top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

ANTARA MITOS & FAKTA: MENGHARGAI KEARIFAN LOKAL MELAYU Oleh: Ahmad Muziru Idham

PENDAHULUAN: MITOS SEBAGAI TRADISI KEBUDAYAAN BANGSA

Setiap bangsa yang wujud daripada sistem komuniti tradisional sememangnya memiliki mitos kebangsaan (national myth) yang tersendiri. Malah tidak dinafikan bahawa mitos kebangsaan ini adalah antara elemen yang menyempurnakan pembentukan sesebuah negara bangsa (nation state) disebabkan mitos itu mempunyai elemen kebudayaan dalam mitos itu memiliki naratif, kepercayaan, dan nilai norma tradisi yang membentuk sesebuah bangsa.

Kalau dalam mitos Greek, ada kisah Sisyphus yang dihukum oleh dewa Zeus untuk menolak batu besar dari bawah bukit sehingga ke puncaknya disebabkan Sisyphus angkuh terhadap dewa Zeus. Kalau dalam mitos Jepun pula, ada sekumpulan dewa pertama yang digelar sebagai Kotoamatsukami yang wujud selepas penciptaan alam semesta.

Daripada sekumpulan dewa Kotoamatsukami ini maka lahirlah pelbagai dewa-dewa lain yang memiliki cerita-cerita mitosnya yang tersendiri sehingga membentuk banyak kepulauan di Jepun. Malah dalam bangsa Melayu sendiri, antara mitos yang terkenal ialah kisah puteri 7 beradik dalam tarian Ulek Mayang ataupun kisah Raja Iskandar Zulkarnain yang berkahwin dengan Puteri Syahrul Bariah, anak Raja Kaid Hindi yang merupakan seorang raja di India dan perkahwinan mereka dilangsungkan oleh Nabi Khidir.

Mitos-mitos ini memberi kesan besar kepada pembentukan kebudayaan dan kebangsaan. Untuk memahami semangat pemikiran (psyche) sesebuah bangsa, mitos bangsa tersebut adalah elemen terawal yang perlu difahami terlebih dahulu. Hanya orang yang tidak faham disiplin sosiologi sahaja yang akan menolak kepentingan mitos kebangsaan ini.

Namun begitu, dalam membincangkan soal mitos dan fakta ini, suatu perkara yang perlu diakui adalah, persoalan mitos dan fakta bangsa Melayu memiliki wilayah kekaburan yang sangat luas sehingga proses hendak menyisihkannya adalah memerlukan proses akademik yang banyak.

Oleh sebab itu, tulisan ini akan membincangkan dua perkara, iaitu (1) Memadukan antara mitos & fakta; dan (2) Membezakan antara mitos & fakta. Mungkin secara kasarnya dua perkara tersebut dilihat paradoks untuk dibincangkan bersama dalam satu tulisan.

Tapi, justifikasi saya adalah, kedua-dua perkara tersebut adalah dua perkara yang perlu dilakukan serentak sebagai proses pewacanaan mitologi dan fakta sejarah Melayu dalam keadaan kedua-dua perkara tersebut perlu diletakkan dalam kerangka perbincangan yang betul. Apabila pemaduan ataupun pembezaan mitos & fakta dibincangkan pada tempatnya yang betul, maka ia akan menatijahkan sebuah wacana mitologi dan sejarah kebangsaan yang lebih padu.

MEMADUKAN ANTARA MITOS & FAKTA

Jika memadukan mitos dan fakta itu adalah bermaksud hendak menerima percampuran kedua-duanya sebagai sesuatu yang sama, sudah tentu ia adalah bermasalah. Ia sama bermasalah dengan kebanyakan teks hikayat Melayu yang mencampur adukkan antara mitos dan fakta lalu menyebabkan keabsahan teks tersebut untuk menjadi sumber rujukan untuk fakta-fakta sejarah sudah menurun dan tidak dijadikan sumber rujukan utama lagi.

Jika kita baca semula teks seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Tuhfat an-Nafis dan sebagainya itu sarat sekali dengan mitos dan magis yang melanggar logik adat dan tidak mematuhi disiplin teks sejarah. Maka, secara disiplinnya, pemaduan antara mitos dan fakta tidak boleh dianalisis daripada disiplin sejarah.

