top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

8 CIRI SEJARAH SEMBERONO YANG ANDA HARUS TAHU

Oleh W.N. KHUZAIREY




SEJARAH itu merupakan salah satu elemen penting dalam membangunkan manusia, jika tidak masakan tokoh-tokoh dunia selalu memperkatakannya. Seperti George Santayana “Those who do not remember the past are condemned to repeat it.” Karl Marx juga pernah menulis isu yang sama “History repeats itself, first as tragedy, second as farce.” tidak ketinggalan George Orwell “Those who control the present, control the past and those who control the past control the future.”


Tanpa diragui pemikir-pemikir besar dunia telah mengangkat sejarah sebagai salah satu ilmu yang penting, malah sejarah juga dijuluki sebagai “the mother of all knowledge” kerana rentetan setiap peristiwa yang berlaku di dunia ini ada sejarah dibelakangnya, oleh itu tidak mungkin manusia boleh lari dari sejarah.


Namun, dalam kita menggengam-genggamkan tangan sambil menumbuknya ke langit membawa semangat sejarah, perlu juga diingatkan bahawa tafsiran manusia dalam memahami sejarah tidak boleh diendahkan. Hal ini pernah disentuh oleh seorang sejarawan terkenal bernama E.H. Carr dalam karyanya What Is History: “History consists of a corpus ascertained facts. The facts are available to the historian in documents, inscriptions and so on, like fish in the fishmonger's slab. The historian collects them, takes them home, and cooks and serves them in whatever style appeals to him.”


Dalam memahami sejarah, boleh juga terjadi sejarah semborono jika kita tidak benar-benar memahami secara kritikal apa ideologi yang mahu disampaikan oleh sang penulis sejarah “Study the historian before you begin to study the facts” jelas E. H Carr. Jadi disini saya cuba untuk senaraikan lapan ciri sejarah semborono yang perlu diberi perhatian sebelum kita benar-benar mengangkat sesuatu peristiwa itu sebagai sejarah yang penting.


LAPAN CIRI SEJARAH SEMBERONO


1. Sejarah ditulis tanpa bahan bukti kukuh. Zaman kini sesiapa saja mampu menulis sejarah, malah dengan jelas kita dapat melihat betapa banyaknya penulisan sejarah yang bersifat popular. Tidak salah, namun perlu diikuti dengan sumber kukuh. Bukan sekadar merujuk koleksi buku sejarah STPM atau sekadar imaginasi-imaginasi dan tanggapan-tanggapan liar lalu diangkat menjadi sejarah tanpa menekuni bahanya dengan teliti dan kritis. Bahan sejarah boleh hadir dalam pelbagai bentuk semisal dokumen kolonial, sejarah lisan, catatan diari dan sebagainya. Penulisan sejarah melibatkan proses yang panjang, jika sekerat maka terjadilah sejarah semberono.


2. Sejarah tanpa bingkai. Ini salah satu masalah yang dapat kita perhatikan pada penulis-penulis muda yang menulis tetang sejarah. Mereka kehilangan bingkai kajian dan perspektif. Katanya, mereka mahu menulis sejarah rakyat atau sejarah Melayu tapi bukan dengan bingkai moral semisal Howard Zinn, E.H. Carr dan Vijay Parshad, mereka masih menggunakan bingkai atau framework kolonial seperti Leopold Von Ranke atau framework agama yang sempit sebagai tapak pijakan kajian. Tanpa daya pemikiran kritis terhadap apa yang berlaku. Nanti, sejarah yang diutarakan tidak jelas juga tidak berpendirian. Contohnya, semasa mahu mentakrifkan kerajaan Melaka, mereka mengatakan bahawa Melaka itu sebuah negeri Islam, walhal jelas dalam teks menunjukan bahawa kerajaan itu merupakan sebuah feudal state. Bagaimana feudalime boleh bersekongkol dengan Islam?


3. Simpul dari sudut pandang etno-sejarah. Saya bimbang soal ini kerana sejarah digunakan seperti propaganda kaum sehingga mewujudkan etno-prejudis. Sejarah digunakan untuk menjustifikasikan kekuatan sesuatu kaum tanpa memikirkan kaum-kaum lain yang ada. Dibimbangi jika persitiwa dahulu tidak membawa semangat etno-prejudis, tapi kerana tafsir sejarah yang semberono menyebabkan kita hari ini menggunakan sejarah sebagai sumber prejudis dan perpecahan.


