top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

BAGAIMANA ELIT AGAMA MENINDAS DENGAN JUBAH AGAMANYA Oleh: Huda Ramli

Sedari Pakatan Harapan mulai memerintah sehinggalah pimpinan negara bertukar tangan, kegemaran saya adalah memerhati elit agama di negara ini. Siapa yang saya maksudkan elit agama adalah mereka yang memegang autoriti institusi agama seperti mufti dan menteri agama, serta mereka yang menjadi rujukan agama masyarakat kerana berautoriti dari segi keilmuannya yang saya kumpulkan mereka dalam satu jenis iaitu agamawan.


Mereka ini bergelar dengan pelbagai gelaran seperti ustaz, ustazah, syeikh dan sebagainya. Agamawan segera seperti PU, Imam Muda dan Ustazah Pilihan ini semua boleh saja dibakulkan dalam kategori elit agama kerana mendapat sokongan awam, tetapi cukuplah saya hanya meletakkan maksud definisi elit agama yang saya mahu bicarakan adalah mereka yang mempunyai ilmu yang luas dan mendalam dalam ilmu Islam. Agamawan segera tidak sampai ke tahap itu. Mereka ini sebenarnya termasuk dalam kategori wu'az dan qussas sahaja yang ramai para sahabat dan ulama dahulu sudah memberi amaran tentang mereka.


Nah, saya sudah tidak kisah dengan bahasa saya pada hari ini untuk berbicara dengan muluk dan sopan santun, kerana melihatkan perilaku mereka sehingga ke hari ini, tiada kata sopan yang layak diberikan. Nun di utara sana sudah berani-berani mufti mengata si miskin kerana tidak mengemaskan rumahnya untuk dilawat raja. Ada si mufti ini berjumpa dalil dalam mana-mana hadith sahih dan hasan yang menceritakan orang-orang miskin yang bajunya compang-camping dan buruk disuruh balik dan menukar pakaian yang bersih oleh Nabi apabila mereka datang bertemu dengan baginda?


Belum lagi dengan perangai mufti dan menteri agama yang tidak habis-habis mahu bercakap hal sepele-sepele seperti tongkat khutbah raya - yang kata sunat buat khutbah tu pun dia juga, yang tak menceritakan syarat tongkat nak buat khutbah pun dia juga; bila bermacam-macam gaya tongkat khutbah yang muncul, menggelabah bercerita tentang tongkat khutbah yang bermacam gaya itu boleh menghina agama - dan meninggalkan munkar besar seperti xenofobia dan rasisme yang bagai tak ada break seperti orang tiada agama yang sedang berada depan mata daripada ditegur.


Belum kira lagi perangai menyorok-nyorokkan fakta pendapat-pendapat yang berbeza, yang nyatanya pendapat-pendapat ini sebenarnya mereka tidak boleh telan. Atas slogan "tidak mahu mengelirukan masyarakat", mereka berani-berani curang menyembunyikan fakta yang akhirnya mengelirukan umat daripada perkara yang sebenar. Sudah lah tidak mahu mengaku salah selepas didedahkan, malah defensif lagi dengan mempertahankan hujah benang basah mereka itu. Lalu membuatkan saya tertanya-tanya, mereka ini orang agama, kenapa perangai mereka sebegini? Disiplin jelas jangan menyembunyikan kebenaran ini mereka tidak belajar kah dengan masyayikh dan pensyarah mereka semua?


Terlalu banyak perkara menjengkelkan yang dilakukan oleh elit agama yang tidak memberi maslahat kepada umat Islam dan masyarakat. Yang paling menyebalkan hati adalah apabila nasihat mereka lebih kepada memberi maslahat buat pemerintah. Makanya hari ini saya tuliskan beberapa cara elit agama menindas setelah saya mencerap selama beberapa ketika, dan catatan ini adalah untuk menunjukkan kepada semua bahawa elit agama juga boleh menindas.


