Ketidakadilan, kemiskinan dan kemanusiaan adalah hal yang panjang yang sehingga kiamat pun tak henti – henti dibicarakan. Di sebalik kemajuan dan kemaruk duniawi ada pertarungan kehidupan yang tidak terlihatkan. Di satu sudut, ada yang dinafikan pendidikan kerana kemiskinan. Dalam satu hela nafas yang panjang, ada tangisan dirundung malang kemiskinan. Dan dalam dunia serba moden, ada yang mengucap syukur kerana tak terlahir malang hingga dalam doa di akhir sujudnya hanyalah tentang ‘Ya Tuhan, kau kekalkan dan permudahkan rezeki dan kekayaanku’ dan bukannya untuk menghentikan kesengsaraan dan tangisan pemilik pondok kecil yang atapnya sudah bocor dan seringkali kuyup ditimpa hujan. Tuhan, adakah kau menciptakan kami untuk bersikap individualistik? Adakah syukur itu untuk kami melihat kesengsaraan yang lain lantas berasa beruntung?
Polemik kemiskinan tidak pernah sampai ke titik noktah. Sering sahaja Pak Menteri dengan liur suci bebernya mahu menghapus kemiskinan hingga ke akar. Soalnya, semenjak Dasar Ekonomi Baharu yang dulu dengan bangga diperkenalkan, adakah akar kemiskinan sudah terhapus? Kekayaan hari ini hanya dinikmati oleh punggung – punggung kapitalis yang dengan rakus mengeksploitasi rakyat untuk mereka duduk mengangkang di atas katil emas dan berlian. Namun, dalam kita mengangkat manusiawi kononnya keberpihakan adalah kepada yang sengsara sebagaimana yang dibawakan oleh sosok berpengaruh dunia. Adakah benar ideologi Muhammad yang dibawakan?
Dalam kaca mata sosiologi, orang miskin itu miskin kerana mereka tidak bekerja, mereka mempergunakan wang untuk berjudi, mabuk – mabukan dan mereka memiliki kehidupan yang kacau bilau. Soalnya adakah orang kaya itu kaya kerana mereka bekerja, tidak mempergunakan wang untuk berjudi, mabuk – mabukan dan memiliki kehidupan yang aman serta tenteram? Oscar Lewis membincangkan bahawa budaya kemiskinan ini adalah sindrom khusus yang muncul dalam beberapa situasi. Contohnya seperti pengangguran dan upah pekerja yang terlalu rendah. Orang miskin sudah tersepit dalam rumah kaca yang menekan hinggakan mereka menyimpan marah dan terus – terusan dianaktirikan dalam negara yang mengejar permodenan. Biarpun dengan upah yang sedikit serta kapitalis yang menekan, mereka perlu bekerja demi kelangsungan hidup. Lalu anjing – anjing kapitalis terus mengeksploitasi masyarakat kelas bawah yang tak punya pilihan.
Maka, sehingga hari ini yang miskin terus miskin dan yang kaya terus melangkah dengan lilitan dUck scarves serta ‘selipar pasar malam’ Gucci. Kemiskinan menyebabkan individu tidak mendapatkan hak pendidikan sewajarnya sehingga walaupun sudah berpuluh tahun bermandi peluh bekerja membanting tulang, peluang mereka amat tipis untuk dinaikkan pangkat hanya kerana tidak tahu berbahasa inggeris. Individu terpaksa berkerja lebih masa hanya untuk mendapatkan wang lebih sekurang – kurangnya untuk melangsaikan hutang. Sedari kecil hingga dewasa, lingkaran kemiskinan masih tidak dapat diputuskan.
