Oleh: Azura Nasron
Selain daripada ruang-ruang untuk beribadah atau bercinta, ada satu lagi ruang yang telah kita hilang. Iaitu ruang untuk kita beristirehat, membuat kerja dan bertenang. Pada saat ini, aku berada di kedai kopi terkenal, Starbucks. Tempat minuman kelas 4 bintang. Air yang mahal tapi masih mampu, tempat duduk yang ala romantis dengan lampu malap yang buat jiwa berada di tengah-tengah khayalan sama ada mahu teruskan menulis atau duduk saja sambil mendengar lagu dan menghirup secangkir kopi yang manis tidak terasa kafeinnya.
Boleh dikira di sini hampir setiap meja akan ada seorang tuan bersama air kopi manis tadi dan juga komputer riba. Ada yang dari tadi asyik melihat skrin. Ada yang bertukar dari komputer riba kepada telefon pintar. Tidak ketinggalan juga ada yang melelapkan mata di bawah lampu gelap romatis ini.
Oh menarik juga, ada satu meja itu lihatnya seperti sedang berlangsung sesi pembelajaran, seorang guru dan anak murid membuat kelas tambahan. Ya, di dalam Starbucks! (Lepas ini barangkali solat pun di Starbucks?)
Soalnya, sebelum ada Starbucks ini ke mana semua pergi untuk buat kerja? Juga, akan datang nanti adakah Starbucks masih mampu memenuhi ruang istirehat sambil bekerja ini? Nah, jarang sekali sebenarnya kita mahu membincangkan soalan ini. Perkara yang sering dibincangkan selalunya hanyalah budaya, sastera, masyarakat dan pendidikan tetapi bagaimana pula dengan senibina? Bukankah senibinalah yang menetukan ruang dan corak tingkah laku kita semua ini?
Senibina seharusnya dibina mengikut masalah atau kehendak sosial masyarakat pada waktu itu sendiri. Mari kita lihat pada masa dulu;
1) Padang atau Dataran. Kalau dulu itulah tempat pasar dan bazar. Juga jika ada apa-apa pertemuan disitulah ruang tempat orang berkumpul. Perkara ini boleh dilihat dalam gambar-gambar arkib di depan Istana Kelantan dahulu. Namun, sekarang sudah jadi tempat parkir kereta.
2) Balai. Juga lebih dikenali sebagai Balai rakyat. Sekarang ini di Malaysia kita ada balai ini ataupun kita lebih gemar memanggilnya dewan, dewan serbaguna. Selalunya di bawah majlis pembandaran. Harus apply terlebih dahulu, harus meminta perlepasan baru boleh digunakan.
3) Pedombok. Ruang orang berkumpul untuk pertemuan dan kebudayaan tiap-tiap malam. (Sekarang apa kalau mahu belajar kebudayaan? Aswara? Istana budaya?)
Banyak lagi sebetulnya. Ada Panggung, Wakaf, tapi sayang semuanya sudah hilang. Ruang ini semuanya sudah diambil oleh Pemerintah, dijual pada orang lain, pada bangunan tinggi-tinggi yang dibina hanya untuk jual baju dan bubble tea. Aduh.
Apa pun yang paling tersial sekali adalah diantara ruang-ruang yang kita kehilangan ini adalah, kita juga hilang arah. Ya bayangkan, bila kita tiada lagi ruang-ruang besar seperti di atas, interaksi kita antara masyarakat sudah berkurangan. Perkara yang mahu dilakukan pun berkurangan. Jelas setiap minggu yang ada Cuma makan KFC, tengok wayang, main bowling atau karoeke sahaja. Ya mungkin kau fikir, di arus kemodenan ini buat apa lagi kita mahu ruang yang besar, kita sudah tidak lagi melihat Wayang Kulit atau melakukan Tarian Kuda. Nilai estetika kini adalah daripada muzik, dokumentari, gambar, art gallery.
Nah, tapi semua ini dimana sekarang ini? Di arus kemodenan ini, jika tidak ada wang, untuk melihat semua ini pun tidak bisa. Yang ada semuanya harus bayar beratus-ratus lagi. Yang ada tinggal semua Cuma ruang media. Tiada lagi ruang fizikal.
Apatah lagi dalam membicarakan aktiviti-aktiviti organik, para penjual yang tidak dalam menjual di tepi taman. Di dalam mall pula mahal. Jadi penjualan Cuma terhap di pasar-pasar. Selebihnya adalah haram, jika datang majlis pembandaran habis diangkut semuanya.
Jangan salah faham, kemodenan itu tidak salah. Yang salah adalah memilih-milih dalam memodenkan sesuatu. Yang satu bukan main kehadapan, mahu mencipta itu, membina ini, setinggi-tinggi langit semuanya, tapi yang satu lagi ini dibiarkan sepi, hidup segan mati tak mahu. Contohnya,
1) Mahu dibina universiti merentas negara Jepun, membina Oxford, tetapi perpustakaan di universiti itu sendiri tutup jam 10 malam. Buku-buku terhad. Terjemahan tiada. Ruang untuk buat kerja, perbincangan tidak disediakan. Mahu membuat aktiviti harus minta perlepasan.
2) Membina Masjid sebesar-besarnya, gah dengan batu dari Turki dan cermin yang bewarna warni, tetapi ruang untuk anak-anak kecil tiada. Tempat untuk anak muda beriadah tiada. Tempat rujukan buku tiada.
3) Di kawasan-kawasan perumahan, tidak ada pun ruang pun untuk anak-anak berkumpul untuk membuat kerja sekolah beramai-ramai atau belajar apa-apa selain daripada silibus persekolahan, semuanya kerana tiada ruang. Terpaksalah kelas tambahan di Starbucks. Kalau tak ada duit, pergilah kelas percuma yang disediakan di dalam bilik bawah flat yang keadaannya lemas, kipas rosak, kerusi meja tiada dan sebagainya. Acuh tak acuh begitu.
Namun, seharusnya perkara ini harus dibincangkan lebih. Disaat ahli majlis melakukan aktiviti megah sekali khemah-khemah yang dipasang. Setiap bulan ada sahaja peruntukan untuk banting-banting mengucapkan selamat itu dan selamat ini.
Persoalan binaan ini sebenarnya sebahagian daripada kita. Bagaimana kota itu diatur kemampuan untuk hidup secara manusiawi. Masalahnya adalah apabila binaan itu lebih kepada kereta tetapi bukan kepada masyarakat. Maka disisi-sisi kemanusiaan hilang. Banyak hal-hal penting tidak dapat dikembangkan. Sehinggalah kita tidak lagi merasakan kehilangan apa-apa pun dan yang ada ini sudah cukup dan malah bagus sekali, kerana dianggap kita ini jauh kehadapan kemodenan.
Sayangnya kita terhad dalam memahami kemodenan, sebab itulah duduk di Starbucks sambil buat kerja ini dianggap borjuah, kelas tinggi, ‘cool’, padahal ia sebenarnya jelek, tidak sesuai untuk buat kerja dengan bunyi putaran kisar kopi, dan lagu yang tidak semengah mahu pasang atau tidak, juga cakap-cakap orang sebelah yang sampai ke meja sini pun bisa dengar.
Aduh, aku butuhkan ruang sekarang ini.
Comments