Cuma cara mereka menindas seringkali tidak terperasankan kerana perilaku itu sudah menjadi normal dan ditambah lagi mereka ini berjubah agama; mana mungkin orang yang berjubah dan berserban melakukan kezaliman yang dilarang agama. Dan tujuan saya bercakap tentang hal ini adalah untuk mencerahkan elit agama, bahawa perlakuan yang mereka rasa harmless itu sebenarnya menindas dan mereka yang tidak sengaja daripada melakukannya boleh bertaubat daripada norma yang menindas ini.


Jubah, kopiah serban apatah lagi sijil PhD serta gelaran Sahibus Samahah tidak mampu mendinding mereka daripada melakukan kezaliman; hakikatknya, posisi kuasa, kedudukan dan autoriti boleh sahaja menjebakkan mereka untuk melakukan penindasan, sama seperti elit politik dan elit - elit lain. Baik saya senaraikan satu persatu bagaimana elit agama menindas, dan ini boleh dilakukan kerana pelbagai alasan, baik sengaja mahupun tidak sengaja. Ini juga adalah peringatan untuk saya di masa hadapan agar tidak melakukan kesilapan yang sama.


1) Diam Pada Kezaliman


Hadis "Berkatalah benar walaupun pahit" ini hanyalah sekadar penyedap di bibir, tetapi dalam bab mengamalkannya, elit agama seringkali gagal apabila kezaliman berleluasa. Baik kezaliman itu datang daripada pemerintah ataupun rakyat. Kezaliman pemerintah ialah seperti rasuah dan salah guna perbendaharaan kerajaan, penguatkuasaan undang-undang yang memilih-milih, polisi yangg menindas, salah guna kuasa dan sebagainya. Manakala kezaliman yang dilakukan oleh rakyat pula ialah seperti rasisme dan xenophobia. Amat malang sekali, sudah ada ramai orang yang tidak segan silu untuk membuat ugutan-ugutan bunuh, pukul dan membelasah golongan migran dan pelarian yang mereka benci.


Sudah separah ini pun, sehingga kini, majoriti elit agama bungkam daripada menegur suara-suara xenofobik dan rasis yang sedang sedap bergegak-gempita dengan ayat Quran seperti "ولا يجرمنكم شنآن قوم على ألا تعدلوا، اعدلوا هو أقرب للتقوى” atau hadith “kamu tidak beriman selagimana kamu tidak mengasihi saudaramu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri”. Yang ada cumalah ayat Quran di atas dinasihatkan kepada orang yang menegur elit agama yang gagal menasihatkan rakyat sepenjuru alam dengan ayat ini.


2) Menjustifikasi Kezaliman & Korupsi


Awas, ramai agamawan dan ulama yang berani-berani menggunakan ayat Quran dan hadis Nabi untuk menjustifikasi kezaliman dan korupsi. Seperti mentaati pemerintah zalim dan menipu, biasa sangat agamawan mengunakan dalil agama wajib taat pemerintah. Tidak ditegur langsung pemerintah yang melakukan kezaliman dan korupsi, tetapi yang ditegurnya adalah rakyat bawahan.


Dan mereka ini adalah ulama penguasa yang paling jahat kerana sanggup menggunakan segala dalil agama bagi mempertahankan korupsi penguasa dokongan mereka. Betapa mereka itu tidak segan silu memetik kalam-kalam ulama dan firman-firman Tuhan serta hadith-hadith Nabi bagi menyilau mata dan fikiran masyarakat agar turut menyokong keberadaan mereka di pentas politik sekalipun telah jelas dan nyata bahawa penguasa dokongan mereka itu terlibat dalam korupsi makan harta rakyat dan negara sesuka hatinya. Tapi tetap mereka berselindung di celah-celah ketiak politikus dokongan mereka demi menghambakan diri kepada imbuhan dunia.


Kezaliman dan kecenderungan kepada orang zalim apa cara sekali pun tidak boleh dijustifikasi dengan ayat-ayat suci Tuhan dan kalam Muhammad. Elit agama dan ulama yang tidak tahu malu seperti ini, jauhi lah sejauh-jauhnya, kerana akalnya sudah hilang, kompas moralnya sudah tercabut daripada jiwanya, dan dia bukanlah pewaris Nabi walau ia dicanang ramai orang sekalipun.


