Oleh: W.N. Khuzairey
DUA MINGGU lalu, saya ke Melaka bagi menghadiri konferens sejarah. Pada waktu malamnya, saya sempat bertemu teman rapat di kedai makan popular pujaan kita apa lagi kalau bukan kedai mamak. Suasananya bising, puntung rokok banyak di buang ke lantai.
Dalam suasana hiruk-pikuk itu, mata saya sempat merakam sekumpulan pemuda yang duduk di bahagian hujung kedai mencampakan ais lebihan dari gelas minuman kepada anjing liar yang berkeliaran di sekitar kedai. Anjing itu tersentak lalu berlari lintang pungkang, mungkin kerana kesejukan, kesakitan atau terkejut. Siapa tahu.
Beberapa hari berlalu, saya menyaksikan satu lagi kes yang melibatkan anjing cuma kalini platformnya di media sosial. Seorang lelaki menemui seekor anjing yang telah dipotong mulutnya. Akibatnya anjing itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan lemah.
Sebenarnya dalam tak sedar banyak lagi kisah-kisah mengenai anjing yang diperlakukan sewenangnya lebih kejam yang tak sanggup saya tuliskan. Apa dosa haiwan ini sebenarnya sehingga kita manusia sanggup memperlakukan dengan sedemikian rupa?
Imaginasi Anjing Pada kita
Bagi seorang muslim, mungkin anjing bukanlah seekor haiwan yang boleh dibela dan dibelai seperti haiwan-haiwan lain, tapi berdebatan soal ini masih berlarutan kerana ada mazhab yang membenarkan dan ada yang tidak. Apa pun kita perlu kembali pada isu pokok, walaupun dan sekiranya haiwan ini benar-benar haram dari disentuh dan dibela, ia tidak bermakna yang kita mampu sewenangnya melakukan apa-apa saja perkara ke atas mereka. Kerana Tuhan tidak pernah mengarahkan kita membunuh atau bertindak kejam keatas segala jenis haiwan mahupun haiwan itu haram sekalipun.
Kadangkala, perkataan “anjing” itu juga seakan menjadi satu konotasi yang hina buat kita malah dijadikan bahan cacian dan makian buat orang lain walhal haiwan itu tidak mencampuri urusan seharian kita. Jadi mengapa perlu direndahkan nyawa mereka?
Faktor Menganjingkan anjing
Mungkin manusia yang kejam terhadap haiwan ini punyai sifat kemanusiaan yang pudar. Sifat kemanusiaan bukan hanya terzahir ke atas manusia dengan manusia sahaja, ia juga boleh dijelmakan keatas benda-benda bernyawa yang lain sama ada tumbuhan mahupun haiwan. Logiknya jika kita tidak boleh berperikemanusiaan dengan haiwan apa jaminan kita boleh berperikemanusiaan sesama manusia? Mungkin disebabkan itu Voltaire pernah mengungkap: “Tidak ada orang besar yang tidak menyumbangkan kebesaran pengabdiannya kepada kemanusiaan.”
Harga kemanusiaan terjelma apabila kita memberikan hak-hak buat mereka tanpa kita meragutnya. Seperti perlindungan, kesihatan, makanan, juga kasih sayang. Iinilah tugas manusia, sebab itu manusia menjadi khalifah di bumi juga sesempurna ciptaan Tuhan, kerana hanya kita sahaja yang boleh bertindak lalu mewujudkan kedamaian.
Kedua kita tidak menghormati benda yang bernyawa. Ketika peperangan berlangsung, tentera Islam dilarang merosakkan harta benda, memotong pokok, membunuh haiwan kecuali dalam keadaan darurat. Bayangkan ketika perang yang keadaannya kacau bilau pun dilarang sama sekali membunuh atau mencederakan benda-benda hidup, apatah lagi jika keadaannya bukan berperang? Kerana tunjang Islam itu merupakan kedamaian dan kesejahteraan kenapa pula kita mahu menentangnya? Setiap hari kita membentak supaya hak-hak kita dipenuhi, begitu juga dengan hak haiwan itu sendiri. Maka apa alasan kita untuk mencapakan ais ke atas tubuh atau memotong mulutnya? atau mendera mereka?
Ketiga, bagi seorang Islam memberi makan juga menjaga kebajikan anjing tidak akan menjatuhkan iman. Kerana tugas sebagai seorang manusia adalam menyantuni. Tak perlu kita wujudkan sikap-sikap phobic tak bertempat, bertindak ganas melulu kerana takutkan iman kita runtuh apabila bertemu anjing bukanlah saesuatu yang baik, sebaliknya iman kita akan tercalar sekiranya kita membiarkan haiwan itu dizalimi, kebuluruan, kesakitan dan mati. Tidak perlu juga memandang serong pada manusia yang menyerahkan kehidupan mereka untuk berbakti pada haiwan ini, sama ada individu itu Muslim ataupun tidak.
Saya fikir inilah poin paling penting untuk kita renungi. Usahlah kita menyalurkan emosi yang tidak bertempat terhadap haiwan ini, kerana takut-takutnya kita lebih binatang dari binatang.
Tugas sebenar
Anjing itu sudah pun wujud, jadi tugas kita adalah dengan mendepani haiwan ini. Jika kita mahukan keselamatan dan kesihatan terjamin, pertama kita perlu sama-sama mengawal populasi haiwan ini. Memberikan mereka suntikan vaksin atau mungkin perlu dimandulkan supaya populasinya terkawal dan lebih selamat.
Kedua, mungkin kita perlu wujudkan pendidikan menjaga haiwan. Sesiapa yang mahu menjaga haiwan comel ini perlu melalui beberapa kelas yang mengajar soal tindak-tanduk juga perbuatan mereka, supaya nanti jika kita berniat untuk membelanya kita sudah tahu perkara-perkara asas buat mereka. Ketiga perlu diraikan kewujudannya supaya kita dapat belajar menghargai semasa benda hidup dan kita menyedari bahawa kita hidup atas bumi ini adalah untuk berkongsi dan kasih mengasihani.
Kesimpulan
Masalah harus didepani bukan dihabisi. Kejam itu bukan sifat manusiawi malah barbarik diri. “Kematian memang rahasia Tuhan. Tapi kejahatan kemanusiaan, tak boleh dibiarkan.”setidaknya itu pesanan dari Najwa Shihab. Jangan sampai nantinya anjing kita berubah kepada anjingnya kita.
Comments