top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

SOALAN SOALAN SEPUTAR FORUM PEREMPUAN, SASTRA DAN SEKSISME DI MALAYSIA Oleh Nur Adilla

Refleksi soalan-soalan ini disediakan bagi menjawab soalan-soalan yang diberikan oleh iqra.id[i], satu organisasi media keislaman popular yang bertujuan mengembangkan tradisi literasi dan juga penganjur forum Perempuan, Sastra dan Seksisme. Nur Adilla adalah salah seorang panelis forum berkenaan.


1. Peran perempuan secara historikal dalam dunia sastra di negara masing-masing.

Menyorot sejarah teks sastera Malaysia, peran perempuan sentiasa wujud dalam karya-karya klasik dan karya moden. Paling menonjol, antara novel pertama yang dihasilkan di Malaysia pada tahun 1925, yakni hampir 100 tahun lalu, adalah Hikayat Faridah Hanom yang ditulis oleh Syed Sheikh Al-Hadi – seorang peguam dan pelopor gerakan agama reformis melalui gerakan Kaum Muda. Berketurunan Arab serta mendapat pendidikan agama di Universiti Al-Azhar Mesir, novel Faridah Hanom memaparkan watak wanita yang mempunyai kesedaran tinggi mengenai hak dirinya dan kebebasan memilih dan mendapatkan pendidikan tinggi seperti yang diberikan kepada lelaki.


Selain itu, novel-novel terawal lain seperti Iakah Salmah? (Ahmad Rashid Talu), Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (Ahmat Kotot), Melur Kuala Lumpur (Harun aminurrashid), yang dihasilkan anta 1920-1930an. Meskipun semuanya memaparkan peran perempuan yang rata-ratanya menuntut emansipasi dan kebebasan dari patriaki, semua novel ini ditulis oleh lelaki.

Jadi ada dua isu yang perlu ditekuni di sini – cerita tentang wanita dan penulis wanita.


Penulis wanita yang menulis novel muncul pada tahun 1941 melalui novel Cinta Budiman karya Rafiah Yusuf dan Dua Pengembara karya Kamariah. Terdapat beberapa novel lain yang diterbitkan lewat 1940an seperti Cincin Kahwin oleh Jahlelawati (1948), Panggilan Ibunda oleh Kamariah Sadon (1948), Gadis Sipu dan Puteri Asli (1949) oleh Adibah Amin yang ketika itu masih berusia belasan tahun.


Dekad 1960/70 an ke atas menyaksikan kehadiran penulis-penulis wanita prolifik seperti Adibah Amin, Khadijah Hashim, Zaharah Nawawi dan Fatimah Busu melalui novel-novel mereka yang kuat seperti Seroja Masih di Kolam, Badai Semalam dan Ombak Bukan Biru. Ketika ini jugalah muncul novel Salina (1961) yang begitu terkenal sehingga ke hari ini dan ditulis oleh Sasterawan Negara A. Samad Said.


Selepas itu, pada period 1990-an, saya juga harus menyebut beberapa nama-nama seperti Aminah Mokhtar, Azmah Nordin, Nisah Haron, Mawar Shafei, Seroja Theavy Balakrishnan dan lain-lain yang menulis sehingga menang sayembara dan peraduan-peraduan penulisan kebangsaan. Selain itu, penulis novel populis wanita yang lazimnya berkisarkan cinta muda-mudi muncul sekurang-kurangnya pada period yang lebih kurang sama. Nama seperti Norhayati Berahim, Aisya Sofea, Syarifah Abu Salem dan Anis Ayuni. Novel populis ini masih begitu mendominasi penjualan karya fiksyen di kedai-kedai buku Malaysia dan majoritinya ditulis oleh wanita.

