Mahathir Baru merujuk kepada sosok Mahathir yang menjadi perdana menteri dan memerintah kerajaan Pakatan Harapan pasca pilihanraya umum ke-14. Ada yang mengatakan bahawa inilah era ‘Malaysia Baru’ yang sejujurnya penulis tidak tahu apakah yang baru itu. Sejak Mei 2018 sehingga sebulan lagi bakal menjengah tahun 2020, bahtera Pakatan Harapan kian bergelora dilambung ombak. Tidak menyakinkan. Silap hari bulan dipukul badai dan diterjah angin barangkali bisa karam di tengah lautan. Mahathir Baru adalah perdana menteri yang gagal kerana: 1) KEGAGALAN POLISI NEOLIBERAL. Kita sedia maklum sejak daripada Mahathir Lama (1982-2003) beliau sangat neoliberal dan pro-business didalam polisi ekonomi. Barangkali neoliberal ketika tahun 80an-90an adalah bentuk ekonomi yang berguna. Kita boleh lihat secara global juga banyak tokoh-tokoh besar politik dunia seperti Ronald Reagan dan Margaret Theatcher sangat neoliberal. Mereka mengalakkan penswastaan dan persaingan dalam ekonomi negara. Sememangnya Mahathir sangat terkenal sebagai ‘Bapa Penswastaan Negara’. Namun pada tahun 2019 ini, neoliberal adalah model ekonomi yang gagal. Ia telah menemui kebuntuan. Tidak menyelesaikan apa-apa masalah ekonomi negara. 2) KRONISME YANG TIDAK BERAKHIR Rentetan daripada neoliberal dan penswastaan itu maka lahirlah suatu budaya kronisme yang diperkenalkan oleh Mahathir dalam landskap politik negara. Malah saya berani mengatakan bahawa Mahathir ini adalah guru kepada kleptokrat Najib Razak. Najib Razak hanya ‘produk’ rantaian didikan Mahathir ketika didalam UMNO dahulu. Siapa sahaja yang tidak tahu betapa banyak projek-projek mega negara diberi kepada jerung-jerung kapitalis belaan Mahathir sehingga ke hari ini. Siapa sahaja yang tidak kenal kepada Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz dan ramai lagi kumpulan elit kaya yang menjadi kroni Mahathir. Ironi mereka-mereka inilah yang kita angkat sebagai hero dalam Council Eminent yang kononnya mahu memperbaiki ekonomi negara. Persoalannya, sehingga hari ini ekonomi Malaysia sudah makin baik, sama sahaja atau makin teruk? Jawapannya hanya anda yang mampu membaca sendiri. 3) MENTERI (SUPPORT-SYSTEM) YANG TIDAK KOMPETENSI. Mahathir Baru sangat malang jika hendak dibandingkan dengan Mahathir Lama. Mahathir Lama beruntung kerana mempunyai beberapa figura yang agak baik seperti Tun Ghazali Shafie, Tun Ghafar Baba, Ku Li dan lain-lain yang mempunyai karismatik politik. Jika dibandingkan dengan barisan kabinet Mahathir Baru ini sangat menyedihkan. Mahathir baru dikelilingi oleh badut-badut seperti Mat Sabu yang digelakkan dunia apabila bercakap soal terrorisme, Syed Saddiq budak yang tidak tahu apa-apa, Waytha Moorty menteri perpaduan yang datang daripada kumpulan ekstrimis kaum dan lain-lain. Mereka adalah liabiliti terhadap kerajaan pimpinan Mahathir Baru. 4) PERGADUHAN DALAMAN. Krisis dalaman kerajaan adalah bukan sesuatu hal yang tidak diketahui umum. Zaman millenial ini informasi maklumat sangat cepat tersebar. Tiada apa yang dapat disembunyikan. Tidak seperti zaman 80an-90an dahulu. Rakyat massa tahu sahaja bahawa ada ‘power struggle’ yang berlaku antara Mahathir-Anwar. Love-hate relationship ini masih belum berakhir. Didalam PKR juga semakin membarah luka antara kem Anwar dan kem Azmin. Kini ketika PRK Tanjung Piai kita dapat lihat pula pergaduhan antara DAP dan Bersatu. Kata-kata belakang ‘puak-puak DAP’ semakin terserlah dilihat rakyat. 5) TIADA HALA TUJU DAN PRINSIP YANG MENYAKINKAN. Mahathir Baru kelihatan sangat lemah dan tidak berprinsip. Sangat berbeza dengan Mahathir Lama. Mahathir baru kelihatan terdesak. Nak ambil hati para pengundi melayu maka dihadiri Kongres Maruah Melayu. Apabila para pengundi bukan melayu yang lain marah maka dihadiri pula program mereka. Dibawa pula naratif seperti aman, harmoni dan lain-lain dalam ucapan beliau. Sebenarnya apa yang Mahathir Baru ini cuba nak bawa? 6) TIADA PERUBAHAN SIGNIFIKAN. Semenjak Pakatan Harapan memerintah sehingga hari ini tiada perubahan signifikan yang berjaya dibawa oleh mereka kepada rakyat. Terutama hal-hal berkaitan ekonomi, kos sara hidup, isu pengangguran dan lain-lain yang mana kebanyakkannya masih belum lagi dipenuhi didalam manifesto mereka. Perkara asas inilah yang membuatkan rakyat membuang kerajaan BN dan berani untuk memilih kerajaan PH namun kelihatannya rakyat terus-terusan kecewa. Kemiskinan bandar makin melebar, pengangguran kian mencecah 516, 000 orang (lebih setengah juta), akta-akta drakonian masih tidak dihapuskan, kos sara hidup masih tinggi, anak-anak di Sabah dan Sarawak masih ramai tidak boleh ke sekolah, dan harga minyak dan tol masih tinggi ditanggung rakyat. Selagi mana hal-hal asas ini tidak diselesaikan oleh Pakatan Harapan maka bertambah tebal lah kebencian rakyat terhadap mereka. 7) MAHATHIR MASIH TETAP JADONG (JAHAT-BODOH-SOMBONG). Mahathir Baru sebenarnya masih sahaja sama dengan Mahathir Lama. Walaupun dosanya selama 20 tahun telah ‘suci dibaptis’ oleh para penyokong Pakatan Harapan namun Mahathir tetap seorang Mahathir. Sehingga kini tiada apa-apa penjelasan beliau mengenai kes-kes kejam beliau seperti Memali, Operasi Lalang dan Reformasi 1998. Berapa ramai yang terkorban dek keegoaan seorang Mahathir. Penulis bukan ingin mengungkit hal lama tetapi jika ingin bertaubat makanya harus berani mengakui kesilapan. Ini yang pertama sebelum kamu berlagak suci didepan manusia. Ini adalah integriti. Oleh kerana Mahathir rasa beliau sangat bagus maka sehingga hari ini beliau rasa hanya beliau sahaja seorang yang mampu menyelamatkan Malaysia. Dan kita rakyat yang bodoh ini berkhidmat dan menjamu segala keegoaan orang tua ini. Dan ada banyak lagi sebab kenapa Mahathir Baru adalah perdana menteri yang gagal...
top of page
bottom of page
Kommentare