skim iaitu skim “Medicare” untuk golongan yang berumur 65 tahun ke atas dan golongan muda dengan kelainan upaya tertentu dan skim “Medicaid” untuk golongan berpendapatan sangat rendah. Insurans perubatan swasta pula amnya sama ada dicarum sendiri oleh rakyatnya atau dicarum melalui majikan sesebuah syarikat untuk pekerjanya.
Rakyat di AS yang mendapat rawatan di hospital amnya tidak mengetahui berapa caj sebenar yang perlu dibayar untuk mereka sehinggalah tamat rawatan. Lazimnya, pengendali insurans akan berunding caj rawatan pesakit tersebut dengan bahagian kewangan hospital. Dalam hal ini, penerima skim “Medicare” dan “Medicaid” tanggungan kerajaan AS di seluruh negara lazimnya lebih beruntung.
Hal ini kerana kerajaan AS sebagai penanggung tunggal rakyat AS bawah skim- skim ini menanggung sangat ramai rakyat di seluruh negara itu yang menjadikan kerajaan AS sebagai perunding yang mempunyai kuasa rundingan kos perubatan yang sangat berpengaruh.
Jika ada hospital yang menolak tawaran kos yang dikemukakan oleh kerajaan AS atas sebab kos yang ditawarkan untuk ditanggung kerajaan itu rendah, hospital tersebut akan menanggung risiko kehilangan pelanggan “Medicare” dan “Medicaid” yang sangat besar jumlahnya di seluruh negara.
Sebaliknya, terdapat beratus-ratus syarikat insurans perubatan swasta dan jumlah tanggungan syarikat mereka masing-masing adalah jauh lebih kecil jika dibandingkan mereka yang ditanggung oleh “Medicare” dan ‘Medicaid”. Oleh sebab itu, syarikat-syarikat insurans perubatan swasta mempunyai kuasa rundingan yang sangat rendah pengaruhnya berbanding kerajaan AS.
Maka selalunya mereka yang mencarum insurans swasta terpaksa membayar lebih mahal berbanding mereka yang insurans perubatannya ditanggung kerajaan. Golongan yang terpaksa membayar paling mahal pula sudah tentunya yang tidak mempunyai insurans perubatan langsung kerana bukan sahaja mereka tiada caruman, malah mereka hampir tiada langsung kuasa rundingan untuk kos perubatan mereka.
Golongan yang tidak bernasib baik ini selalunya adalah dalam kalangan rakyat AS yang bukannya miskin tegar, warga emas, atau golongan pekerja yang insurans perubatannya tidak ditanggung oleh majikan. Kebajikan kesihatan mereka dalam kes begini selalunya terabai dan ramai antara mereka jatuh ke lembah kemiskinan apabila terpaksa membayar caj perubatan yang berjumlah ribuan dollar AS.
Sebab itulah, dalam kes Malaysia contohnya, sebagai penanggung tunggal sebahagian besar kos perubatan di hospital-hospital seluruh Malaysia, kerajaan Malaysia dilihat mempunyai kuasa rundingan yang sangat besar untuk memastikan kos-kos perkhidmatan perubatan dan ubat- ubatan kekal rendah atau berpatutan. Sebagai contoh, harga ubat antikemurungan Remeron SolTab 15 mg di AS boleh mencecah sehingga 4.8 dollar AS atau RM 20.70 sebiji. Manakala harga ubat yang sama yang dipaparkan pada label sebuah hospital kerajaan di Malaysia hanyalah RM 2.34 sebiji.
Suatu masalah yang jelas tentang masalah kuasa pengguna dalam pemilihan perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam pasaran bebas ialah betapa terbatasnya pilihan pengguna dalah situasi ini. Secara umumnya, seseorang akan mendapatkan khidmat kesihatan apabila dalam keadaan yang amat terdesak, apabila melibatkan nyawa sendiri atau orang tersayang, dan pilihan ketika itu amat terhad dek kerana masa dan situasi yang panik dan mencemaskan.
Malah pengetahuan orang awam tentang kos perubatan berpatutan bukanlah seperti pengetahuan orang awam tentang harga televisyen atau konsol permainan; kita selalunya tidak mempunyai pengetahuan yang cukup, lantas mempunyai batasan untuk membuat keputusan yang terbaik untuk perkhidmatan yang penting seperti ini.
