MENYAHUT seruan Tuhan, membaca adalah hal yang paling menyeronokkan bagi individu yang membaca. Juga (barangkali) sudah menyahut seruan Tuhan, membaca adalah hal yang paling mustahil untuk dilakukan bagi individu sebaliknya. Pernahkah kita bertanya kepada Tuhan mengapa dan kenapa? Atau apa? Ada apa dengan membaca? Katakan pada aku jawapannya kalau kau pernah bertanya kepada Tuhan tentang hal itu. Ketika bergetar seluruh tubuh Muhammad dan gamisnya dibasahi peluh, Tuhan menyampai pesan untuk seluruh umatnya membaca. Sehinggakan pada ketika itu, tawanan perang diberi peluang untuk menebus kesalahan dengan mengajarkan umat Muhammad untuk menulis dan membaca. Soalnya, adakah umatnya sehingga kini masih ‘membaca’? Menilai semula kewajipan dan keperluan membaca adalah perkara yang perlu dilakukan oleh setiap individu. Kerana Tuhan, mahukan kita membaca dan berfikir. Namun, adalah menjadi persoalan, dalam kita semua merangkak mencari bahan bacaan, apakah bahan bacaan yang benar – benar betul dan benar – benar membantu kita semua keluar dari keranda kebodohan. Ingat! Kebodohan itu mematikan. Dalam kita semua berusaha memecahkan jeriji besi kezaliman dan ketidakadilan, adakah buku yang kita semua percaya sekarang ini benar – benar senjata meruntuhkan kejahilan? Atau ketika kita memusuhi agenda pembodohan adakah buku yang tersusun di atas rak itu akhirnya menjadi candu dan merosakkan? Atau hakikatnya, kita tidak peduli? Persetankan pembacaan. Hidup ini hanya tentang bernafas dan melakukan hal – hal untuk hidup. Kita perlu kerja dan menyara cinta. Perlu kita sedar dalam kita mencari kebenaran memilih bahan bacaan adalah hal yang sangat penting. Artikel ini akan membincangkan tentang tips dan cara memilih bacaan yang betul. Tips memilih bahan bacaan yang betul: 1) MESTILAH BERHALUAN KANAN. Setiap bahan yang kita pilih sudah semestinya perlu berhaluan kanan. Berhaluan kanan dalam konteks masyarakat Malaysia, bahan tersebut hendaklah tidak bercanggah dengan aspirasi pemerintah dan mestilah bebas daripada unsur – unsur liberalisme, feminisme, pluralisme dan komunisme atau apa sahaja -isme yang boleh difikirkan. Kapitalisme dan neo – liberalisme entah dihaluan mana. Sekiranya, buku – buku yang anda baca didapati mempunyai unsur – unsur yang disebutkan tadi (mahupun di tajuk buku), tinggalkan buku itu dan bersegeralah memohon ampun kepada yang maha Esa! Cadangan kepada pembaca yang beriman agar anda terus membaca Al Quran tanpa mempedulikan sumber bacaan yang lain. 2) SEKIRANYA PENULISNYA SEORANG AGAMAWAN, IA LEBIH DIYAKINI. Dalam memilih bahan bacaan yang betul, hendaklah dipastikan penulisnya merupakan dalam kalangan orang yang boleh dipercayai dan jiwa kehambaannya adalah sangat kuat. Dalam hal ini, adalah diyakini seorang agamawan merupakan individu yang sangat layak untuk menulis buku baik dari sudut pandang agama mahupun kehidupan. Sebagai contoh (ustaz) Kazim Elias. Anda mungkin lebih kenal akan penulis – penulis terkemuka seperti Aiman Banna, Faiz Ibrahim ataupun Alif Teega. Teruskan! Bacalah buku – buku mereka. Di dalamnya terkandung segala pengetahuan hidup terutamanya untuk hidup berkeluarga. Lebih – lebih lagi, perkahwinan itu sunnah nabi yang bahkan menjadi keperluan utama masyarakat hari ini. Usah kalian gentar akan kemiskinan, bernikahlah! Rezeki pasti melimpah ruah kepada kalian. Sekiranya, buku yang anda pegang sekarang ini merupakan daripada golongan yang anda yakini fasik, tinggalkan segera! 3) MESTILAH TIDAK MENGANGKAT INDIVIDU YANG SALAH. Ini adalah hal yang sangat utama sekiranya anda sedang memilih bahan bacaan. Pastikan buku yang anda pilih tidak mengangkat individu yang salah. Siapa individu yang salah? Dan siapa individu yang betul? Di sini penulis senaraikan nama – nama individu terkemuka yang anda kenali. Tentukan sendiri siapa individu yang salah dan siapa yang betul. 1) Mahathir Mohammad 2) Anwar Ibrahim 3) Ahmad Boestamam 4) Chin Peng 5) Karl Marx 6) Widji Thukul 7) Khomeini 8) Ibn Sina 9) Niccolo Machiavelli 10) Amina Wadud 11) Kassim Ahmad dan 12) Cheminahsayang. Ingat! Orang yang salah membawa kita semua ke jalan yang salah. Sekiranya anda dapati buku yang anda baca mengangkat sosok – sosok yang telah anda tentukan tadi. Tinggalkan dan bakarlah buku itu segera! 4) PASTIKAN TAJUK BUKU YANG ANDA PILIH TIDAK MENYEMPANG DARI AJARAN AGAMA. Seperti biasa, tajuk buku memainkan peranan penting sekiranya anda ingin memilih buku. Bagaimana memilih buku yang benar – benar betul melalui tajuk buku yang anda lihat? Mudah. Pastikan buku yang anda pilih bertepatan dengan dunia agama mahupun norma masyarakat. Contohnya tajuk buku bersifat membelakangkan agama dan norma masyarakat seperti Tuhan Tak Perlu Dibela (masakan Tuhan dihina kita diamkan sahaja?) atau Izinkan Aku Menjadi Pelacur (Bukankah melacur itu salah disisi agama?) atau Pendidikan Sebagai Alat Perlawanan (kita manusia, diajar untuk belajar bukan kurang ajar. Melawan itu biadap!). Sekiranya anda dapati buku – buku yang anda lihat mempunyai tajuk seperti ini tak usah dibaca lagi! Tinggalkan segera! 5) PASTIKAN BUKAN BUKU FAISAL TEHRANI Dia syiah. Tinggalkan segera! Cukuplah lima tips memilih bahan bacaan yang betul. Ingat! Dalam mengejar kematangan fikiran, bahan bacaan adalah hal paling mustahak yang perlu diambil kira. Jangan sesekali terjerumus ke lembah kebodohan kerana akhirnya kita memilih bahan bacaan yang salah. Bahan yang salah menjadikan kita orang – orang yang salah. Ada dalam kalangan kita yang tidak mahu membaca. Membaca adalah hal yang receh dan menyesakkan minda. Ada apa dengan membaca? Ia lapuk dan ketinggalan zaman! Tak usah membaca buku. Bernikah sahaja! Akhir sekali, ingat! Tuhan tidak mengajarkan kita apa bacaan yang betul. Tetapi Tuhan mencipta akal sempurna untuk mengajarkan kita apa bacaan yang betul. Selamat membaca!
top of page
bottom of page
Comentarios