top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

BABOON DAN PENGANUT AGAMA KORUPSI Oleh Farahin W

Baboon tulisan Abdullah Hussain banyak mengingatkan pembaca kepada orang-orang di sekeliling hari ini. Orang-orang yang jauh dengan pembaca namun dekat dan cukup memporak-perandakan kehidupan orang lain hari ini. Memecah belahkan dengan aturan yang celaka. Serta menyebabkan orang-orang saling bercakaran. Orang-orang ini sedang berselindung di sebalik pohon kekuasaan dan rimbunan daun perlembagaan. Orang-orang ini sedang membutakan mata orang-orang yang dijahanamkan dengan naratif palsu dan kononnya sangat membumi. Satu sahaja yang boleh dikatakan, orang-orang macam ini ialah orang-orang sial.


Tauke Sarkas meminta Aku yang sedang kesempitan dan dihimpit kemiskinan untuk membohongi pengunjung sarkas dengan berlakon menjadi Baboon menggantikan Baboon yang sudah mati. Lalu kata Aku : Saya tak mau jadi binatang. Saya tak mau tipu orang. Saya bukan binatang. Aku sedar, binatang ialah sebegitu hina di sisi manusia. Bodoh dan tak punya kecerdikan. Kan sudah Tuhan katakan? Manusia ialah ciptaanNya yang paling sempurna?


Lalu kata Tauke Sarkas : Tapi kita semua binatang. Binatang yang boleh berkata-kata. Teman-teman, kata Tauke Sarkas, kita semua binatang. Kau, aku dan kalian semua binatang. Tak punya otak dan bodoh. Benar. Binatang memang ada di sekeliling kita. Binatang ialah mereka ; orang-orang yang beriman dengan korupsi.


Orang-orang yang beriman dengan korupsi tak peduli akan dosa korupsi. Orang-orang yang beriman dengan korupsi takkan peduli apa yang orang katakan tentang mereka. Kata Aku, ‘wang ialah Tuhan yang kedua’. Kalau orang-orang yang percaya dengan Triniti, maka wang ialah Tuhan keempat mereka. Macam Tauke Sarkas. Katanya, “Aku ini manusia tapi pakai sarung muka babi. Banyak lagi orang lain serupa ini”.


Orang-orang yang beriman dengan korupsi ialah orang-orang yang pakai sarung muka babi. Macam Mak Ngah yang punya mata macam mata ular dan suka membuat fitnah ke sana ke mari. Atau Pak Long yang muka macam monyet dan berperangai macam monyet. Nahh, orang-orang yang beriman dengan korupsi punya muka macam babi. Menyedut segala kekotoran dan najis-najis orang lain lalu kenyang dengan wang dan kekuasaan. Seusai kenyang, diberakkan muka-muka orang bawahan dengan najisnya yang jijik dan tak termaafkan. Siapa orang-orang bawahan? Teman-teman, orang bawahan ialah orang-orang macam kita. Makan tahi!


Kita – saling bertengkar memaki orang munafik, zindiq dan kafir. Sesama masyarakat yang makan tahi, kita saling menuduh dan kalau boleh mahu saling berbunuhan. Tinggal takutkan tali gantung (atau mungkin ada yang masih takutkan Tuhan?). Sedangkan, orang-orang yang beriman dengan korupsi ialah orang yang sentiasa berpura-pura dan selalu terlepas pertuduhan. Macam Tauke Sarkas. Katanya “ Kaujuga mesti berpura-pura. Lihat aku, aku berpura-pura. Aku senang. Kaujujur, apa yang kau dapat? Terbujur! Hei, kaudengar ini., kau tak boleh berjalan lurus di atas jalan yang bengkok. Kau mesti turut berjalan bengkok juga, baru selamat!”.


Ya. Benar kata Tauke Sarkas. “Orang yang terlalu lurus, orang yang selalu ikut aturan sahaja yang selalu terkena. Cuba kaufikirkan baik-baik kata-kataku ini. Sebab? Manusia itu, manusia itu termasuk juga aku dan kau, semuanya memakai topeng. Kalau kaulihat orang semacam aku ini, senanglah kaucam. Muka macam babi, perangai macam babi, tapi kalau mukanya cantik? Kauboleh tahu perangainya cantik?”


Orang-orang yang beriman dengan korupsi, sedang berpura-pura dengan songkok dan janggut macam orang-orang alim. Orang-orang ini menuturkan kalimat Tuhan sambil dibelakangnya mengira-ngira wang yang berganda-ganda. Berjalan bengkok kerana yang bengkok lebih menyenangkan. Lalu berdoa kepada Tuhan ihdinassiratal mustaqim! Ihdinassiratal mustaqim! Celaka.


Malangnya, ada orang-orang macam Aku. Kata Aku, “Tapi tuan orang baik. Tuan mau menolong saya”. Naif dan lurus sekali bukan? Sedangkan kata Tauke Sarkas, mana boleh kau berjalan lurus di jalan yang bengkok. Namun, Tauke Sarkas, engkau lupa. Mana ada orang yang mahu berjalan di jalan yang bengkok. Kan semua orang melaungkan ihdinassiratalmustaqim? Tapi Tauke Sarkas ialah orang yang beriman dengan korupsi. Katanya : kausilap. Aku bukan mahu menolong kau. Aku mahu menolong diri sendiri. Semua orang begitu. Sekarang ini, yang memberi pertolongan adalah kerana kepentingan dirinya sendiri. Aku juga begitu.


Teman-teman, orang-orang yang beriman dengan korupsi bukan mahu membantu kalian melainkan dengan kepentingan peribadi.


Sekarang ini, orang berasa ditolong-tolong oleh orang-orang yang beriman dengan korupsi. Lalu, menafikan orang lain yang menjerit-jerit tak tertolong. Orang-orang yang beriman dengan korupsi tersenyum sambil membelai janggut dan mengucap tahmid kerana disayang-sayang dan ditatang-tatang. Orang-orang yang beriman dengan korupsi berasa senang mengisi jawatan-jawatan dan dijanjikan wang berganda-ganda.


Orang-orang yang beriman dengan korupsi membenarkan kata Abdullah Hussain, semua orang gila memberi nilai yang bukan-bukan kepada kepingan kertas-kertas (wang) itu daripada kertas-kertas yang lain. Kertas-kertas itu pula akhirnya menimbulkan kegilaan orang mengejarnya. Mahu mendapatkan kertas-kertas itu orang sanggup berbunuh-bunuhan, berpatah arang dengan kaum keluarga, menipu, menjual maruah.


Orang-orang yang beriman dengan korupsi ialah Baboon yang melompat ke sana ke mari dengan punggung merah yang terdedah namun terus berbangga dengan dosa yang bertumpuk-tumpuk.


Celaka.


Bacaan lanjut : 1. Cerpen Baboon (Suatu Subuh yang Bening) – Abdullah Hussain

48 views0 comments
bottom of page