2. Bagaimana relasinya dengan dunia kepengarangan yang lebih dihegemoni oleh sebuah kultur patriakal?

Saya tidak menyebut tadi, tetapi dua penulis wanita terpenting yang perlu disebut adalah Sasterawan Negara Zurinah Hassan (2015) dan Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail (2019). Di Malaysia, anugerah Sasterwan Negara adalah tertinggi yang diberikan kepada penulis sastera (Bahasa Melayu) yang mula diberikan kepada penulis sastra prolifik yang dianggap begitu terkedepan dalam sumbangannya kepada persuratan Melayu. Anugerah ini mula diberikan pada tahun 1981. Sehingga kini, terdapat 14 penulis sastera yang telah diberikan anugerah ini oleh Kerajaan Malaysia.


Namun begitu, daripada 14 orang SN ini, hanya ada dua perempuan. Itupun setelah kira-kira 34/35 tahun anugerah ini diperkenalkan, pada 2015 barulah kita menyaksikan Dr Zurinah Hassan, seorang wanita yang menulis puisi-puisi hebat dalam tema yang rencam menerima anugrah ini. Kemudian, tahun lepas, Prof Zainon menjadi SN yang ke-14. Kita melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang membanggakan kerana anugerah SN dikatakan mengambil kira kualiti dan merit sepenuhnya. Tidak ada kuota.


Tetapi, fenomena ini membuatkan kita terfikir apakah sebelum ini, memang tiada penulis wanita yang layak sedangkan nama-nama seperti Adibah Amin (yang menulis karya-karya kuat) dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Khadijah Hashim misalnya menulis cerita-cerita dengan tema dan bahasa yang kuat tetapi tercicir daripada penerimaan anugerah ini.

Soalan lain yang boleh kita teliti adalah fenomena ramai wanita yang menulis dan begitu berpotensi tetapi berhenti menulis setelah terbit karya pertama atau kedua mereka. Yang paling mengesankan adalah Salmi Manja yang juga isteri kepada Sasterawan Negara A Samad Said. Salmi Manja ini, pada masa mudanya, dikatakan merupakan novelis yang berpotensi lebih prolifik daripada bakal suaminya. Tetapi, selepas berkahwin, rajuk apa yang telah menyebabkan Salmi mengeringkan penanya?


Jika kita mahu membedah fenomena ini, ianya tidak lari daripada dunia kepengarangan yang dihegemoni oleh sebuah kultur patriarkal seperti yang disoal tadi. Pertamanya, semua tahu betapa menulis ini memerlukan kerja keras dan menuntut masa yang banyak. Apakah wanita rata-ratanya mempunyai ruang untuk membaca, mengembara dengan bebas, bereksperimen dan berpengalaman dengan hidup sebebasnya untuk mendapat inspirasi dan kekuatan untuk terus menulis? Kita dengan mudah boleh mengatakan di saat wanita tidak diberikan pendidikan setinggi yang diberikan oleh lelaki, wanita berkahwin misalnya, yang telah menjadi isteri dan ibu, tidak dapat menikmati ruang-ruang yang diperlukan ini.


Dalam sebuah forum beberapa tahun yang lepas, saya menjadi moderator bagi sebuah forum dengan Dr Zurinah Hassan. Beliau sendiri menyebut bahawa bukanlah sesuatu kebiasaan wanita segenerasi beliau yang lahir sebelum merdeka (Zurinah lahir pada 1949) untuk mendapat kebebasan-kebebasan seperti yang saya sebutkan tadi. Zurinah antara seorang dua di kawasan tempat tinggalnya yang mendapat pendidikan tinggi sedangkan wanita lain, cukuplah tahu tulis dan baca dan kemudian akan dipersiapkan dengan kemahiran memasak dan menjaga keluarga, supaya dapat menjadi ibu dan isteri yang baik apabila segera dikahwinkan kelak.


Ini bermakna, saya jamin terdapat ramai lagi wanita yang berpotensi untuk menjadi sasterawan yang baik, tetapi peluang dan ruang tersebut tercantas dek kerana amalan hidup masyarakat yang patriaki dan memberikan pelbagai kelebihan sosial kepada lelaki. Perempuan penulis yang berkahwin dan perlu mengfokuskan kepada ruang-ruang domestik yang begitu berat sebelah dan membebankan sehingga tidak dapat mengembangkan potensi penulisan masing-masing.


