top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

AGAMA ITU HARUS BEBAS

Oleh A. Muziru Idham.




1) PADA 2 Mac 2019, saya menghadiri tayangan dokumentari Rahmat Buat Semua yang digerakkan oleh komuniti Malaysia Muda di Gerak Budaya. Projek ini merupakan suatu usaha yang baik daripada mereka dalam menjelaskan konsep Islam sebagai “rahmatan lil ‘alamin” kepada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan terdiri daripada masyarakat muslim dan non-muslim ini.


2) Dengan naratif dan fakta dokumentari yang boleh diperincikan lagi dan suntingan video yang boleh ditambah kreatif, usaha mereka yang sedang membawa tayangan video 30 minit ini menjelajah ke seluruh Malaysia wajar dipuji dan disokong bagi memahamkan kepada masyarakat tentang pentingnya nilai kebebasan dan kesamaratan bagi setiap pelosok sosial.


3) Paling menarik ialah pada bahagian perbincangan pasca tayangan. Perbincangan berlangsung dengan kritis dengan respon peserta yang pelbagai dan membawa pandangan balas yang berbeza. Perbincangan semalam banyak menumpu kepada suatu isu yang saya rumuskan ke dalam satu soalan, 'Agama dan politik : Apakah ia perlu disatukan atau perlu dipisahkan?'


4) Ada yang mengatakan bahawa majoriti masyarakat Malaysia adalah beragama Islam justeru naratif Islam dan pemerintahan itu tidak boleh dipisahkan. Islam itu sendiri adalah jalan hidup, justeru politik sebagai sesuatu yang sebagai sebahagian daripada cara hidup tidak boleh hendak dipisahkan. Ia adalah perlu dibincangkan secara selari. Tinggal sahaja pentafsiran Islam itu perlu lebih dinamik sesuai dengan keadaan semasa.


5) Dalam masa yang sama, ada juga memberi pandangan bahawa wacana agama dan politik atau hal-hal keideologian lain itu tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja dalam perbincangan awam. Sebabnya, kita perlu menyediakan alternatif kepada wacana agama yang telah menjadi jalur utama dalam pemikiran masyarakat hari ini dengan membawakan pemikiran-pemikiran yang menyebabkan Islam kelihatan sempit dan mendiskriminasi hak kaum lain. Maka, kita perlu masuk ke dalam wacana sebegitu bagi menyampaikan bahawa ajaran Islam yang sebenar adalah tidak sesempit dan konservatif sebegitu.


6) Sekiranya kita tidak masuk ke dalam wacana sebegitu dan terus berpendirian kepada pemisahan langsung antara agama dan politik, akhirnya kita akan hanya meninggalkan terus persoalan-persoalan yang perlu dijawab kepada masyarakat dan masyarakat akan dibiarkan terkontang-kanting tanpa jawapan atau terus hidup dengan gaya pemikiran yang memahami Islam dengan cara yang sempit dan menindas. Jadi, perlu juga ada naratif Islam dalam mana-mana entititi untuk dibincangkan dalam mencerahkan masyarakat kepada nilai ajaran Islam yang sebenar.


7) Saya pula berpendirian sebaliknya.


8) Bagi saya, agama itu harus bebas daripada campur tangan unsur lain (politik, ideologi, ekonomi, dll) dan juga harus bebas daripada diselit-selitkan dengan perkara lain. Sebagai contoh, tidak perlu adanya sosialisme Islam, sekularisme Islam, liberalisme Islam, politik Islam, negara Islam, demokrasi Islam dan segala macam entiti dan ideologi lain yang hendak diselitkan dengan Islam. Ideologi ialah ideologi. Islam ialah Islam. Menyelit-nyelitkan begitu hanya menyempitkan makna Islam sahaja.


9) Hanya kerana sesuatu perkara atau entiti itu memiliki sebilangan ciri yang selari dengan ajaran Islam, tidak bermakna ianya adalah mewakili Islam itu sendiri. Islam itu berdiri sebagai sebuah ajaran yang memandu masyarakat kepada kebenaran dan kebaikan. Islam menyediakan asas-asas fundamental untuk manusia hidup. Jadi, tidak kisahlah manusia nak jadi apa sekalipun – liberal ke, sekular ke, sosialis ke, anarki ke – tetapi yang penting adalah memahami fundamental agama yang dapat memberikan kebaikan kepada masyarakat dan laksanakannya dalam kehidupan. Sebab ideologi atau sebarang sistem sekalipun adalah alat hasil daripada renungan pemikiran manusia, tetapi agama menyediakan asas bagaimana untuk memastikan alat tersebut berfungsi dengan baik dalam masyarakat.


10) Bayangkan sekiranya ketika kita mendakwa-dakwi bahawa sesuatu sistem atau ideologi itu lebih dekat dengan Islam, bagaimana sekiranya penganut agama lain pula mendakwakan hal yang sama dikaitkan dengan agama mereka (Kristian, Hindu, Buddha, Yahudi, dll)? Bagaimana sekiranya dikatakan corak sistem pemerintahan di Malaysia ini (yang kononnya ialah Negara Islam ini) lebih dekat pula ciri-cirinya dengan ajaran agama lain? Kacau tu. Tujuh keturunan tak habis debat.