3) Mengiyakan Pendapat Yang Zalim Semata-Mata Untuk Memenuhi Selera Majoriti Konservatif.


Alasan-alasan seperti seperti negara ini mempunyai uruf dan adat yang berbeza seringkali digunakan untuk menghalalkan pendapat yang zalim. Yang mereka sepatutnya lakukan dan jarang lakukan adalah menganalisis uruf yang bermasalah itu dan mencerahkan umat dengan perkara yang benar dan lebih baik.


Barangkali juga selera konservatif itu adalah selera mereka dalam beragama, dibalut pula dengan patriarki dan misogini, pendapat-pendapat zalim itu sudah tentulah memberi manfaat buat mereka walaupun hanya sekadar memenangkan superioriti jantina sendiri. Takah kezaliman itu tidak mereka terbayangkan kerana pendapat-pendapat yang bermasalah buat mereka yang menerima fatwa tidak lah ulama dan agamawan ini merasakan bermasalah kerana bukan mereka yang menerima kesan langsung daripada fatwa tersebut.


Golongan agamawan yang mencari makan dengan mengikut selera majoriti ni, biasanya akan mengabaikan amanah ilmu. Jadi, golongan ini mengambil kalam-kalam ulama secara "cherry picking" asalkan dapat memenuhi apa yang majoriti masyarakat mahukan, bukannya hendak beramanah dengan ilmu. Mereka sengaja mendiamkan sesuatu ilmu yang mereka rasakan tidak memberi keuntungan kepada diri mereka, sekalipun mereka tahu ilmu yang mereka sembunyikan itu lebih benar dan kuat hujahnya berbanding apa yang majoriti masyarakat lebih percayakan.


Kewujudan mereka dalam masyarakat cumalah hendak laku di kaca-kaca televisyen dan dijemput berceramah di sana sini serta mendiamkan diri daripada menyuarakan keadilan di hadapan penguasa dan masyarakat disebabkan takut kedudukan diri mereka tidak lagi popular di mata masyarakat. Walaupun betapa dalamnya mereka belajar ilmu agama dan betapa luasnya pendedahan mereka terhadap pelbagai macam perkara, tetapi tetap mereka tidak beramanah dengan ilmu hanya kerana ingin berkhidmat dalam masyarakat dengan selesa tanpa niat pun untuk membetulkan kepincangan dalam masyarakat.


4) Menutup Keterbukaan Beragama Dengan Menyalahkan Atau Menyesatkan Pendapat Yang Mereka Tidak Suka Dan Tidak Bersetuju.


Ini penyakit yang paling besar pada elit agama yang berada di tampuk kekuasaan dan autoriti. Mereka menggunakan senjata fatwa untuk menutup pendapat dan suara yang berbeza dengan mereka. Kerencaman tradisi ilmiah Islam ulama silam direnggut dengan penguatkuasaan fatwa yang menghalalkan siapa saja yang tidak dipersetujuinya ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang.


Kita semua maklum fatwa kesesatan Syiah yang digazetkan itu sering digunakan oleh pihak berkuasa untuk menangkap penganut Syiah yang berada di negara kita. Amat tidak masuk akal, pemimpin kita boleh duduk semeja dengan pemimpin Iran di negara kita sendiri, di Masjidil Haram orang Syiah boleh solat bersebelahan Sunni tanpa masalah, dan di Malaysia, kita tangkap penganut Syiah dengan kuasa undang-undang. Satu ironi dan kontradiksi jelas yang setiap manusia berakal waras tidak boleh telan. Banyak lagi fatwa-fatwa lain yang menyesatkan golongan yang agamawan institusi ini tidak bersetuju.


