top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

7 HARI-HARI NERAKA DI VARANASI DAN AKU BERTEMU TUHAN

Oleh Syazwani M.




SELEPAS berminggu kami mengembara, maka sampailah kami ke bumi Varanasi pada pukul empat pagi dan bermula hari-hari yang memeritkan. Hotel yang dicari tidak ditemui, terserempak mayat dan juga anjing yang menakutkan cukup untuk melenakan tidur aku semalaman. Sewaktu tidur, aku termimpikan makhluk yang begitu seram mukanya membuatkan aku terbangun dari lena tidur dan beristighfar.


Keesokan harinya kami berpindah ke hotel yang tidak dijumpai semalam. Nama hotel tersebut adalah Shanti Guest House. Shanti dalam bahasa India bermaksud keamanan. Ya, memang hotel tersebut sangat aman dan sunyi dari orang. Tangganya amat tinggi dan bilik kami di tingkat 6. Amat sunyi sekali sehingga aku merasakan adakah hotel ini wujud?


Varanasi adalah antara daerah yang begitu padat dengan manusia. Terdapat satu sungai yang di panggil Sungai Ganges dan sungai ini dikatakan suci. Manikanirka Ghat, adalah satu tempat yang bersambung dengan sungai ini dan ia terkenal sebagai tempat pembakaran mayat. Namun bagi mayat yang datang dari keluarga miskin maka mayatnya tidak akan dibakar dan akan ditenggelamkan ke dalam sungai Ganges ini. Proses pelupusan mayat ini berlaku setiap minit, 24 jam sehari, 365 hari setahun dan tidak pernah berhenti. Ini kerana semua orang yang mati di sini, mayatnya akan dibawa ke sini untuk dilupuskan melalui proses suci ini.


Keesokan harinya kami berpindah sekali lagi ke hostel baru yang lebih meriah, House of Gypsy. Benar sekali, hostel kali ini amat meriah dan manusia tidak berhenti-henti datang dan pergi. Namun, masuk hari kedua bermula lah 7 hari-hari di Neraka kerana aku mula jatuh sakit selepas beberapa kali bermandikan hujan. Kepala mula sakit, badan mula panas, seluruh badan sakit yang amat. Maka seluruh hari aku terlantar di atas katil. Waktu yang paling memeritkan adalah ketika malam dan aku tidak dapat tidur kerana badan terlalu panas dan sakit. Begitulah hari-hari seterusnya.


Empat hari sudah berlalu, panas mulai redha, sakit mulai hilang hasil bantuan panadol yang ditelan. Namun selera makan sudah lama hilang, aku tidak mampu berbuat apa-apa, rasa hidup menjadi sedih dan masa silam datang menghantui berkali-kali ke dalam minda seolah-olah semuanya baru berlaku semalam. Aku mengetuk kepala ke dinding, ah siallah, ia cumalah masa silam.


"Manusia selalu memikirkan tentang masa silam, kalau bukan masa silam, masa hadapan, mereka selalu terlepas untuk menikmati masa sekarang, yang harus kita fikirkan adalah masa sekarang, apa yang patut kita buat sekarang kerana kita hidup pada masa sekarang”. Masih terngiang-ngiang di ingatan aku nasihat seorang terapi yang bernama Jordi. Aku bertemu Jordi di hostel dan kami bertukar-tukar cerita namun hari tersebut adalah hari terakhirnya di hostel kerana dia akan berpindah ke tempat lain yang ingin ditujunya.


Aku bangun dari tidur dan menguatkan tubuhku yang berat untuk mandi setelah beberapa hari terlantar di katil. Sewaktu mandi, masa silam masih menghantui satu demi satu muncul di ingatan. Aku teringat tentang seorang lelaki yang meninggalkan aku tanpa mengucapkan selamat tinggal, teringat kenangan sewaktu kami menari bersama. Aku menangis sekuatnya tanpa suara cuba untuk menikmati dan menjiwai kesakitan yang datang. Aku menjerit kepada Tuhan, kenapa sakit ini suka hadir tanpa diundang dan susah untuk pergi? Kenapa?


Tapi tiada jawab dari Tuhan.


Usai mandi, aku mengemas barang-barang biarpun masih berbaki sehari lagi di Varanasi. Aku menggarap buku yang ingin dibaca dan ipad untuk menulis dan aku keluar ke ruang tamu tempat dimana semua pengembara menghabiskan masa mereka duduk dan berinteraksi dengan yang lain. Aku duduk di balkoni berdepan dengan masjid sambil menghisap 'birri' sejenis daun yang diisi dengan tobako dan aku mengelamun dalam lagu Hotel California, lagu kegemaranku. Aku tersentak, seseorang berbisik kepada aku, dia mengatakan bahawa cinta yang kau cari ada dalam dirimu, kau dipenuhi dengan orang-orang yang menyayangi mu, kejarlah impian mu, tulislah apa yang kau rasa, teruskan hidup mu, bahagialah....Aku tersenyum dan aku teruskan mengelamun.


P/S:

Aku akhiri tulisan ini dengan puisi yang aku tulis semasa sedang high dengan bang lassi di Varanasi, India.


Keadaan aku sekarang? Gila, bang merasuki ku,

Semakin aku menari semakin rancak bang menusup diriku

Bunyi bergerak semakin perlahan, sekejap menjadi kuat sekuat guruh

Muka semakin mengecil dan membesar

Seperti cerita Alice in Wonderland

Sekejap berlaku sekejap seperti dalam mimpi

Apakah kegilaan ini

Buatku ingin menari tapi badan lemah

Sesemut seperti berjalan di dalam tubuhku

Merentasi salur darah lemakku

Di tanah air India, Varanasi

Baru ku tahu rahsianya

Rahsia gila bang si raja

Menjadi gila bila bertemu musik

Makin kuat musik bermain makin gila bang merasuk

Mengikut rentak lagu berirama

Hanya kenangan indah yang teringat

Semua masalah tiada lagi

Seperti bayi baru lahir ke dunia

58 views0 comments

Recent Posts

See All

コメント


bottom of page