Tetapi, jika dikaji dari sudut linguistik, simbolisme, kebudayaan, kesusasteraan, semangat pemikiran bangsa, tatasusila, norma adat, dan sebagainya lagi, mitos dan fakta ini menjadi sesuatu yang sangat penting untuk dilihat secara bersama-sama kerana ia memberi banyak petanda dan mesej-mesej besar untuk memahami sosiologi sesebuah bangsa. Sosiologi kebangsaan ini dikaji melalui kerangka mitologi, di mana cerita-cerita yang bersifat supernatural ini dikaji dan ditafsir untuk memerhati nilai dan kepercayaan asal sesebuah bangsa.

Mitos berfungsi sebagai subjek yang memiliki nilai-nilai pemaknaan yang bersifat abstrak melalui hubungan antara makhluk dengan sesuatu yang melibatkan hal supernatural, manakala fakta berfungsi sebagai objek realiti yang mengandungi kesan-kesan daripada pengaruh mitologi tersebut.

Mungkin ramai orang merasakan bahawa tidak ada keperluan untuk mengkaji hal-hal purba yang lebih bersifat abstrak sebegini kerana peredaran waktu dan evolusi sosial telah banyak merubah semangat pemikiran masyarakat ke arah yang lebih moden. Tetapi, perlu diingatkan bahawa, sekiranya akar kepada semangat pemikiran sesebuah bangsa itu tidak difahami, maka kita akan gagal membuat penilaian dengan lebih mendalam tentang permasalahan semasa yang kebanyakan berlaku disebabkan oleh faktor semangat pemikiran yang dimiliki oleh sesebuah bangsa.

Sebagai contoh, feudalisme bangsa Melayu itu dikuatkan oleh kepercayaan bahawa raja itu memiliki keturunan yang mulia yang datang daripada keturunan Raja Iskandar Zulkarnain seperti yang ditulis dalam Sulalatus Salatin. Dengan kepercayaan geneologi tersebut, maka kedudukan raja-raja itu semakin dimuliakan lagi dengan wujudnya simbol-simbol kebesaran yang menjadi simbol khas diraja seperti warna kuning, langgam bahasa istana, seni reka kediaman istana yang khusus, memiliki tatacara protokol istimewa, raja memiliki daulat yang tinggi dan ancaman berunsur ghaib bagi sesiapa yang menderhaka kepadanya, dan banyak lagi.

Ia dikuatkan pula dengan gelaran "zilullah fil ‘alam" (bayangan Allah di muka bumi) pada suatu ketika dulu. Jadi, dengan keistimewaan-keistimewaan tersebut, secara tidak langsung ia menimbulkan rasa hormat kepada masyarakat yang memandang tinggi dengan kedudukan dan kemuliaan raja dalam pentadbiran yang memiliki taraf sosial yang tidak sama seperti rakyat jelata.

Maka kita akan segera faham bahawa semangat pemikiran bangsa Melayu yang feudalistik itu datang daripada mitos zaman lampau yang membentuk fakta-fakta kesultanan seperti yang kita dapat lihat pada masa sekarang. Dengan faham semangat pemikiran kebangsaan tersebut, maka kita dapat lihat betapa bangsa Melayu sangat berpegang kuat dengan norma kepercayaan dan amalan tradisi serta merasakan pentingnya untuk tradisi pemerintahan beraja itu perlu dikekalkan bagi menjamin kestabilan sosial dan mempertahankan suatu sistem yang dianggap telah selari dengan nilai-nilai Islam. Segala-galanya bermula daripada mitos yang dipercayai turun-temurun lalu ia menghasilkan fakta-fakta realiti yang terbangun menjadi sistem sosial yang kuat.

Dengan penjelasan daripada contoh tersebut, maka kita dapat melihat betapa perlunya dalam kerangka analisis tertentu, pemaduan antara mitos dan fakta adalah penting untuk memahami semangat pemikiran bangsa dengan lebih tepat dan menyeluruh. Mitos-mitos ini diwarisi melalui sastera lisan (seperti cerita-cerita rakyat, puisi tradisional, dll), kepercayaan turun-temurun (seperti pantang larang, amalan ghaib, dll), dan seni kebudayaan (seperti ulek mayang, wayang kulit, tarian zamin, tarian kuda kepang, dll), dan sebagainya.