Di samping itu, jika melihat sejarah, kebanyakan penulis sastra datang daripada karier sebagai wartawan atau guru. Seperti fenomena dunia, Malaysia tidak terkecuali yakni selalunya hanya lelakilah yang bekerja manakala perempuan atau isteri duduk rumah menjaga keluarga. Sekarang, mujur, keadaan sudah banyak berubah.


Ini belum lagi jika kita melihat gatekeeper atau penjaga pintu masuk ke penerbitan-penerbitan sastera yang dipenuhi oleh lelaki. Editor dan bos-bos besar yang menentukan penerbitan lazimnya lelaki. Masalahnya bukanlah kelelakian mereka itu. Yang menjadi masalah adalah sikap. Apakah mereka sedar dengan masalah sosial patriaki ini? Jika editor perempuan sekalipun, namun jika memegang sikap patriaki misalnya mengenakan sekatan-sekatan berlebihan kepada penulis wanita. Wanita tidak wajar menulis sebegini, sebegitu kerana adat Timur kita wanita harus hanya menulis hal-hal yang sopan dan santun, tidak perlu terlalu kritikal atau dianggap canggung wanita mempersoal isu-isu politik. Ini salah. Ini diskriminasi. Ianya wujud dan berakar dalam masyarakat kontemporori.


3. Apakah sastra di negera kamu telah mampu menyuarakan bahkan membebaskan kaum perempuan dari subordinasi?

Walaupun sejarah menyaksikan bahawa tema emansipasi wanita merupakan antara tema terawal yang dikemukakan dalam teks sejarah sastera moden, tema tersebut kurang berkembang dengan baik dan agak berulang, dan lazimnya naratif emansipasi ini bersifat linear dan kurang kompleks sekaligus tidak menggambarkan kompleksiti masalah patriaki dalam masyarakat semasa.

Saya mahu membawa satu kajian yang bagus mengenai fenomena ini yang dilakukan oleh Dr Norhayati Abdul Rahman dari Universiti Malaya. Tajuk kajiannya Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Suatu Bacaan Ginokritik. Menurut kajiannya, jika hendak dibandingkan dengan penulis wanita Indonesia, penulis wanita Malaysia rata-ratanya masih tidak seekspresif seperti di Indonesia. Saya baca sedikit dapatannya (hlmn. 301):

“Pengarang wanita di Malaysia pula didapati menyampaikan isu-isu wanita yang terbatas pada permasalahan tertentu yang bersifat umum dan terpencil. Oleh yang demikian, isu-isu yang bersifat peribadi dalam kehidupan wanita tidak didedahkan dalam penulisan novel terutamanya persoalan yang melibatkan tabu dalam masyarakat. Sekiranya kecenderungan ini wujud, ia dipaparkan dengan cara yang lebih tertutup, tidak berani dan tidak berterus-terang. Dalam situasi tertentu, pengarang seolah-olah cuba mengelakkan diri daripada memperkatakan isu-isu yang dianggap sebagai tidak sopan, tabu atau bersifat politik subversif. Hal ini dapat dikaitkan dengan situasi sosiobudaya yang melingkungi masyarakat Malaysia (…) Pengarang di Malaysia berkarya dalam situasi yang agak terkawal dan situasi tersebut turut memberi kesan kepada pola pemikiran dan ragam penulisan. Hakikat ini turut mempengaruhi pembentukan puitika sastera wanita di Malaysia dan mewujudkan perbezaan pada corak penulisan novel antara pengarang wanita Indonesia dan Malaysia


