Oleh: W.N Khuzairey
PENDAHULUAN
SESIAPA yang bercita-cita menjadi atau sudah pun menjadi seorang guru haruslah wajib membaca penulisan dari seorang figur pendidikan kritikal dan radikal iaitu Paulo Freire. Paulo Freire dan terma pendidikan kritikal itu seumpama isi dan kuku dan tidak mungkin bisa dipisahkan.
Lahir di Brazil iaitu di daerah bernama Racife pada pada 19 September 1921. Dia dibesarkan dalam keluarga yang sangat demokratis serta mengutamakan dialog dalam setiap keputusan dan perbincangan faktor ini telah mengakibatkan tokoh ini berfikiran sangat terbuka dalam setiap apa yang dikerjakan terutama sekali dalam mendidik.
Pemikiran kritikalnya hadir ketika banyak membaca karya-karya yang ditulis oleh Karl Marx, Maritain, Bernanos dan Mounier juga tidak terlepas ahli filosof lain semisal Erich Fromm, Jean Paule Satre, Friederich Nietzche, Antonio Gramsci dan pelbagai lagi nama sewaktu usianya muda.
Bukunya yang paling terkesan berjudul Pedagogy of The Oppressed merupakan sebuah buku bagi membebaskan kaum tertindas dalam dunia pendidikan yang bersangkut paut dengan realiti. Bagi Freire manusia perlu berpihak dan tidak boleh bersikap neutral kerana sekolah apabila didirikan sudah penuh dengan agenda politik.
Oleh itu, Freire ada menggariskan 10 sistem pendidikan yang buruk baginya akan mengherot pelajar kepada penindasan lalu menumpulkan pemikiran kritis manusia.
10 IDEA BURUK MENGENAI PENDIDIKAN
1. Guru mengajar, murid belajar.
Apa yang buruknya sekiranya guru itu hanya mengajar? Ya, dan sistem ini juga terpakai di seluruh sekolah kita. Tapi awas, apabila guru mengajar dan murid hanya belajar tiada dialog akan berlangsung dalam kelas. Jika tiada dialog di dalam kelas masalah-masalah sebenar pelajar tidak dapat diselongkar dan diketahui. Apa kemahuan pelajar kita, apa potensi mereka, apa kesusahan yang sedang mereka alami, malah bagaimana mahu mengetahui perkembangan mereka juga akan gagal.
2. Guru tahu segalanya, murid tidak tahu apa-apa.
Ini sering berlaku. Di dalam kelas sekolah mahupun universiti ada guru yang sering berlagak seperti dewa yang maha tahu segalanya. Guru itu diumpamakan seperti jag yang penuh berisi air, murid-murid seperti cawan. Tugas guru hanya menuangkan air kedalam cawan tersebut. Maka berlakulah proses dimana penerangan panjang lebar dari guru tanpa mengambil kira bahawa murid-murid juga punyai idea dan pemikiran mereka sendiri yang perlu guru tahu. Jadi sepatutnya proses belajar itu merupakan proses dua hala, bukan sehala. Guru dan pelajar mampu menambah pengetahuan mereka melalui proses tersebut.
3. Guru berfikir dan murid difikirkan.
Ia tidak ubah seperti bank. Guru mendepositkan ilmu, memberikan apa saja yang dirasakan guru itu baik tanpa memikirkan keadaan dan situasi pelajar. Pelajar harus menerima deposit itu lalu memulangkannya kembali seperti apa yang diharapkan guru pada kertas peperiksaan. Tidak boleh ada penambahan atau penolakkan. Sekiranya murid gagal melalui proses ini, maka murid akan dikategorikan sebagai pelajar yang lemah, tidak boleh bersaing malah tidak berdisplin. Sekolah sudah berubah dari pusat perkembangan manusia ke pusat latihan tentera.
4. Guru bicara dan murid mendengarkan.
Tidak boleh ada persoalan kritikal. Misalnya mengapa kemiskinan terjadi, siapa pelaku kemiskinan, apa kesan kemiskinan dan mengapa kemiskinan berlanjutan. Guru hanya membicarakan apa yang mahu dibicarkan sesuai dengan apa yang telah digariskan dalam kurikulum. Tugas murid hanya mendengar dan mencatat. Maka akan lahirlah pemikiran satu arah, hitam dan putih sedangkan dunia ini punyai warna kelabu.
5.Guru mengatur dan murid diatur.
