Oleh Huda Ramli.
SERINGKALI dimomokkan agama ini mengajar dan menuntut perempuan bersifat taat dan patuh tanpa menyoal. Apabila perempuan bersuara dan mempertikai banyak perkara yang dirasakan tidak adil pada dirinya, dia akan mudah-mudah dinerakakan, dilempar tuduhan liberal, ateis dan sekarang tuduhan paling lunak adalah feminis. Konotasi feminis adalah konotasi yang buruk, kerana feminis dianggap melawan agama.
Frasa ‘feminis tidak tentu hala’ biasa sahaja dilontarkan seolah-olah yang misoginis dan patriarki itu ada yang tentu hala dengan tidak tentu hala. Walhal yang menindas itu adalah misogini dan patriarki tetapi keseganan untuk memanggil yang menindas itu tidak tentu hala masih lagi berpaut pada otak masyarakat kita dan seburuk itulah fikiran mereka pada perempuan melawan. Tidak kisahlah apa spektrum penindasannya, perlawanan perempuan dituntut untuk beretika dan penuh lemah-lembut serta kesopanan.
Namun, apabila sejarah agama ini disoroti, kita akan dapati bahawa praktik agama menjadi baik kerana para perempuan bersuara dan melawan. Mari kita lihat sebahagian daripada kelantangan perempuan yang telah menjadikan agama ini baik dan membaikkkan:
1. KHAULAH BINTI THA’LABAH pernah datang mengadu kepada Nabi SAW tentang perbuatan suaminya Aws bin Samit yang telah menzhiharkan beliau (zhihar adalah cara orang Arab Jahiliyah menghina isteri mereka, iaitu perbuatan mengharamkan diri mereka daripada menggauli isteri mereka dengan cara menyamakan bahagian belakang isteri mereka dengan ibu mereka). Khaulah enggan bersetubuh dengan suaminya sehingga terjadi pergelutan antara mereka. Kata Khaulah: “Demi Tuhan yang diri Khaulah di tanganNya, tangan kau tidak akan menyentuh aku sehingga Tuhan memutuskan tentang hal aku dan kamu”. Apabila Khaulah mengadu kepada Nabi SAW, Khaulah disuruh pulang dan taatkan kehendak suaminya. Diriwayatkan, apabila Khaulah pulang ke rumah, beliau berdoa mengadu kepada Tuhan akan kesengsaraan dirinya. Lalu ayat 1-5 Surah Al Mujadilah turun membetulkan fatwa Nabi SAW. Ayat yang turun ini mengutuk perbuatan zhihar dan menggariskan kafarah (hukuman berbentuk denda) yang dikenakan kepada suami mahu menggauli isterinya semula.
Kalaulah sikap Khaulah sama seperti apa yang dituntut kepada perempuan hari ini oleh agamawan, pasrah dan menyerah sahaja dengan alasan tuntutan agama, sudah pasti amalan menghina isteri tahap tinggi seperti zhihar ini tidak diharamkan dan tiada kafarah dikenakan kepada pelakunya. Bukan setakat itu, sudah dikira murtad agaknya kerana tidak percaya dengan fatwa Nabi.
2. Surah Al Ahzab ayat 35 turun menyebut tentang perempuan kerana merespon ‘complaint’ UMMU SALAMAH kepada Nabi SAW yang tidak puas hati kerana merasakan perempuan di anak tirikan oleh Al Quran kerana hanya menyebut lelaki dan tidak menyebut perempuan. Kalau hari ini Ummu Salamah mengadu, sudah pasti akan dicemuh gila nama dan frontline sebagaimana perempuan sekarang yang bising tentang ‘manel’ atau panel lelaki. Ummu Salamah pasti akan diceramahlelakikan tentang merit dan seumpama dengannya seperti kebiasaan lelaki dan banyak juga perempuan sekarang. Tapi nampaknya Tuhan tidak menTuhanceramahkan Ummu Salamah tentang merit dan gila ‘frontline’. Respon Tuhan ini menunjukkan ‘complaint’ representasi perempuan dan kenampakan perempuan itu ‘valid’.
3) KUBAISYAH BINTI MA’AN mengadu kepada Nabi SAW bahawa beliau tidak mahu diwariskan (iaitu menjadi barang warisan) dan berkahwin dengan anak suaminya. Pada zaman itu, amalan Arab adalah mewariskan balu kepada anak lelaki si mati dan anak lelaki akan berkahwin dengan ibu tirinya. Lalu ayat 19-22 surah An Nisa’ turun mengharamkan amalan mewariskan perempuan dan mengahwini ibu tiri. Pada masa itu, amalan mengahwini ibu tiri dan mewariskan perempuan masih lagi dilakukan dan tidak diharamkan melainkan setelah Kubaisyah membuat aduan tentang dirinya yang tidak mahu diperlakukan sebegitu. Kalaulah Kubaisyah mengadu tentang perasaan dirinya seperti ini sekarang, sudah pastinya akan dijawab ‘orang lain okay je’ atau ‘nenek aku elok je kahwin dengan ayah tiri dia’.
4) ‘Aishah meriwayatkan bahawa seorang perempuan muda datang kepada beliau untuk mengadukan halnya kepada Nabi SAW yang dipaksa berkahwin dengan sepupunya oleh bapanya dengan tujuan untuk menaikkan taraf kedudukan sepupunya yang rendah. Apabila Nabi SAW datang dan mendengar aduan perempuan tersebut, bapa perempuan itu dipanggil datang berjumpa dengan Nabi SAW. Di hadapan bapanya, Nabi SAW menyerahkan kepada perempuan tersebut untuk memutuskan apa yang dia hendak lakukan dengan perkahwinannya, mahu cerai atau diteruskan. Jawab perempuan itu kepada Nabi: “Aku sekarang membenarkan apa yang bapaku lakukan ke atasku. Aku (cuma) mahu mengajar kaum perempuan bahawa bapa tidak ada hak untuk memutuskan dalam hal ini (menentukan perkahwinan)”. Hadith Rawayat Bukhari, An Nasai dan Ibn Majah.
Kalau perempuan ini melakukan perkara yang sama pada masa sekarang, sudah tentu dilempar dengan gelaran anak kurang ajar dan tidak tahu diuntung kerana menjatuhkan air muka bapanya di hadapan Nabi SAW. Sungguhpun sudah ada hadith sejelas ini, masih ada yang berani kata hadith ini tarafnya cuma sekadar nasihat untuk bapa mendapat izin anaknya sebelum mengahwinkan mereka dan kedudukan wali yang ada hak untuk memaksa anak perempuan mereka berkahwin masih lagi kekal tidak terancam dan absah seolah-olah tiada apa.
Inilah sebahagian daripada kisah-kisah perempuan melawan dalam sejarah agama ini yang berjasa menjadikan praktik beragama ini baik. Jadi, kalau ada yang kata perempuan melawan ini akhirnya ke neraka, jawab sahajalah neraka itu untuk despot dan orang zalim, bukan untuk orang melawan kerana Tuhan bersama-sama dengan orang melawan!
Nota: Asbab An Nuzul (Sebab-sebab penurunan) ayat-ayat yang dinyatakan boleh dirujuk dalam kitab-kitab tafsir.
Comments