MAO ZEDONG ketika dia mahu melancarkan revolusi demi menjatuhkan pemerintahan lama di China tidak hadir dengan tangan kosong, dia cukup sedar gerakannya seorang diri tidak mampu mendatangkan hasil yang ampuh untuk sebuah revolusi besar, disebabkan itu dia perlukan sokongan iaitu daripada rakyat banyak. Jadi perkara pertama yang dilakukan ialah menyedarkan rakyat tadi. Maka timbullah pelbagai slogan yang menggegarkan jiwa antaranya “Dari Rakyat Untuk Rakyat” walaupun pendek tapi slogan ini berjaya membina anggapan dan harapan bahawa rakyat juga punyai kuasa dan suara untuk menentukan masa depan mereka juga negara.
Cerita itu kekal dalam lipatan sejarah dan cerita itu juga terbit ketika kita mahu membahaskan bagaimana ideologi komunisme boleh terbit di Asia. Namun slogan “kuasa rakyat” dan “suara rakyat” ini tidak hanya hadir ketika revolusi komunisme sahaja malah ia juga hadir dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Aturan sistem demokrasi mudah terutama dalam memilih pucuk pimpinan, harus ada persetujuan dari semua lapisan masyarakat, jadi bagi menentukan persetujuan itu hadir wujudlah satu sistem yang dipanggil pilihanraya, dimana setiap masyarakat diberi pilihan untuk memilih pemimpin berdsarkan akal waras, pertimbangan dan moral mereka sendiri.
Dalam sistem dmokrasi juga, seringkali rakyat disebut, diangkat, dipuja sebagai satu ejen yang boleh membawa perubahan. Slogan “Kuasa Rakyat” selalu didendangkan baik di telinga kiri mahupun di telinga kanan. Tetapi sebenarnya realitinya bukan begitu. Suara rakyat benar-benar tidak wujud dan kalau ada pada pun hanyalah pada dua hari pertama dan dua hari sebelum pilihan raya berlangsung ataupun sebelum kuasa didapatkan, selebihnya adalah milik kuasa elit. Maka secara realistiknya bila berbicara tentang kuasa rakyat bisa saja ia menjadi sesuatu topik yang naif, kalaupun tidak sesuatu yang bohong saja.
Jadi kalau rakyat sebenarnya tidak berkuasa, siapakah yang pantas mengambil kuasa itu? Sudah tentulah elit. Beginilah yang dimaksudkan dengan kuasa elit.
Pertama mereka bersekongkol untuk mengatur siapa yang berkuasa tidak kisah dari latar belakang apa, musuh atau tidak, melanggar moral atau tidak mereka sendiri yang menentukan siapa yang perlu naik dan siapa yang perlu diturunkan.
Kedua mereka menjadi pemain dan pada masa yang sama menjadi pewasit dalam gelanggan politik. Kadang-kadang mereka berbicara soal keadilan, kadang-kadang merekalah yang melanggar keadilan.
Ketiga janganlah terperdaya dengan muluk-muluk ideologi mereka kerana yang benar hanyalah tombolok atau kepentingan ekonomi, status, sumber dan peluang. Itulah yang dikerjakan oleh elit penguasa dan elit seperti ini ialah lawanan dari jenis elit yang kita idamkan sebagai gerombolan yang boleh memimpin, memajukan, menyedarkan, memperhaluskan dan menjayakan anak bangsa dan negara. Dalam sejarah tentu pernah ada tetapi kalau disebut kini ditempat kita, bohong saja kalau kita mengakuinya ada
Percaturan politik sehari-hari membuat tembolok atau perut mereka makin besar sedangkan sumber yang berlegar makin kecil apabila dibahagi dan direbut. Habis tenaga dan fikiran mereka bicara segalanya atas dasar material tadi maka tiadalah masa dan kemampuan untuk bicara bagaimana memajukan bangsa dan negara, meluruskan mana yang tersopak dan tertanggal serta membangun potensi anak juga rakyat kecil yang seharusnya ditampilkan untuk generasi kini dan kemudian.
Mengharapkan elit melakukan seperti itu nampaknya makin jauh malah lebih jauh dari kita sampai ke akhir cakerawala yang paling hujung. Ini bukan pesimis, bukan sinis tapi ini mahu mengundang supaya kita selalu kritis untuk membicarakan elit yang berkuasa, yang memperkotak-katikkan kehidupan kita, mendiktate segala milik kita untuk kepentingan mereka dan akhirnya membuat kita ke lembah yang berpecah belah, sungai yang lapar, telaga yang kosong peluang, bukit yang menimbun korupsi, pantai yang dibenteng kroni mungkin yang berbaur perkauman dan dataran yang dihuni oleh manusia lambak.
Kuasa elit sudah dibicara sepanjang zaman sejak tamadun bermula, gerak sejarah banyak ditentukan olehnya sampai ada yang berhujung dengan kelaparan dan kebuluran. Banyak elit yang gila dan ganas tetapi ada juga sebilangan kecil yang tercerah dan berkemajuan. Rupanya bukan elit itu yang kita nantikan tetapi kita telah banyak membenarkan elit yang kalut, kolot dan karut memimpin kita. Kita diperbodohkan oleh mereka malah mereka mengatakan kitalah rakyat yang bodoh tapi asalnya kita tahu kita dipimpin oleh orang-orang yang tak cukup pandainya.
Inikah elit yang kita mahu? Sejarah akan menentukan dan gerak perubahan sejarah ialah kita, menanti elit ialah lorong bahaya. Kita harus serius tentang elit. Dalam pengertian kita harus mendalami peribadi, peri budi dan perilaku mereka. Kesilapan kita yang terbesar ialah merelakan, membenarkan elit memporkatik-katikan kita, dengan tak menghormati demokrasi, ilmu dan kuasa. Kita telah membiarkan mereka mendiktate hidup kita. Jadi tugas kita dalam projek emansipasi dan kesedaran harus memastikan kelompok yang atas juga dicerahkan bukan hanya yang dibawah sahaja.
Kupasan di atas bukanlah bermaksud kita perlu anti-elit. Dalam masayarakat yang berkembang kita memerlukan elit tapi elit yang berpegang pada moralitas, akal sihat, nurani yang berpihakan, ada kesedaran untuk membangun yang terpendam dan tersisih tetapi dalam masa yang sama membangun dan menyuburkan mereka yang berbakat dan bersungguh untuk mengemudi negara. Elit yang benar seharusnya tidak meletakan keadilan hanya dibibir tapi teratur dalam gerak kerja.
top of page
Search
bottom of page
Comments