11) Sebab itu perlunya kepada pemisahan antara agama dan politik. Apabila mengatakan pemisahan, bukanlah bermaksud tidak mengambil peduli langsung nilai-nilai agama untuk menjadi naungan politik. Sebarang perkara daripada nilai-nilai ajaran agama yang baik itu, wajar sajalah dikedepankan dan diterapkan dalam pemerintahan. Tidak perlu pun untuk melabel politik atau apa jua perkara sekalipun dengan tempelan jenama agama bagi mencari sokongan dan keuntungan.


12) Cukup mengambil intipati ajaran agama seperti keadilan, kebebasan, kesaksamaan, kesantunan, dll itu dan terapkan dalam kehidupan dan sistem politik. Pengamalan kepada nilai itu yang lebih penting, kerana penjenamaan agama kepada sesuatu itu tidak menjadikan kita lebih beriman pun. Malah yang sibuk bergaduh tentang jenama itu sendiri kebanyakannya sampai melabel orang, menyindir, memberikan kata-kata negatif, mendiskriminasi, dan sebagainya itu yang langsung bertentangan dengan ajaran agama.


13) Jika tidak, akhirnya yang terfitnah itu kepada agama itu sendiri juga apabila berlakunya kesilapan dan kelemahan dalam pengurusan. Katakan sahaja Malaysia ini Negara Islam, tetapi kadar korupsi jauh lebih tinggi daripada negara Islam, apakah jawapan kita kepada orang bukan Islam terhadapnya? Apakah kita akan sentiasa berapologetik dan membuat penafian bahawa, “Oh, Ini bukan ajaran Islam. Islam mengajarkan kebaikan, tetapi kelemahan ini datang daripada kekurangan dan hawa nafsu pengikutnya sendiri.”


14) Berapa ratus tahun kita perlu berapologetik sedemikian, sedangkan yang kita tampilkan sentiasa tidak seindah daripada apa yang kita khabarkan? Malah, bagaimana pula kita mahu menjawab bahawa apa yang dijenamakan Islam dengan apa yang tidak dijenamakan itu secara hakikinya tidak ada beza pun?


15) Tuhan tidak memerlukan negara untuk dijenamakan dengan nama muluk-muluk pun untuk Dia turunkan rahmat dan keberkatan. Yang Tuhan anjurkan kepada manusia ialah khalifah yang ditugaskan untuk memakmurkan dan menyebarkan kesejahteraan kepada dunia, tidak kisahlah kepada apa dan siapa sekalipun. Jadi, fokus sajalah kepada tugas-tugas untuk memakmurkan dunia.


16) Saya juga berpendirian bahawa kita tidak semestinya perlu masuk kepada wacana agama jalur utama dengan membawa wacana alternatif yang serupa juga. Jika orang dengan wacana politik Islam, parti Islam, negara Islam (dan segala hal-hal yang diislamkan), kita tidak perlu untuk masuk ke dalam wacana yang sama untuk memahamkan masyarakat. Masyarakat yang sudah menerima kefahaman pada corak Islam yang berbentuk sebegitu tidak wajar untuk didatangkan dengan alternatif lain yang berbentuk serupa tetapi dengan versi yang berbeza.


17) Ada ketika, memang kita perlu datangkan tafsiran yang alternatif. Tetapi dalam isu begini, saya fikir yang perlu dilakukan adalah bawa kefahaman masyarakat kembali kepada kefahaman Islam yang sebenar dan luas tanpa perlu menempelkan juga dengan elemen lain seperti ideologi, sistem politik, dan sebagainya. Membawa keluar masyarakat daripada jerat harimau, tidak wajar pula dengan menunjukkan mereka kepada jerat yang barangkali ada binatang berbisa pula sedang menanti di hadapan. Perbalahan tentang tafsiran siapa yang paling baik tanpa berkesudahan ketika masyarakat di luar sana sedang menghadapi kemiskinan, kelaparan, penderitaan, diskriminasi, ditindasa,dan sebagainya adalah tidak menguntungkan.


18) Yang lebih baik saya kira, keluarkan masyarakat daripada belitan sebegini dengan membawa mereka kembali kepada ajaran agama yang tulen tanpa perlu mengait-ngaitkan mereka dengan apa-apa entiti sekalipun. Fahamkan masyarakat kepada nilai fundamental agama itu secara langsung dan tunjukkan mereka kepada pengalaman beragama yang sebenar. Kelak mereka sendiri akan terjemahkannya dalam kehidupan walau apa jua fahaman dan kepercayaan mereka sekalipun dalam hidup ini apabila mereka sudah faham apa erti beragama.


19) Kalau masyarakat kita ni majoriti sememangnya jenis berlapang dada dengan perbezaan pendapat tidak apa. Tapi yang kita hadapi sekarang ialah golongan yang tidak mahu masyarakat itu berbeza dan berasa mulia dengan identiti keagamaan dan kebangsaan mereka serta melihat orang yang tidak sama identiti dan kepercayaan mereka sebagai lebih rendah dan perlu menuruti sahaja apa jua kepercayaan mereka. Golongan inilah yang suka mencari keuntungan dengan menempel-nempel agama dengan politik, ekonomi, perundangan, perbankan, dan sebagainya agar masyarakat mudah terikut-ikut dengan bawaan mereka. Jadi, untuk mendidik masyarakat agar tidak berperilaku seperti itu, kita tidak boleh nak bawa masyarakat kepada bentuk yang seperti itu juga.


20) Sekadar itu pandangan saya.

30 views0 comments

コメント


bottom of page