top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

2020, TAHUN YANG BERAT BAGI AKU Oleh Syazwani. M

Tahun 2020 sepatutnya menjadi tahun yang berbeza dari tahun yang sebelum-sebelumnya kerana tahun 2020 adalah di mana Wawasan 2020 yang di rancang oleh Mahathir menjadi realiti dan Malaysia menjadi negara maju dengan 9 perkara yang ingin di capai.


Selain Mahathir, ramai juga manusia lain yang mempunyai perancangan mereka sendiri yang mungkin tiada kaitan dengan Wawasan 2020 termasuklah aku sendiri. Aku menyambut hujung tahun 2019 bersama teman-teman sehidup semati (housemates hanats) dan juga teman-teman yang rapat dengan masak di rumah sambil mengenang kembali perkara-perkara tahun 2019 yang memberi kesan dalam hidup. Kami memilih untuk sambut di rumah kerana lebih jimat dan duit tiada (gelak).


Jujur sekali, sebenarnya aku tiadalah perancangan yang tersusun untuk masuk tahun 2020 kerana aku seorang yang mengikut kata hati atau orang panggil “follow the flow”. Kata hati aku mengatakan untuk teruskan kerjaya sebagai peguam maka aku memulakan misi pencarian untuk menjadi pelatih dalam kamar sambil meneruskan aktiviti sosial aku sebagai aktivis. Hampir saja aku berputus asa kerana tiada satu pun firm yang menghubungi semula dan temuduga yang sepatutnya aku hadir telah dihadiri oleh pemohon yang lain kerana waktu itu sedang gempar dengan isu nelayan di Pulau Pinang.


Apa yang berlaku adalah kerajaan Pulau Pinang telah memulakan satu projek tolak tambak untuk membuat Pulau Jadian di sekitar Pulau Pinang yang akan menjejaskan sumber rezeki para nelayan di sana sejak turun temurun. Maka aku dengan teman-teman yang lain sibuk mengumpulkan mahasiswa di sekitar Lembah Klang untuk turun pada hari protes yang dijalankan di Pulau Pinang. Terinspirasi oleh sejarah mahasiswa di Indonesia yang berjaya menjatuhkan regim diktator Suharto membenihkan kepercayaan bahawa mahasiswa adalah agen perubahan negara namun realitinya di Malaysia bukan semudah yang diimpikan.


Kebanyakan mahasiswanya telah menjadi mandom, bodoh dan buta sosial (social blindness) akibat Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Di media sosial begitu rancak menulis mengutuk kerajaan Pulau Pinang namun apabila diminta untuk turun ke jalan bersama-sama untuk bersolidariti bersama para nelayan, langsung senyap. Namun, masih ada yang kisah dan turun biarpun hanya berbelas sahaja. Hapus projek tolak tambak!, laung para nelayan, masyarakat, mahasiswa dan aktivis-aktivis alam sekitar. Projek pulau jadian itu tetap berjalan dan telah diluluskan oleh kerajaan pusat tanpa persetujuan masyarakat Pulau Pinang.


Penantian adalah suatu penyiksaan jika tiada berbuat apa-apa. Apalah guna zaman Industri Revolusi 4.0 ini jika manfaatnya tidak digunakan. Maka dengan menggunakan aplikasi Tinder yang sudah lama bertapak di Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu, aku men”swipe” skrin telefon pintar untuk mencari orang baru yang aku rasakan kena dengan citarasa aku.


Bermacam jenis lelaki yang aku temui di Tinder. Bermula dengan perbualan sambil menghirup air yang menghilangkan haus di tekak dan menghembus asap hingga lena ditelan malam yang dingin. Aku adalah seorang yang sangat suka dengan perbualan antara muka bertemu muka.


Mr. A, lelaki pertama yang aku kenal di Tinder adalah ketika aku berada di Kathmandu, Nepal. Untung kerana kami pernah berjumpa di satu bar pada hari sebelumnya. Aku “like” lalu terus match kerana dia lebih awal like profile aku. Maka kami terus berjumpa petang itu di sebuah kedai makan yang tidak jauh dari tempat tinggal kami berdua. Pada awalnya kejanggalan menyelimuti suasana. Seperti mengupas kulit mangga, lapisan demi lapisan, kami makin mengenali satu sama lain. Mr. A adalah orang asal di daerah Kathmandu yang berasal dari kasta bernama Pradhan. Bahasa inggerisnya lebih hebat dari aku. Umurnya lebih kurang aku dan bekerja di bahagian media. Hampir 3 jam kami bercerita tentang politik di Nepal yang begitu menarik sekali dan akhirnya kami berdua bersetuju perkara yang paling bermasalah di Nepal dan Malaysia adalah masalah korupsi. Kerajaan Nepal dipegang oleh parti dari aliran kiri namun setelah beberapa tahun memerintah, menteri-menterinya mula korup kerana dipengaruhi oleh duit dan kuasa.


Mr. A merasakan bahawa pemerintahan Monarki harus dikembalikan kerana mengikut sejarah Monarki di Nepal, rajanya banyak membantu rakyat dari segi pembangunan dan ekonomi di Nepal. Namun berbeza di Malaysia kerana monarki di sini sangat jauh dari rakyat, malah seolah-olah tiada fungsinya, kami bertukar cerita. Malam sudah mula melabuhkan tirainya, Mr. A membawa aku jalan-jalan di pekan dan membawa aku ke satu bar yang berada di atas rooftop yang suasanya begitu romantik. Aku sangat sukakan kedai makan/bar yang berada di rooftop.


