16 HARI BERAKTIVISME TERHADAP KEGANASAN BERASASKAN GENDER! OLEH Andi Suraidah.
- rabiatuladawiyah233
- Dec 10, 2019
- 3 min read
APA ITU?
Perasan atau tidak kewujudan kempen ini di media sosial atau di mana-mana platform lain? Ini merupakan kempen tahunan antarabangsa yang bermula pada 25 November bersempena Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keganasan terhadap perempuan, dan berlangsung sehingga 10 Disember, Hari Hak Asasi Manusia. Ini juga menandakan bahawa keganasan terhadap perempuan merupakan pencabulan hak asasi manusia.
BOLEH JELASKAN LAGI?
Kempen ini dah bermula semenjak tahun 1991 lagi, lebih kurang 28 tahun lepas. Saban tahun, tema baharu diperkenalkan atau tema lama diteruskan. Untuk tahun ini, tahun 2019, tema yang diketengahkan adalah "Orange the World: Generasi Kesetaraan Menentang Pemerkosaan!” Sepanjang tempoh 16 hari inilah pelbagai kempen dari lokal hingga global dianjurkan untuk menyeru, meraih dan meningkatkan kesedaran, menguatkan advokasi dan berkongsi pengetahuan untuk mencegah dan menghapus keganasan terhadap perempuan dewasa dan kanak-kanak. Di dalam konteks ini, saya suka untuk merangkum keberagaman jenis perempuan, yakni tidak tertakluk sekadar cis-gender, malahan transgender dan lain sebagainya.
Jika ditinjau sejarah kempen-kempen terdahulu, jelas kelihatan pergerakan secara organik yang asalnya fokus pada keganasan yang dilakukan terhadap perempuan, dibuka untuk lebih merangkum keberagaman perempuan dan isu-isu perempuan dari masa ke semasa. Tapi satu yang tidak pernah tergugat adalah pemusatan tema ke atas hak asasi manusia.
KENAPA WARNA ‘ORANGE’ EH?
Pemaknaan daripada pemilihan warna jingga bagi tema kali ini adalah untuk menyatukan para aktivis di seluruh dunia untuk menarik perhatian ramai terhadap pelbagai bentuk keganasan yang menghalang perempuan dewasa dan kanak-kanak daripada mencapai potensi penuh mereka.
KEGANASAN TERHADAP PEREMPUAN KAT MALAYSIA, ADA KE?
Di serata dunia, termasuk Malaysia, pencabulan hak asasi perempuan dewasa dan kanak-kanak masih terus berlaku. Contoh paling dekat adalah perkahwinan kanak-kanak, masih ada 7 buah negeri yang menolak untuk menggubal undang-undang negeri masing-masing untuk meningkatkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kedua-dua kanak-kanak lelaki dan perempuan. Disebalik banyak bukti dan penyelidikan yang perkahwinan kanak-kanak akan merugikan, bukan setakat ke atas diri kanak-kanak tersebut, malahan kepada keluarga dan/atau kepada negara akhirnya.
Kes-kes lampau yang tertera di dada-dada akhbar, menunjukkan ketempangan di dalam undang-undang dilihat sebagai peluang melarikan diri daripada pertuduhan pemerkosaan bawah umur. Hak asasi kanak-kanak Muslim dicabuli di tangan pemegang tampuk kuasa yang besar egonya berselindung disebalik topeng agama. Di peringkat antarabangsa pula, hampir 750 juta kanak-kanak yang hidup hari ini berkahwin sebelum ulang tahun ke-18 mereka; sementara 200 juta perempuan dewasa dan kanak-kanak telah menjalani khitan perempuan.
Keganasan terhadap perempuan yang beragam pula terlalu banyak, seolah-olah keganasan adalah norma masyarakat Malaysia pada hari ini. Ada yang buta, ada yang tutup sebelah mata, ada pula yang celik tapi tak endah. Sering kali ia diterima sebagai tingkahlaku biasa dan budaya global mendiskriminasi perempuan membenarkan keganasan berlaku sewenang-wenangnya. Pergerakan terkini seperti #MeToo dan #TimesUp telah mendorong isu ini ke peringkat antarabangsa. 1 daripada 3 perempuan dewasa dan kanak-kanak dikasari secara fizikal atau seksual sepanjang hidup mereka, dan pelaku keganasan kerapkali adalah pasangan intim masing-masing. Fakta daripada United Nations ini disokong oleh data di Malaysia, bahawa 1 daripada 10 orang kanak-kanak di Malaysia mengalami penderaan seksual. Manakala pelaku, 95% adalah bapa atau bapa tiri.
APA YANG SAYA BOLEH LAKUKAN?
Walaupun lelaki lazimnya adalah pelaku keganasan berasaskan gender, ia tidak mengecualikan lelaki daripada menjadi mangsa. Maka dengan itu, kempen sebegini memerlukan penglibatan kesemua orang di dalam setiap lapisan masyarakat. Bersuara tentang pelanggaran hak asasi perempuan dewasa dan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama. Setiap daripada kita terdedah menjadi mangsa pencabulan. Sertai kempen ini dengan menggunakan hashtags: #GenerationEquality #orangetheworld dan #spreadtheword.
SELAMAT HARI HAK ASASI MANUSIA!
Comments