Oleh Basri M.
HARI Rabu, jam menunjukkan pukul 2.15 petang, aku harus bergegas ke pejabat bahagian kewangan kerana mesyuarat akan bermula. Nafas yang kencang. Tangkas. Langkah yang diorak seluas mungkin. Kalau kelewatan pasti aku dimarahi oleh Dr. Zulkifli; majikan aku.
Dalam kekabutan bergegas mengejar waktu, mataku tertarik pada sebuah pintu kaca disebelah kanan aku. Aku berhenti. Berdiri tegak dan mendekatkan diri pada pintu kaca itu. Kelihatan pintu kaca pejabat itu tertutup. Aku mengintai untuk mengetahui lanjut pejabat apakah ini namun gelap. Lokasinya ditepi tangga tingkat dua bangunan E0 fakulti kejuruteraan. Mata aku tertarik pada satu papan tanda yang benar ditampal di pintu pejabat kosong sebentar tadi. Tertera perkataan ‘We Islamize’. Aku kaget, terpaku dan semacam banyak perkara bermain di fikiran.
Apa itu Islam yang dimaksudkan dan difahami mereka? Apa kesan ‘kami sudah Islam’ itu pada mereka dan komuniti setempat? Islam yang bagaimanakah bentuknya itu? Apakah sebelum ini mereka tidak Islami sehingga perlu diwar-warkan secara bertulis dan rasmi bahawa mereka Islam? Bagaimana pula reaksi non-muslim yang berkunjung ke pejabat itu tatkala melihat papan tanda itu?
REVOLUSI IRAN DAN KETERGESAAN ISLAMISASI KITA
Kalau kita menyoroti sejarah kampus yang terletak di daerah negeri Selangor yang bersempadan dengan negeri Pahang ini maka tidak akan pelik kita temui bagaimana papan tanda ‘We Islamize’ ini wujud. Di peringkat golbal , era 1980an dan era 1990an merupakan era dimana dunia Muslim menerima dampak yang kuat hasil Revolusi Iran 1979. Iran ketika itu berjaya membuat satu revolusi menumbangkan monarki mereka, rejim Shah Pahlevi yang korup dan menindas. Faktor kemelesetan ekonomi juga antara faktor akar kepada revolusi ini.
Kejatuhan dinasti Shah Pahlevi yang didokong oleh Amerika Syarikat ini menjadikan Iran sebagai Negara Republik Islam. Negara teokrasi yang diperintah oleh seorang Mullah / spiritual leader. Peristiwa ini semacam menjadi pembakar semangat untuk banyak gerakan-gerakan Islam seluruh pelosok dunia ‘mengibarkan Islam’. Hal ini termasuk juga Malaysia. Gerakan-gerakan Islam di Malaysia seperti PAS, ABIM, JIM dan lain-lain juga makin naik ‘asyik’ memberi-beri dan melabel-label Islam.
UNIVERSITI ISLAM, PROJEK ISLAMISASI YANG ARAB
Lanjutan daripada gelombang global telah melahirkan pelbagai label, penjenamaan dan lambang-lambang Islam lokaliti. Anwar Ibrahim dan rakan-rakan beliau telah menggagaskan begitu banyak projek islamisasi di Malaysia. Tanya sahajalah pada orang awam ketika dekad 80an dan 90an itu apa sahaja yang tidak dinamakan Islam. Segalanya ditempel Islam. Bank Islam, Universiti Islam, Insurans Takaful Islam, Produk Makanan dan Minuman Islam segala-galanya di syariah compliance. Ohh ya, situasi di awal yang penulis alami tadi merupakan di salah satu Universiti Islam yang lahir daripada rahim projek islamisasi ini.