Hari seterusnya, Mr. A membawa aku jalan-jalan melihat istana-istana lama dan menceritakan tentang sejarah disebaliknya. Sehingga akhirnya kami harus berpisah kerana aku akan berangkat ke tempat seterusnya. Begitulah lelaki yang seterus dan seterusnya. Melalui Tinder aku dapat mengenali pemikiran bermacam manusia yang aku temui. Malaysia, New York, Bangladesh, Pakistan, Iraq sehingga ke Nepal, semua ada keistimewaan mereka tersendiri dan pengalaman hidup yang aku boleh ambil untuk jadikan sebagai sesuatu pengajaran hidup, kenangan indah dan ngeri di dalam hidup.


“'Cause we're the masters of our own fate

We're the captains of our own souls

There's no way for us to come away

'Cause boy we're gold, boy we're gold”


Lagu Lana Del Rey, Lust for Life bermain-main di fikiranku. Benar, kita adalah tuan kepada nasib diri sendiri dan kita adalah ketua kepada jiwa sendiri. Kita tentukan bagaimana untuk menghadapi dunia ini namun kena jelas dengan apa yang kita lakukan. Sebagaimana yang dikatakan oleh George Hegel di dalam “The Phenomenology of Mind”


“Hanya dengan mengambil risiko hiduplah kebebasan dapat dicapai..seseorang yang tidak berani mempertaruhkan hidupnya, tidak diragukan memang, dapat diakui sebagai Peribadi, tetapi dia tidak akan mencapai hakikat pengakuan tersebut, yakni sebagai suatu kesadaran diri yang mandiri”


Sebenarnya ramai rakyat Malaysia yang menggunakan aplikasi Tinder ini. Melayu, Chinese, Indian, Borneo semuanya ada. Sebabnya bermacam, ada yang mencari teman hidup, ada yang mencari “friends for benefit”, teman untuk melancong dan banyak lagi. Bagi aku, Tinder ada kebaikan dan keburukannya. Terpulang kepada kita sendiri bagaimana untuk menggunakannya. Pengalaman bertemu dan mengenali manusia yang lain adalah sesuatu pengalaman yang mahal bagi aku kerana manusia adalah ciptaan Tuhan yang sangat indah hanya melalui satu perbualan sudah memuaskan bagi aku.


Akhirnya Tuhan mendengar keluhan aku. Aku diterima masuk sebagai pelatih dalam kamar di sebuah firma yang kecil sahaja. Temuduga bersama Tuan Peguam yang menjadi “Master” aku ini adalah temuduga yang paling menarik aku pernah lalui. Beliau tidak langsung merujuk “resume” aku dan menyuruh pelatih dalam kamar yang lain memberitahu situasi sebenar cara bekerja di firma ini. Kemudian, Master aku bertanyakan sama ada aku sanggup atau tidak, dan aku menjawab aku sanggup. Maka bermulah hari-hari mendatang yang penuh dengan fail di atas meja, kes mahkamah dan perjumpaan bersama klien.


Corona..Corona..


Virus Corona telah merebak ke seluruh dunia bermula dari daerah Wuhan di China tersebar hingga ke Itali. Malaysia tidak terkecuali. Ucapan Muhyidin Yasin, Perdana Menteri dari kerajaan pintu belakang yang telah dibentuk selepas kerajaan Pakatan Harapan digulingkan oleh menteri-menteri gila kuasa menandakan bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Satu hadith Nabi Muhammad s.a.w bermain-main di dalam kepala aku yang berbunyi “Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (Hadis riwayat Imam Muslim). [8].


Jika difikirkan semula berkenaan pesanan Nabi ini sebenarnya adalah pesanan yang masuk akal dan logik supaya virus itu tidak tersebar dan kekal di tempat yang terjangkit sahaja. Sangat besar hikmah disebalik Hadith ini jikalau dapat dipraktikkan, kemungkinan beribu nyawa dapat diselamatkan jika manusia yang dijangkiti awal-awal oleh virus Corona ini tidak berhijrah ke tempat lain dan kekal di tempat yang dijangkiti virus ini sahaja.


Sebenarnya, kejadian Virus Corona ini telah menunjukkan kelemahan sistem-sistem yang telah dicipta oleh manusia kononnya untuk menjaga kelangsungan manusia itu sendiri khususnya di Malaysia. Di sinilah kita dapat lihat sistem kesihatan di negara kita adakah ia dapat mengatasi masalah yang telah timbul hasil dari virus Corona. Juga menunjukkan sisi-sisi kejijikan manusia yang melahirkan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap bantuan kerajaan yang hanya diberikan kepada golongan B40 sahaja. Mereka lupa bahawa tujuan bantuan itu adalah untuk membantu golongan yang tidak mendapat keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian bukannya untuk memberikan keuntungan kepada bisnes-bisnes yang telah terjejas akibat virus Corona ini.


Juga menunjukkan sisi-sisi ketidakadilan undang-undang di negara kita. Terdapat satu kes yang telah dilaporkan di media sosial berkenaan perbandingan antara seorang makcik yang melanggar PKP yang telah didenda sebanyak RM1000 dengan anak kepada Zahid Hamidi yang juga melanggar PKP dan hanya didenda sebanyak RM800.


Setelah berkurung di rumah selama dua bulan lebih. Maka kerajaan telah mengumumkan bermula 4 Mei, sektor ekonomi boleh beroperasi namun perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Maka, aku pun gigih menyiapkan fail-fail kerja yang telah diberikan untuk dikerjakan di rumah kerana pejabat firma aku akan beroperasi seperti biasa.


Aku akhiri penulisan ini dengan satu pengharapan, biarpun telah banyak nyawa terkorban, namun kerja-kerja humanisasi haruslah terus dilakukan untuk membebaskan manusia dari penindasan dan agar menjumpai hakikat diri mereka yang sebenar-benarnya di muka bumi ini.

8 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page