HARI minggu seperti hari ni banyaklah jemputan perkahwinan yang perlu dipenuhi terutamanya menjelang cuti sekolah. Dalam mana-mana budaya masyarakat, perkahwinan adalah sesuatu yang normal. Begitu juga halnya dalam kerangka ideal masyarakat Melayu yang merasakan kehidupan normal seseorang manusia biasanya, belajar sehingga ke menara gading, memperoleh pekerjaan yang stabil dan seterusnya berkahwin dan beranak pinak. Kemudian, kitaran tersebut berulang kembali. Maka, mana-mana manusia yang terkeluar dari landasan perjalanan normal akan dianggap kurang dan terdapat sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Pertama, jika kita tidak disekolahkan maka benarlah kita kurang kerana pendidikan adalah keperluan yang patut diperolehi setiap manusia. Kedua, jika kita tiada punca pendapatan maka benarnya kita kurang kerana kita tidak mandiri dan perlu bergantung dengan orang lain. Namun begitu, benarkah jika kita tidak berkahwin atau tidak kekal dalam perkahwinan, kita perlu berasa kurang atau tidak berjaya? Di sini saya senaraikan 5 sebab mengapa perkahwinan tidak sepatutnya dianggap kejayaan. 1- PERKAHWINAN HANYALAH SATU PERJANJIAN. Akad secara literal dalam Bahasa Arab membawa maksud perjanjian atau kontrak. Perjanjian ini pula mudah kerana asalkan ada dua pihak yang berkehendak hidup bersama atas terma-terma tertentu, maka jadilah ia. Tiada pra-syarat yang begitu sukar untuk dipenuhi. Pandai bodoh, kaya miskin serta baik jahat semuanya boleh berkahwin. Jadi, mengapa perkara yang begitu mudah boleh dianggap kejayaan? 2- PERKAHWINAN TIDAK MENGANGKAT KEDUDUKAN SESEORANG LEBIH TINGGI. Sebenarnya apabila anda berkahwin, jangan perasanlah kedudukan anda lebih tinggi dari orang lain. Kalau sebelum berkahwin perangai macam haram, kalau kekal dengan perangai yang sama maka jangan haraplah anda dihormati orang hanya disebabkan perkahwinan. Anda dinilai dengan kelakuan baik, budi pekerti dan sumbangan dalam masyarakat. 3- PERKAHWINAN TIDAK MEMBERI TAKRIF DIRI. Tak kiralah betapa berpengaruh atau tingginya status pasangan anda, ia tidak menentukan nilai anda. Pengaruh dan status tersebut kekal milik dia dan bukan anda melainkan anda seseorang yang oportunis dan mengambil kesempatan terhadap perkara itu. Anda bukan sekadar suami si polan, isteri si polan atau menantu si polan. Alahai.. Kesiannya hilang identiti diri dan salah meletak takrif diri. Sepatutnya anda lebih dari itu. Diri anda adalah rangkuman fikiran, jati diri, pengetahuan, usaha dan pengalaman sendiri selama anda hidup. 4- PERKAHWINAN BUKAN INSTITUSI MUKADDAS. Ramai yang merasakan perkahwinan sesuatu yang kudus dan suci apatah lagi ianya dikaitkan dengan agama. Oleh itu, siapa yang memilih untuk tidak berkahwin dikatakan tidak memenuhi tuntutan agama dan ketidakmampuan untuk kekal dalam institusi sesuci ini, sudah tentu seseorang itu dianggap gagal. Inilah punca mengapa ramai yang sukar untuk melepaskan perkahwinan walaupun sudah hilang makna hidup bersama. Arasy bergegar kata mereka. 5- PERKAHWINAN TIDAK MENYEMPURNAKAN SESEORANG. Tanggapan bahawa dengan adanya pasangan barulah lengkap kehidupan tertolak kerana manusia sebenarnya sudah sempurna dijadikan Tuhan sebagai individu yang mampu memajukan diri sendiri dan mampu berdiri di atas kaki sendiri untuk membahagiakan dirinya bukannya perlu bergantung harap dengan orang lain. Kesimpulannya, 5 sebab di atas sekadar peringatan bagi mereka yang terlalu gemar menggembar-gemburkan betapa perkahwinan membahagiakan, yang lupa matlamat sebenar kehidupan dan yang jiwa kacau kerana tidak dapat berkahwin. Apabila kita secara sedar menganggap perkahwinan bukan kejayaan maka secara automatik penceraian juga tidak dianggap kegagalan. Individu yang masih bujang juga berupaya berfikir secara matang untuk memilih perkahwinan atau tidak. Mereka akan kalis tekanan luar sama ada dari keluarga atau masyarakat. Malah, ianya boleh mengelakkan ‘closeted people’ melakukan kezaliman terhadap orang lain hanya kerana mahu dianggap normal apabila berkahwin. Kehidupan kita, kita yang pilih. Jadi, jangan hidup berkisar tentang perhubungan atau perkahwinan sahaja. Fikir apa yang kita boleh sumbang pada masyarakat. Fikir apa cara untuk memerkasa diri. Bebaskan diri anda dari kerangka sempit yang menyesakkan diri.
top of page
bottom of page
Commentaires