Daripada politikus hingga kepada makcik berjualan di tepi dagang kesemuanya bertudung litup secara drastik kerana risau dikatakan tidak Islam. Daripada bapak dekan sehingga ke pakcik kerani semua berjubah secara tetiba. Daripada para intektual sehingga kepada syarikat syarikat konglemerat semuanya membawa naratif Islam demi keuntungan peribadi. Daripada ibu bapa yang bekerja di pejabat sehingga ke anak-anak di tadika semuanya disajikan dengan nama-nama tokoh daripada Timur Tengah. Daripada anak anak muda yang layan Sweet Charity, Wings, Deep Purple dan Scorpion semuanya dialihkan kepada lagu-lagu nasyid dan irama Timur Tengah dek fatwa muzik rock itu haram oleh pak-pak menteri. Daripada penggiat-penggiat kesenian dan kebudayaan Melayu yang organik seperti berlipur-lara di pangkin sawah petang hari, gamelan dan zapin di majlis-majlis keramaian dan bersilat di malam hari mula dibongkarkan dan diharamkan satu persatu kesenian dan khazanah nusantara ini.
Massa ini dialihkan kepada usrah, aktiviti gerakan Islam yang berkiblatkan Ikhwanul Muslimin Mesir, pertandingan nasyid, ceramah-ceramah untuk bina negara Islam. Teks-teks sastera dan hikayat telah digantikan dengan kitab-kitab Arab secara berleluasa dan paksaan.
BUDAYA TAKFIRI DAN KEBUTAAN KEARIFAN LOKAL
Kejutan budaya yang drastik ini (kurang lebih 10-12 tahun) ini memang menganggu fabrik sosial nusantara. Jika dahulu Islam kita adalah ‘Islam folks’, Islam masyarakat-kampung yang lebih sinkretis antara Islam dan kenusantaraan kini telah menjadi Islam-Arab di ranah nusantara. Segalanya Islamisasi itu harus Islamnya Timur Tengah. Selain coraknya Islam-Arab maka itu tidak Islam.
Nahh, berikutan itu lahir semacam atmosfera paranoid ‘bagaimana jika itu tak Islam’ dalam pemikiran massa. Berlumba-lumbalah kita menunjukkan siapa yang lebih Islam daripada segala Islam yang orang lain amalkan. Jika tidak ditempel Islam dan slogan-slogan bahasa Arab maka kafirlah mereka itu. Paling dahsyat adalah budaya takfiri dalam pentas politik tanah air. Pemikiran binari telah berlegar di ruang awam. Sama ada engkau ini Islam atau kafir. Bersama kita Islam, berlawanan kita adalah kafir. Ayat-ayat al-Quran mengenai jihad dan hadis-hadis memerangi musuh Islam terpampang dimana-mana. Betapa taksub dan ekstrimnya dekad-dekad itu sehingga dahulunya Ali yang sering bertukar makanan dan berkunjung ke rumah jirannya Siew Mei tidak dihantar makanan dan dikunjungnya lagi. Betapa ekstrimnya kita ingin membawa ‘projek islamisasi’ ini sehingga didalam satu kariah kampung yang sama dibina 2-3 surau berbeza. Setiap 2-3 surau yang jemaahnya hanya ahli kumpulan gerakan-gerakan Islam yang berbeza ini. Surau siapa yang lebih Islam diantara suarau-suarau tersebut.
PARANOID MUSLIM DAN KEBEBALAN KITA
Rasa keterancaman dan paranoid ini bukanlah hanya berlaku ketika 2019 ini. Kebangkitan puak kanan yang keras dasawarsa ini dengan pelbagai kempen seperti Buy Muslim First (BMF) boleh kita katakan rantaian dan lanjutan daripada Projek Islamisasi dekad 80an dan 90an. Projek Islamisasi yang taksub dan membawa rempah-ratus ke dalam acuan nusantara hanyalah ibarat bagai tikus membaiki labu. Kelihatan seperti membaiki dan menuju ke arah yang baik namun semakin menghancurkan fabrik sosial nusantara yang begitu multikultural dan unik. Fenomena Bebalisme ini telah lama disebut oleh Almarhum Prof Syed Hussein al-Atas didalam karya beliau ‘Intelektual Masyarakat Membangun’. Bebalisme ini adalah suatu fenomena kegagalan manusia untuk mengenali masalah, menghuraikan masalah, dan menyelesaikan masalah. Projek Islamisasi adalah salah satu contoh projek gagal yang membebalkan masyarakat kita.
Saya menutup tulisan ini dengan satu persoalan semula supaya kita membaca ulang dan berfikir ulang, “Adakah Projek Islamisasi itu Islam?”.
Comments