Mitos yang diterima melalui pengaruh persekitaran sekeliling tersebut memupuk kepada pembangunan sistem kebudayaan bangsa dan menjadi simbol kepada jati diri. Jadi, apabila pemaduan mitos dan fakta dalam kerangka analisis, kita dapat memahami gambaran semangat pemikiran bangsa Melayu dengan lebih meluas.

MEMISAHKAN ANTARA MITOS & FAKTA

Selepas saya sudah membincangkan tentang pemaduan antara mitos dan fakta, saya kira wajar juga saya bawa suatu penegasan di sini bahawa, kita wajar juga sedar bahawa kefahaman dan kepercayaan kita terhadap mitologi jangan sampai membawa kita larut dalam khayalan sehingga kita mempercayainya sebagai sebuah fakta realiti yang konkrit.

Saya melihat bahawa wujud sebilangan kelompok sosial yang terlalu bergantung dan mempercayai teks-teks hikayat sehingga mempercayainya sebagai sebuah fakta sejarah dan sosiologi masyarakat tanpa bersifat kritis dan melalui proses kajian ilmiah terlebih dahulu. Tulisan-tulisan yang ada dalam teks hikayat sekadar diterima seadanya dan menolak pandangan pihak-pihak yang cuba untuk mengkritisinya.

Seperti yang saya katakan tadi, kebanyakan mitos dan fakta Melayu klasik banyak bercampur gaul dalam teks-teks bertulis yang dinamakan sebagai hikayat. Kalau mitos bangsa lain, ia terang-terangan adalah sebuah mitos kerana ia adalah sekadar cerita-cerita lisan dan unsur-unsur mitosnya yang terlampau bersifat ghaib dan ketuhanan.

Tapi dalam bangsa Melayu, kebanyakan mitos dan sejarah itu dicampurkan sekali dalam kebanyakan perkara menyebabkan kerja-kerja pemisahan antara fakta dan mitos itu memerlukan kepada kerja-kerja bersama antara sejarawan, sasterawan, sosiologis, antropologis, dan ahli linguistik yang amat teliti.

Permasalahan berlaku apabila ada mitos yang telah dianggap sebagai sejarah oleh sebahagian besar masyarakat, malah diserapkan pula dalam buku teks sejarah sekolah yang dianggap pula sebagai salah satu fakta sejarah. Tapi, permasalahan dan persoalan paling utama adalah, bagaimana sebuah fakta sejarah (jikalau benar ia adalah fakta) yang masih kabur sumber primernya dan masih kekal berada dalam perbahasan akademik untuk dibuktikan kebenarannya namun telah digazetkan sebagai fakta sejarah dan diajar pula kepada pelajar sekolah yang masih belum memiliki cukup maklumat untuk kritis terhadapnya?

Jadi, apabila ada ahli akademik yang jujur datang untuk membuktikan bahawa Hang Tuah dan Sang Sapurba itu adalah mitos dan dongeng, maka dia bukannya datang untuk "deconstruct" mitos dan naratif lama mahupun menafikan fungsi mitos dalam pembinaan negara bangsa. Tugasnya adalah untuk menegakkan kebenaran antara fakta dan mitos, supaya kerja-kerja ahli akademik seterusnya adalah membincangkan soal fakta dan mitos itu pada kedudukannya yang sebenar.

Apabila pemisahan antara fakta dan mitos telah dibuat dengan teliti, barulah kerja-kerja pewacanannya dapat dibuat dalam kerangka yang tepat dan menumbuhkan ilmu yang benar dan bermanfaat.

Sudah tentu kita tidak mahu fakta-fakta yang salah diajar secara meluas dan dimasukkan pula dalam silibus-silibus pendidikan sehingga melahirkan orang-orang yang berilmu songsang. Sebab seperti saya kata tadi, mitos adalah perkara yang membentuk semangat pemikiran sesebuah bangsa.