Oleh sebab itu, sistem pasaran dengan kawalan yang ketat atau sistem yang memastikan kerajaan sebagai penanggung tunggal kos perubatan adalah lebih sesuai bagi memastikan hak rakyat mendapatkan khidmat kesihatan yang menyelamatkan nyawa terjamin di samping memastikan rakyat tidak ditimpa malapetaka kewangan oleh sebab rawatan kesihatan.
Tambahan pula, campur tangan atau kawalan kerajaan dalam bekalan perkhidmatan dan barangan kesihatan adalah amat penting bukan sahaja demi memelihara kesihatan dan keselamatan sosial rakyat secara individu, malah bagi kepentingan kesihatan awam juga. Hal ini terbukti benar ketika dalam kekecohan pandemik Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) yang melanda kini.
Pada peringkat awal epidemik COVID-19 di AS, disebabkan perlindungan kesihatan oleh pihak kerajaan yang amat lemah, hospital di AS ada antaranya dilaporkan tidak menawarkanujian penyakit tersebut walaupun mereka ini disyaki menghidapi penyakit tersebut.
Alasannya ialah masih sama, iaitu sama ada jenis insurans perubatan peringkat biasa ataupun kerana tidakmempunyai insurans langsung. Hal ini telah cuba dikawal apabila kerajaan mengumumkan supaya hospital tidak boleh menolak pesakit yang perlu mendapatkan ujian tersebut hanya kerana isu insurans perubatan.
Namun masalah dalam sistem ini tetap terzahir apabila walaupun semua boleh mendapatkan ujian, tidak semua akan mendapat rawatan yang optimum disebabkan oleh pakej insurans atau ketiadaan langsung insurans. Apabila hospital memilih untuk tidak merawat pesakit penyakit berjangkit dengan optimum sama ada keterbatasan sumber atau pilihan tamak bersifat kapitalistik buta, maka mereka yang sakit ini akan lebih terbiar di dunia luar dan terus menjangkiti orang lain pula lalu menyebabkan sistem kesihatan negara tersebut akan terjejas teruk, lantas menatijahkan kadar kematian yang tinggi. Sehingga artikel ini ditulis contohnya, kadar kematian akibat COVID-19 di AS telah mencecah setinggi 3%. Manakala kadar kematian di Malaysia pula hanyalah 1.6%, hampir separuh sahaja daripada kadar kematian di AS. Hal ini membuktikan ekonomi dan teknologi yang hebat bukanlah penentu kualiti khidmat kesihatan dan perlindungan sosial yang utuh.
Walaupun selama ini kita sering percaya pasaran bebas merupakan suatu sistem pasaran yang mampu menawarkan barangan dan perkhidmatan yang terbaik dengan harga paling berpatutan dengan daya penawaran dan permintaan, hal ini dilihat kurang benar apabila perkhidmatan penting seperti perkhidmatan kesihatan didagangkan dalam pasaran bebas yang tidak terkawal.
Walaupun Malaysia mungkin merupakan sebuah negara yang jauh terkebelakang dari segi teknologi perubatan dan ekonomi berbanding AS, tetapi prinsip pengutamaan kebajikan dan keselamatan sosial untuk rakyat telah menatijahkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan keselamatan kesihatan awam yang jauh lebih baik daripada negara ekonomi maju seperti AS.
Maka jika sistem kewangan kesihatan di Malaysia perlu dirombak semula bagi memastikan dana yang cukup untuk kesihatan awam, sistem yang terbaik bukanlah suatu sistem yang membiarkan penjagaan kesihatan terlalu mudah didagangkan secara bebas kerana di malaysia sendiri telah terbukti bahawa jika adanya perkhidmatan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan secara cekap dan murah, perkhidmatan itu ialah perkhidmatan kesihatan dan kerajaan bertanggungjawab dan berkebajikan pula merupakan pihak yang terbaik bagi melindungi hak kesihatan dan keselamatan sosial rakyat , bukan pasaran bebas tanpa kawalan.
----
Nota: Artikel ini telah memenangi Tempat Pertama dalam Pertandingan Menulis Artikel Jurnal Sang Pemula.
Comments