Sekali lagi, saya sebutkan di sini, mereka yang berada di tampuk kekuasaan agama tidak pernah menginsafi ayat "ولا يجرمنكم شنآن قوم على ألا تعدلوا، اعدلوا هو أقرب للتقوى”. Ayat ini bermaksud: “janganlah kebencian kalian kepada suatu kaum menjuruskan kalian kepada perlakuan tidak adil, berlaku adillah, ia (keadilan) itu lebih dekat kepada taqwa”.


Nah, saya ingin tanyakan, ke manakah taqwa elit agama dalam berhadapan dengan kumpulan atau golongan yang mereka tidak bersetuju apabila senjata fatwa digunakan untuk membungkam suara mereka dan lagi dahsyat, menangkap mereka dengan kuasa undang-undang?


5) Menyuruh Mangsa Kezaliman Bersabar Dengan Kezaliman.


Kesalahan ini sering dilakukan oleh agamawan kepada perempuan yang dizalimi suami dan ahli keluarga seperti keganasan rumah tangga. Perempuan-perempuan yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga disuruh sabar dan disogok dengan pahala syurga yang berlipat kali ganda atas ketaatan kepada suami. Cerai pula dikatakan bukan penyelesaian kerana menggegarkan Arasy. Walhal akhlak Nabi dalam berhadapan dengan aduan-aduan perempuan yang dipukul suami, adalah baginda akan menegur perilaku-perilaku sahabat agar jangan memukul isteri.


Nah, kita masih menunggu teguran-teguran para agamawan secara berjemaah kepada para suami setelah banyak laporan menyatakan fenomena keganasan rumah tangga meningkat secara mendadak sepanjang tempoh lockdown dek pandemik COVID-19 ini. Belum ada lagi... yang ada cuma nasihat tidak berguna daripada Kementerian Wanita menyarankan perempuan berlakon seperti Doraemon supaya suami tidak naik angin dan memakai make up dalam rumah.


6) Melengah-Lengahkan Penyelesaian Yang Diperlukan Oleh Masyarakat Dengan Segera.


Kita punya banyak masalah yang memerlukan tindakan dan respon segera. Bab keculasan suami dalam nafkah isteri dan anak-anak, bab isteri tergantung tak bertali, bab wali-wali yang menggunakan kuasa tidak mahu mengahwinkan anak-anak perempuan mereka walaupun mereka ini culas dalam melaksanakan tanggungjawab, bab keganasan rumah tangga yang tidak ada surutnya, sampai sekarang masih terjadi, bab anak yang tidak sah taraf yang hidupnya didiskriminasi hanya kerana daftar namanya bin Abdullah, dan pelbagai lagi masalah-masalah lain termasuklah kemiskinan umat yang ada kaitannya dengan pembahagian kekayaan yang tidak tidak adil yang dicela Tuhan. Hal-hal ini tidak dipedulikan oleh elit agama untuk dibincangkan dan dicarikan penyelesaiannya dengan segera.


Ya, mungkin hal ini tidak terkait dengan kepentingan hidup mereka, sementelah lagi yang memerlukan penyelesaian ini ramainya perempuan dan anak kecil, dan sudah menjadi norma, perempuan dan kanak-kanak itu tidak diletakkan sebagai prioriti maslahat untuk dijaga. Yang mereka sibukkan adalah hal-hal politik dan kekuasaan dan menegur apa-apa yang tidak kena pada mata mereka seperti rumah bersepah si miskin dan tongkat khutbah yang tidak diberitahukan panduannya. Statistik keganasan rumah tangga yang mencanak naik itu langsung tidak menjentik bulu roma mereka untuk mengeluarkan dalil-dalil mengharamkan pukul isteri dan anak-anak.


Dengan ciri-ciri yang saya sebutkan ini, saya mohon elit-elit agama bertaubat daripada kesombongan, kejahilan, gila kuasa, pangkat, pengaruh dan harta serta mula mengambil berat akan peranan mereka dalam menjaga maslahat kemanusiaan yang menjadi fundamental agama yang mulia ini dengan kepakaran ilmu mereka. Setelah itu barulah mereka ini layak digelar warathatul anbiya' kerana berpegang dengan semangat profetik Nabi SAW.

291 views0 comments
bottom of page