Kalau perkara mitos dianggap sejarah, maka ia akan menyebabkan penerimaan dan kefahaman bangsa itu akan mengalami kecelaruan terhadap bidang ilmu itu sendiri. Proses pembuktian ilmu itu terputus apabila pangkal kepada kajian adalah dengan meletakkan kepercayaan kepada sesuatu yang bersifat mitos.

Sebab itulah, apabila ada ahli akademik yang datang menyanggah fakta yang diterima secara meluas selama ini dan menghukumnya sebagai mitos, maka, debatlah. Debatkan dengan bukti dan fakta yang lebih konkrit. Perdebatan ilmu itu akan lebih memberi manfaat, berbanding sekadar menolak kajiannya mentah-mentah dengan falasi "ad hominem" dan merasa diri "ana tahu" (holier than thou).

Dengan hal yang demikian, dalam struktur kebudayaan bangsa Melayu yang kompleks dalam memisahkan antara mitos dan fakta dalam banyak hal, sifat kritis dalam telahan akademik itu sewajibnya perlu ada. Jika tidak, bangsa akan terus dipermain-mainkan untuk terus mempercayai sesuatu yang tidak wujud dan tidak betul lalu kekal berada dalam pemikiran yang picik dan khayalan.

PENUTUP: MELETAKKAN MITOS DAN FAKTA PADA TEMPAT DUDUKNYA YANG SEBENAR

Antara mitos dan fakta, saya cuba untuk berlaku adil dalam membincangkan kepentingan kedua-duanya dalam pembentukan sejarah dan kebudayaan bangsa. Ketika ramai orang merasakan bahawa mitos itu adalah suatu karut-marut dan ketahyulan yang perlu dibuang daripada proses evolusi kebangsaan yang sepatutnya lebih saintifik dan objektif, ramai orang terlupa bahawa mitos itu jugalah yang banyak membentuk kepada tradisi kebudayaan masyarakat dalam mengekalkan jati diri sesebuah bangsa.

Tamadun-tamadun besar dunia seperti Greek, China, Jepun, Parsi, dan Hindu itu memiliki pelbagai mitos dan lagenda lalu membentuk semangat pemikiran bangsanya untuk menjadi bangsa yang kuat dan mempunyai jati diri yang tinggi.

Tapi dalam masa yang sama, kita juga perlu sedar bahawa kebenaran itu harus berasaskan pada fakta yang konkrit dan bukti yang sahih. Dalam kebangsaan Melayu khususnya, banyak perkara yang kita percayai selama ini itu adalah tidak berasaskan kepada fakta yang sahih, melainkan mitos semata-mata.

Masalah berlaku apabila sesebuah mitos itu kita percayainya sebagai sebuah fakta sejarah. Apabila perkara tersebut berlaku, ia bukan sekadar merosakkan pertumbuhan ilmu, malah menyebabkan sesebuah bangsa bertumbuh daripada faham sejarah yang batil. Mitos adalah mitos; fakta adalah fakta. Kedua-duanya harus benar-benar dicerakinkan dan disusun pada tempatnya yang betul.

Ketika kita membincangkan mitos, kita harus sedar dan faham bahawa ianya adalah mitos. Manakala ketika kita membincangkan fakta, kita harus sedar dan faham bahawa ianya adalah fakta. Apabila kita mampu memahami antara mitos dan fakta, maka kita akan dapat membincangkan dan meletakkan pada tempat yang betul. Barulah pembangunan dan evolusi bangsa dapat bertumbuh dengan baik dan berada di atas landasan yang betul.

Pembahagian antara mitos dan fakta barangkali tidak sukar untuk dibezakan dalam tamadun-tamadun yang lain. Jadi, tidak ada masalah dalam soal pewacanaannya. Tetapi disebabkan tradisi kebangsaan Melayu adalah amat unik sehingga banyak perkara yang kabur dalam memisahkan antara mitos dan fakta (seperti polemik kewujudan Hang Tuah, Sang Sapurba, Puteri Gunung Ledang, geneologi raja-raja Melayu daripada keturunan Sultan Iskandar Zulkarnain, dll) menyebabkan tulisan ini perlu ditulis.

19 views0 comments

Comments


bottom of page