top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

ABDULLAH MUNSHI: “PENGKHIANAT BANGSA” DAN MENJAWAB AL-ATTAS

Oleh: A. Muziru Idham


“PENGKHIANAT BANGSA”


Seorang tokoh tidak pernah sunyi daripada sebarang kontroversi, bahkan kontroversi seringkali menjadikannya lebih tersanjung dan sisi idealismenya lebih terkembang. Tetapi, fenomena itu berbeza dengan tokoh yang bernama Abdullah Munshi. Wacana ketokohannya tidak banyak diangkat tinggi, tidak seperti mana diangkatnya Hikayat Hang Tuah yang menjadi perbahasan lagenda; ataupun dijulangnya Sejarah Melayu yang dimartabatkan sebagai sejarah nusantara; mahu juga Hikayat Raja-Raja Pasai yang terus menjadi bual bicara. Berbeza dengan Abdullah Munshi melalui beberapa hikayat tulisannya itu yang tidak benar-benar dipugar sedangkan isinya memerincikan wajah kebudayaan Melayu dengan salutan kritikan sosial yang tinggi. Sebutkan saja, berapa banyak karya hikayat yang berani melanggar arus feudalisme dan menawarkan cerita-cerita yang menyimpang dari tujuan penglipur lara sebelum Abdullah Munshi menulis hikayatnya?


Tapi itulah halnya yang menyebabkan Abdullah Munshi dihunjam fitnah sepanjang zaman, sehingga tidak sedikit para sarjana yang menganggapnya sebagai pengkhianat bangsa. Segeralah kita faham bahawa kritikan sosial seringkali bukan genre pilihan dalam kebudayaan masyarakat Melayu, sebab nan dipilih tetaplah hal-hal berlapik kata bersulam bicara yang disusun menjadi pepatah mahupun peribahasa. Ditambah pula rencahnya ke dalam biografi beliau sebagai seseorang yang rapat dengan pegawai-pegawai Inggeris berserta pujiannya kepada mereka, dan pernah pula membantu Inggeris dalam menterjemah Bible ke dalam bahasa Melayu, maka sepanjang zaman Abdullah Munshi dipandang dengan sebelah mata.


Walhal, kita sewajarnya berbangga dengan ketajaman cerapan Abdullah Munshi yang dapat melihat sisi-sisi kelemahan bangsanya dalam berhadapan dengan perangai bangsa kolonial dan bergerak pantas dengan arus kemodenan yang semakin tiba ke Tanah Melayu. Teguran Abdullah Munshi itu sangatlah waras, apabila melihat bangsanya sendiri yang bukan sahaja menolak untuk mempelajari ilmu-ilmu baru daripada Barat atas alasan "terlalu besar bohong", tetapi juga tidak mahu arif dalam bahasanya sendiri, iaitu bahasa Melayu, sedangkan itulah bahasa yang perlu diutama dan dibangga-bangga di hadapan bangsa kolonial. Perangai retorik berapi-api disuruh mempertahankan bahasa Melayu sedangkan nahu bahasa sendiri pun tidak dimahiri itu kelihatannya telah berlanjutan dari generasi ke generasi.


Lagi pula, Abdullah Munshi juga tidak terlepas daripada tuduhan sebagai antara orang terawal menyebarkan Kristianisasi di Tanah Melayu hanya disebabkan beliau membantu memperbetul kosa kata kolonial Inggeris dalam penterjemahan Bible. Walhal, yang Abdullah Munshi lakukan hanyalah memperbetul nahu bahasa Melayu agar tidak terus dirosakkan bangsa kolonial, tetapi tidak pula Abdullah Munshi ikut sama dalam membantu penyebarannya. Apakah buktinya yang mengatakan Abdullah Munshi membantu mubaligh Kristian menyebarkan ajaran Kristian kepada bangsa Melayu? Sekadar membetulkan nahu bahasa Melayu dalam terjemahan Bible, tidak ada mana silapnya seperti jua jikalau diperbetul nahu bahasa Melayu untuk terjemahan al-Qur'an.