Ideologi Muhammad mengajar masyarakat Islam khususnya untuk menghapus kemiskinan. Islam adalah agama yang membawa manusia keluar dari jerit perih kelaparan sehingga diwajibkan ke atas umat Islam mengeluarkan zakat. Malahan dibincangkan oleh ulama’ kontemporari Dr Yusof Al Qaradhawi dalam bukunya, Fiqh Awlawiyyat, antara menunaikan haji dan membantu jiran tetangga yang dibelenggu kemiskinan, yang mana perlu diutamakan? Juga dibincangkan oleh beliau, antara implementasi hudud dan membasmi penindasan juga kemiskinan, hal mana yang perlu didahulukan? Hari ini, si miskin mencuri dua ringgit dari tabung masjid untuk sesuap nasi sahaja dihukum keras. Apa ertinya Islam melawan kemiskinan?
Kesukaran dan jerih perih masyarakat tertindas hari ini menjadi modal bicara agamawan melariskan buku dan program ceramah masing – masing. Agamawan bermanis kata meromantisasi kemiskinan. Kata mereka, agama tak boleh dipilih – pilih. Ironi. Melihat si tua yang kurus kering kerana kelaparan, lalu mereka laungkan kalimat Tuhan : apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan : kami telah beriman sedangkan mereka belum diuji?” (QS Al Ankabut : 2-3). Bicara agamawan, kamu miskin kerana kamu diuji. Kamu miskin kerana kamu adalah dalam kalangan orang yang beriman. Ustaz, kalian bermewahan dengan harta yang berlipat ganda, isteri yang bukan seorang, lalu adakah kalian tidak beriman? Ustaz, bukankah kemiskinan itu lambang keimanan?
Lalu, agamawan bicara lagi, melihat kesengsaraan orang miskin, maka ucapkanlah syukur. Bersyukur kerana bukan aku yang terlahir miskin. Bersyukur kerana bukan aku yang dirundum malang. Bersyukur kerana rezeki Tuhan berpihak kepada aku. Dibiarkan si miskin terus dihambat kemiskinan dengan susah payah mereka mengejar beras yang semakin dikejar semakin mereka hilang.
Lalu, si miskin mencari agama untuk keluar dari penjara kemiskinan. Mencari Tuhan, agar bebas dari belenggu kemiskinan kerena agama – membebaskan. Kata agamawan, bersyukurlah kerana hari esok masih ada. Bersyukurlah, biar miskin harta jangan miskin budi. Bersyukurlah kalian dipilih untuk miskin kerana harta kalian tidak akan dipersoalkan kelak. Bersyukurlah. Jadi ustaz, agama tidak benar – benar membebaskan?
Ustaz, masihkan kalian ingat : Maka, kecelakaan besar bagi orang – orang yang melakukan sembahyang ; iaitu mereka yang lalai dari sembahyangnya juga orang yang riak dengan sembahyang mereka, dan orang – orang yang enggan memberi pertolongan ( QS Al Maun : 107: 4-7). Celakalah orang yang solat sekiranya disekelilingnya dibiarkan masyarakat sengsara dek kemiskinan. Ustaz, adakah solat kalian benar – benar solat jika kemiskinan tidak kalian angkat?
Sudah - sudahlah meromantiskan kemiskinan. Tidak ada yang indah tentang kemiskinan. Tidak ada ‘biar miskin asal bahagia’. Tidak ada yang bahagia dengan kemiskinan. Yang ada hanyalah si miskin yang melukis dan memalsukan senyum kerana walau apapun, mereka perlu terus hidup dan membahagiakan yang lain. Hingga akhirnya, mereka terus ditindas dan ditekan. Mereka sedar namun mereka terus melakukan.
Suatu hari, nelayan tidak keluar menangkap ikan. Petani tidak mengerah keringat menuai padi. Pemungut sampah tidak bermandi najis memungut sampah. Pekerja kilang tidak menunggang motor untuk ke tempat kerja. Buruh tidak membancuh simen. Penjaga tandas awam tidak memungut wang. Pegawai kebersihan tidak lagi menyapu lantai. Agamawan, adakah kalian akan terus bersyukur?
Di mata orang kota, kemiskinan itu satu kesalahan. Lupa mereka lauk yang dimakannya itu kerja kami – Pramoedya Ananta Toer
Kommentare