top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

ANGRYPANDA: KENAPA MESTI BERSOLIDARITI?

Oleh Izzah Dejavu.



SEMALAM ketika berfikir bahawa kita telah gagal dalam sistem neoliberal dan pemiskinan ini dan kita harus membayar harga yang mahal atas kegagalan itu, FOODPANDA; aplikasi penghantaran makanan yang pastinya digunakan oleh para ‘kidz jaman now’ membawa satu harapan baru, bahawa setiap yang tertindas mestilah bangkit melawan penindasan atas diri mereka. Kaedah pembayaran baharu yang lebih menindas dan tidak manusiawi serta sikap lepas tangan para majikan dalam sistem ekonomi kapitalis adalah sebab mengapa mogok pekerja FOODPANDA dijalankan di beberapa negeri termasuk Lembah Klang. Sistem neoliberal dan pemiskinan secara automatis ini mesti digugat dengan kesedaran masyarakat sendiri menjadi pengawas kepentingan umum.


Setelah perang dunia berakhir, ramai beranggapan bahawa perjuangan telah berakhir dengan upacara kegemilangan yang gilang gemilang. Bahawa setiap dari manusia telah bebas atas nama demokrasi adalah ayat paling munafik. Kita terlupa bahawa setelah itu, masyarakat memasuki satu fasa zaman baru, di mana kebebasan-kebebasan manusia mulai terbelenggu dengan ekonomi, politik dan hal-hal lain yang mengikat mereka untuk tetap bergantung. Di satu sisi lain, ini bermakna satu kelas manusia akan terus berlawan dengan orang-orang yang mempertahankan hak mereka yang di atas, dan ini tidak akan ada hentinya, kerana perjuangan untuk kebebasan adalah perjuangan terus-terusan. Dan ini termasuklah perlawanan atas sistem ekonomi yang menindas para pekerja bawahan.


Solidariti penuh atas #AngryPanda adalah tuntutan agama. Menyedari tidak ada tanah di bumi ini yang terlepas dari penindasan, adalah penting keberpihakan kita pada mereka yang tertindas. Apatah dalam penindasan sistem yang sulit untuk kita lihat apalagi untuk kita keluar darinya. Tindakan #AngryPanda ini mengingatkan kita pada suatu sabda nabi yang dipelajari kalau diterjemahkan begini,


‘Tidak beriman siapa yang tidur dalam keadaan kenyang, sedangkan tetangganya kelaparan.’


Hadis ini jika dipandang secara sekali lalu dan literal adalah satu hadis biasa. Tetapi jika di nilai secara kritis, hadis ini adalah hadis yang luar biasa. Ia bukan secara sempit mengatakan kita hanya harus peduli pada jiran tetangga tetapi adalah bagaimana Islam cukup menitikberatkan terhadap keadilan sosial, terhadap kemakmuran semua.


Makanya, kita tidak boleh lagi berdiam diri atas penindasan orang lain apatah diri sendiri. Kita tidak boleh berdiam diri lagi dalam menjalani ekonomi kapitalis dan syarikat-syarikat neoliberal yang bersembunyi di balik sut-sut korporat. Bayangkan saja jika tiba-tiba iman kita dinilai berdasarkan sejauh mana kepedulian kita pada keadilan sosial- barangkali hampir semua kita tidak beriman, kalau kita masih berdiam atas penindasan-penindasan yang berlaku. Jika dinilai melalui hadis tadi-iman kita itu barangkali tidak sempurna.



'Tidak ada daerah atau sekecil kawasan di dunia ini yang benar-benar bebas dari penindasan. Tempat yang tidak ada penindasan itu hanya ada di syurga, bukan di bumi ini.' Memetik kenyataan dari KI H. Ashad Kusuma Djaya itu menjadikan pesan-pesan agar orang-orang beriman mesti menjadi penegak keadilan dan melawan penindasan kerana orang baik-baik tetapi sendiri itu naif.



Justeru,jika kita sepakat untuk bebas dari belenggu,tidak kira belenggu apapun- maka kita harus mengenal diri dan esensi agama. Menjadi tanggungjawab pula untuk kita mempersoal bahawa gerakan-gerakan, tujuan-tujuan dan solidariti yang kita tonjolkan adalah untuk siapa? Apakah kita dalam diam menjadi jurucakap mereka yang berkuasa atau kita bersama-sama dengan kaum tertindas? Apakah agama ini dijadikan alasan untuk lari dari perjuangan bersama orang tertindas atau agama menjadi alat revolusi untuk melawan yang tertindas kerana utuh meyakini bahawa itulah semangat revolusi yang di bawa oleh Rasul?



Dalam sholawat dan solidariti,

Izzah Dejavu.

17 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentarios


bottom of page