Ia sekadar membetulkan semula nahu bahasa, bukan bererti menyebarkan apa-apa. Yang terjemahan al-Qur'an dengan tatabahasa yang tepat pun tidak menjadikan ramai orang lebih Muslim, apatah lagi sekadar ketepatan bahasa terjemahan Bible yang masyarakat Melayu pada zamannya itu pun tidak mahu baca. Selebihnya, sisi pandang yang ada untuk mentohmah Abdullah Munshi cumalah sekadar sangkaan-sangkaan semata-mata dengan jalinan teori konspirasi yang entah apa-apa.


Tuduhan pengkhianat bangsa ke atasnya hanya sebab-sebab yang cetek sebegitu tanpa memahami sebab-musabab tindakan Abdullah Munshi secara mendalam hanya memaparkan bahawa kritik-kritik Abdullah Munshi terhadap sikap Melayu yang kurang menghargai ilmu dan mudah pula percaya pada berita-berita yang tiada kepastiannya sebagai sesuatu yang terus relevan menjadi warisan perangai bangsa. Hairan sekali untuk dikatakan Abdullah Munshi sebagai pengkhianat bangsa ketika sumbangannya memartabatkan bahasa Melayu di hadapan bangsa kolonial adalah sangat besar. Maka sedarlah bahawa kejahilan masyarakat lampau yang disurat dan dikritik oleh Abdullah Munshi kekal berlanjutan, seolah-olah ia adalah suatu sumpahan yang akan terus diwarisi.


MENJAWAB AL-ATTAS


Saya tertarik untuk menyentuh sedikit kritikan Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu yang menolak gelaran Bapa Kesusasteraan Melayu Baru terhadap Abdullah Munshi dengan dua penghujahan, iaitu (1) Abdullah Munshi tidak mempelopori aliran baru dalam bahasa; dan (2) Abdullah Munshi tidak memiliki pengaruh dan bahasanya tidak diikuti oleh orang lain. [Rujuk nota kaki] 


Bagi hujah pertama, saya katakan bahawa: Kritikan itu tidak cukup kuat bagi menolak terus Abdullah Munshi untuk dianggap dengan gelaran itu kerana ketokohan Abdullah Munshi sememangnya tidak terbangun sebagai reformis bahasa seperti Raja Ali Haji ataupun Za’ba. Beliau terbangun sebagai guru bahasa Melayu dan seorang sasterawan yang menulis cerita-cerita dan syair-syair. Bentuk sastera hikayatnya yang mula membawa kelainan bentuk dan sudut pandang itu adalah transit kepada kesusasteraan Melayu moden. Penulisan hikayat Abdullah Munshi sememangnya menongkah arus zamannya dengan menampilkan wajah penulisan yang tidak dibumbui oleh kepercayaan tahyul, menolak mistisme, tidak bersifat feudalisme, ditulis dalam bentuk catatan pengembaraan, memasukkan watak dirinya ke dalam hikayat, dan gaya bahasanya yang bersifat transit di antara gaya bahasa klasik dan bahasa moden.


Kepengarangan Abdullah Munshi tersebut memulakan gaya sastera realisme yang berbeza daripada bentuk sastera hikayat pada zaman-zaman sebelumnya. Sastera memang bergerak di atas landasan bahasa, tetapi sastera bukanlah pencetus kepada suatu bentuk aliran kebahasaan. Kerja-kerja membangunkan aliran bahasa adalah kerja-kerja ahli bahasa, bukannya ahli sastera. Abdullah Munshi, sebaliknya, ialah ahli sastera yang mencerap persekitarannya secara realistik dan kreatif. Maka, tidak adil untuk menafikan Abdullah Munshi sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu baru, kerana julukan itu diberi pada sumbangannya dalam bidang sastera, bukannya dalam bidang bahasa.


Bagi hujah kedua pula, saya katakan bahawa: Benar hujah itu jika mengambil kira Abdullah Munshi tidak memiliki kitab tatabahasa sendiri kerana tidak sempat untuk menulisnya. Tetapi wajar diingat bahawa, Abdullah Munshi antara orang terawal yang sedar akan kepentingan nahu bahasa Melayu ditulis dan dibukukan. Sebab Abdullah Munshi memerhatikan bahawa, ketiadaan kitab nahu bahasa Melayu menyebabkan masyarakat memperlakukan hukum bahasa sesuka hatinya (terutama pengalamannya mengajar bahasa kepada bangsa kolonial). Katanya dalam Hikayat Abdullah,


Syahadan adapun pekerjaan yang kukehendaki membuat nahu dalam bahasa Melayu, iaitu hendaknya dikeluarkannya perkataan dari dalam bahasa Melayu jugam maka diaturkannya perkataan itu masing-masing dengan pangkatnya dan hukum ketentuannya dan masanya, iaitu biar menurut jalan bahasa Melayu, supaya jangan masing-masing orang membuat pandai-pandainya sendiri: seorang kata begini betul, dan kata pula seorang beginilah betul, tetapi keduanya salah kerana masing-masing menjadi hakim atas dirinya dan fahamnya sahaja: Seperti negeri tiada beraja, masing-masing mengaku dirinya raja.