Siapa yang perlu bercakap? siapa yang perlu lulus dan siapa yang perlu gagal kesemuanya diaturkan oleh guru. Murid tidak punyai kebebasan dalam pengaturan dirinya sendiri di sekolah. Pelajar harus duduk bila guru bicara, pelajar haru menulis apa yang guru tuliskan di papan putih, pelajar harus menyiapkan soalan yang guru beri dengan cara yang sama. Wal hal murid itu seperti cap jari mempunyai trademark yang berbeza, memaksakan pelajar melalui jalan yang sama hanya akan merosak daya kreativiti mereka.
6. Guru memilih dan memaksakan pilihannya, murid menuruti.
Inilah yang sering terjadi dahulu. Sewaktu saya di sekolah gurulah yang menentukan saya perlu duduk di aliran mana sama ada sains mahupun sastera. Dan sepertinya sains itu dilihat lebih tinggi kedudukannya berbanding sastera. Maka berbondong-bondonglah pelajar yang mempunyai banyak ‘A’ dipaksakan untuk memasuki bidang sains yang kadangkala tidak dimahukan oleh pelajar. Tetapi oleh kerana sistem ini sudah direka sebegitu maka pelajar tidak dilatih untuk berfikir hanya dipaksakan untuk menuruti apa yang sudah dipilihkan.
7.Guru bertindak, murid membayangkan bagaimana sesuai dengan tindakan gurunya.
Guru menjadi asas kepada imaginasi pelajar. pelajar hanya memikirkan tindakan yang sesuai dengan apa yang dimahukan oleh seorang guru. Pelajar tidak melakukan sesuatu tindakan kerana merasakan bahawa tindakan itu tepat atau benar sebaliknya pelajar akan melakukan tindakan yang sesuai dengan apa yang digariskan, dikehendaki dan difahami oleh guru.
8. Guru memilih apa yang diajarkan, murid menyesuaikan diri.
Tidak kisah apa kaedahnya, sama ada menyalin, mendengar dan hanya melihat. Guru tidak pernah bertanya pada murid kaedah pengajaran bagaimana yang mereka inginkan sama ada melihat alam sekitar, berfikir bersama, berdialog, bertukar-tukar pandangan dan sebagainya. Guru menetapkan kaedah pengajaran mereka, maka guru akan membawa rotan dan alat-alat yang menakutkan pelajar semata-mata mahu pelajar menuruti apa yang dimahukan, jika tidak hukuman akan dikenakan. Keadah violence ini merupakan yang paling ampuh untuk memperlihatkan kekuasaan, ini seperti apa yang pernah ditulis oleh Frantz Fanon dalam Wretched of the Earth.
9. Guru menggunakan professional guru dan mempertentangannya dengan kebebasan murid.
Oleh kerana dia seorang guru, maka pelajar tidak boleh membantah, mempersoal apatah lagi mengkritik. Sedangkan pendidikan itu tujuannya memperkembang minda pelajar, bukannya memetakkan sesuai dengan apa yang dimahukan guru. Dari sini akan berlakulah konsep tuan-budak. Dimana adanya ketua yang lain hanya mengikuti apa yang diajarkan.
10. Guru adalah subjek proses belajar dan murid objeknya.
Ini lebih penting, pada akhirnya pendidikan itu bukan terfokus pada murid walaupun sebetulnya pendidikan itu untuk murid sebaliknya pendidikan yang kita alami kini adalah untuk guru. Menyengangkan segala kerja guru, mengambil segala idea guru tanpa mempersoal. Di sinilah dimana proses politik itu berlaku. Murid dibentuk sesuai dengan ideologi seorang guru. Dan gurulah yang menjadi titiknya bukan murid. Wal hal sekolah diciptakan untuk manusia berkembang, kesudahannya gagal.
KESIMPULAN
Filem Hitchki mengingatkan saya pada dialog “tiada istilah murid yang gagal sebaliknya guru yang gagal mendidik.” Hari ini sedar atau tidak kita sedang berhadapan dengan 10 sistem pendidikan yang buruk seperti apa yang digariskan oleh Paulo Freire. Jadi apa yang perlu kita lakukan seterusnya? Saya tutup dengan pesanan dari Freire:
“No pedagogy which is truly liberating can remain distant from the oppressed by treating them as unfortunates and by presenting for their emulation models from among the oppressors. The oppressed must be their own example in the struggle for their redemption”
댓글