4. Memberi premium kepada peranan elit sahaja, menjadikan sejarah berbentuk elitis. Selama ini sejarah bergerak seakan biografi, biografi yang diambil hanya dalam kerangka orang-orang ternama, inilah kekurangnya kerana kita tidak menyeimbangkannya dengan sejarah rakyat. Seolah-olah tafsir sejarah hanya sejarah elit bukan rakyat sedangkan rakyat tidak hidup dalam vakuum. Apa saja keagungan, kekuatan akan hanya menyebelahi golongan elit. Semisal kisah Singapura dilanggar todak, bagaimana nasib anak kecil bijak yang menyelamatkan penduduk kampung, beliau dibunuh, lalu dihapuskan dalam sejarah kerana anak kecil itu bukanlah seorang elit. Lebih parah lagi, kezaliman-kezaliman elit ditutup, dan tidak dipaparkan dalam sejarah.


5. Sejarah dibaca dalam eksklusif galak dan fasis sehingga bukan jadi ubat tapi jadi beban. Mereka itu pendatang, kita ini tuan, juga kekuasaan elit yang zalim tidak boleh digugah antara ungkapan yang sering dimainkan, sepatutnya sejarah itu membawa cita sempurna, melahirkan kedamaian dan keadilan bukannya kerosakan, tetapi oleh kerana faktor sejarah semberono melahirkan masyarakat yang berpecah belah, mereka tidak lihat kaitan antara individu dan individu dan tidak mahu menjadikan sejarah sebagai kompas moral kehidupan. Bukankah sepatutnya ilmu itu membawa pembaikan? kenapa semangat fasis yang dilahirkan sambil mengklaim hanya sesetengah manusia, bangsa atau agama sahaja yang wajib hadir, memimpin dan dominasi dalam sesebuah negara?


6. Tidak memakai nilai universal merentas zaman. Tafsiran ini yang paling barbarik tidak faham mengapa mereka boleh mengubah nilai universal begitu sahaja. Jika sekarang bunuh itu salah disisi undang-undang, ada pula yang katakan bahawa bunuh sewaktu dahulu bukanlah sesuatu yang salah. Ini bercanggah dari sisi nilai universal. Sejarah ini dapat dibaca dalam teks Sulatus Salatin, banyak kisah bagaimana rakyat dibunuh oleh penguasa dan raja namun tidak pernah menjadi titik tolak nilai moral manusia yang membacanya. Nantinya segala kesalahan elit dan penguasa kita halalkan dek kerana nilai universal yang sering diubah-ubah.


7. Sejarah merapu, seperti menulis diari. Penulis seolah-olah orang berjalan-jalan ideanya melompat-lompat sekejap disentuh isu sejarah, peristiswa kemudian disambung pula dengan imaginasi penulis seolah-olah imaginasi itulah sejarahnya. Dikembangkan lalu merosak pemikiran pembaca-pembaca dengan imaginasi-imaginasi liar penulis.


8. Sampaikan pelajar tidak boleh bezakan sejarah akademis dan populis. Jangan jangan yang akademis pun turut sama menulis sejarah populis. Apabila sejarah tidak lagi melalui proses zaman dan hanya ditulis semata-mata untuk nama dan kononya “budaya ilmu” yang sebetulnya tidak membawa apa-apa pun dibimbangkan sejarah tidak difahami dengan betul dan dangkal.


KESIMPULAN


Saya akui sejarah itu tafsiran, dan sesiapa sahaja boleh menulis sejarah, tapi penulis sejarah harus bertanggungjawab dengan apa yang ditulisnya. Jangan jadikan sejarah sebagai alat tunggangan penguasa, elit dengan memaparkan psikologi feudal, fasis, kapitalistik dan isme-isme yang buruk lagi bagi menjustifikasikan sejarah-sejarah. Kita seharusnya sudah bergerak ke arah Active history, seperti yang ditulis oleh Vijay Parshad. Sejarah ini memaparkan sejarah dari kaca mata rakyat dan bukannya penguasa, elit, bangsawan semata, lalu melihat bagaimana penindasan berlaku terhadap masyarakat sepanjang penjajahan dan penguasaan. Kita perlu sejarah yang menghidupkan, menghidupkan jiwa-jiwa yang mati terhadap penindasan. Bukannya sejarah yang membutakan, mensenyapkan, membisukan, melupakan akhirnya memecah belahkan. “We are not makers of history. We are made by history” Martin Luther King. Jr.

65 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page