Dalam masa yang sama, jika hendak disentuh jua tentang pengaruh aliran, maka sumbangan aliran penulisan Abdullah Munshi memiliki pengaruhnya yang sangat besar terhadap semangat pemikiran (psyche) masyarakat Melayu dalam penulisan-penulisan kesusasteraan selepas zamannya. Bentuk kepengarangan Abdullah Munshi sudah mula menampilkan suatu bentuk catatan yang berlaku objektif terhadap pemerhatian di sekelilingnya dan mula mengikis ketahyulan geneologi kerajaan daripada mitos dewa-dewi mahupun pengangkatan bangsawan feudal secara melambung tinggi. Selepas era Abdullah Munshi, karya-karya sastera sudah semakin terbina dengan semangat pemikiran moden dan lebih menjejak atas hal-hal yang realistik bermula awal abad ke-20. Apakah masih lagi mahu dikatakan bahawa Abdullah Munshi tidak memiliki pengaruh alirannya terhadap orang lain?


Jadi, walaupun Abdullah Munshi tidak memiliki pengaruh dari sudut aliran bahasa, tapi wajar dimaklum akan dua perkara, (1) Abdullah Munshi antara yang terawal mencetuskan idea kepentingan bahasa, sebelumnya lahirnya Kitab Pengetahuan Bahasa oleh Raja Ali Haji pada beberapa tahun selepas itu; dan (2) Gelaran Bapa Kesusasteraan Melayu Baru adalah disebabkan sumbangannya menghidupkan kepentingan Bahasa Melayu dalam struktur moden yang membebaskan kesusasteraan Melayu daripada unsur mitos dan khurafat, bukannya bertujuan mempelopori aliran sistem bahasa yang tersendiri.  


Oleh sebab itu, wajar untuk kita sedar dan tekuni dengan teliti bahawa Abdullah Munshi adalah sosok yang kandungan penulisannya seringkali dipinggirkan daripada wacana kebudayaan dan kesarjanaan Melayu. Hal yang sering mendapat perhatian cumalah pada perkara kesejarahan dalam tulisan-tulisan travelognya, ataupun pada latar belakang peribadinya dalam membuat penilaian sosiologis. Tetapi yang lebih utama untuk ditinjau adalah pada hal kritik sosiobidayanya dan penelitian pada nilai dan kepercayaan masyarakat Melayu dalam meneliti amalan kebudayaan yang mengakar dalam tradisi masyarakat Melayu. Wacana-wacananya adalah sangat penting diangkat kerana ia membina asas kepada kajian masyarakat Melayu yang lebih realistik dengan kritikan terhadap minda feudalisme dan mitos adiwira.



NOTA KAKI:


Petikan daripada Syed Mohammad Naquib Al-Attas dalam bukunya, Islam Dalam Sejarah Kebudayaan Melayu:


“Maka sesungguhnyalah patut ‘Abdu’Llah Munshi itu tidak dianggap sebagai ‘Bapak’ Kesusasteraan Melayu Baru – yang digelar orang ‘moden’ – sebab beliau pada faham saya tiada mempelopori aliran baru, akan tetapi merupakan suatu penjelmaan terakhir dari gaya bahasa Melaka yang sedang hampir hapus itu, yang dengan lambat laun diambil-alih, digantikan tempatnya, oleh aliran baru gaya bahasa Melayu-Islam. Bahkan kenyataan ini tegas benar apabila kita tinjau betul2 dan pertimbangkan dengan teliti mengapa gaya-bahasa ‘Abdu’Llah itu tiada yang menirunya, tiada yang menganutnya selepas pengaruhnya terasa pada masharakat Melayu.”

1,217 views0 comments

Comments


bottom of page