Tetapi, saya kira (dan sangat berharap) trennya sudah berbeza dan lebih progresif kini. Oleh kerana semakin banyak penerbitan mandiri-mandiri (atau lazimnya di Malaysia, penerbitan kecil-kecilan ini dirujuk sebagai penerbit indie), wanita lebih bebas bahkan memang bebas untuk menulis apa sahaja yang ia mahu. Karyanya diterbitkan dan dijual di toko-toko buku besar sampai dibicarakan oleh massa. Antaranya, adalah Fazleena Hishamuddin yang memang sangat signifikan pengikut beliau terdiri dari kalangan anak muda, wanita dan lelaki. Karya-karya beliau, terutamanya kumpulan cerpennya, Tari Pasar Perempuan, memang kuat memaparkan isu-isu yang didepani wanita dari ruang domestik sehinggalah ruang kerjaya dan ruang awam.


Kewujudan ruang-ruang ini mungkin akan mengambil masa sedikit sebelum dapat dioptimumkan oleh lebih ramai penulis-penulis wanita yang bagus. Tetapi yang penting, ruang berkarya yang demokratik harus ada. Itu adalah hak wanita.


Ruang-ruang inilah yang akan menjadi medan asah bakat penulis wanita. Apabila diterbitkan, dibicarakan karya-karya mereka, secara tidak langsung penulis-penulis wanita ini akan lebih yakin dan menjadi prolifik kelak.


Ini hanya satu, penulis wanita yang menulis sastera Bahasa Inggeris apatah lagi. Ini juga agak terlepas dari radar wacana awam sebab sastera Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di Malaysia tidak berada dalam ‘dunia’ dan perkembangannya tidak selari. Penulis wanita sastera Bahasa Inggeris dari Malaysia ramai juga yang menang pelbagai anugerah antarabangsa. Karya mereka banyak membawa cerita narasi kewanitaannya misalnya Saras Manickam dalam cerpennya My Mother, Pattu yang menang peraduan cerpen Commontwealth peringkat Antarabangsa atau Shih-Li Koh melalui novelnya The Sum of Our Follies cetakan Silverfish Books[ii] yang mendapat anugerah Prix du Premier Roman étranger di Perancis.


Di Malaysia isu kesenjangan akses ilmu melalui bahasa juga tak pernah selesai, tetapi masih belum cukup dibicarakan dengan matang. Komuniti multibahasa memang wujud dan berkembang dengan sastera masing-masing tetapi malangnya, ia tidak bersekali. Ada pengkarya bagus dari kalangan wanita yang menulis dalam Bahasa Inggeris seperti nama di atas tetapi tidak didendang sebagai penulis atau sasterawan di Malaysia.


Saya lihat perkembangan sastera positif walaupun banyak yang boleh diperbaiki lagi. Ini tentulah kerana wanita sekarang semakin bebas bergerak, berpendidikan, dan jika berkahwin (walaupun masalah patriaki di ruang domestik masih sistemik) ramai wanita yang mendapat suami dan keluarga yang menyokong kerjayanya sebagai penulis. Semudah sama-sama menjaga anak dan mengemas rumah, memasak pun dapat meringankan beban wanita di rumah dan memberinya lebih masa untuk membaca dan menulis. Ini penting.


4. Apa saja bentuk perlawanan kaum perempuan melalui karya sastra?

Ini menarik sebab perlawanan kaum perempuan lagi-lagi dalam karya sastera kini merangkumi pelbagai isu. Tentulah isu pembebasan dan emansipasi wanita adalah satu isu diperkatakan. Tetapi, lagi-lagi melalui puisi, ramai wanita yang membawa isu pendidikan, kemiskinan, kritikan pada politik, falsafah. Saudara-saudari boleh ikut Facebook Tukang Puisi, sebuah gerakan mandiri yang banyak menerbitkan puisi-puisi wanita, mewacanakan pula puisi-puisi ini lewat program di alam maya.


Jika sastra Bahasa Inggeris pula, lazimnya wanita menjadi peran sentral dalam karya-karya penulis. Bukan sahaja isu emansipasi, perlawanan yang kerap dibawa adalah rasisme atau sikap perkauman dalam masyarakat Malaysia. Perlawanan ini penting dan masih agak ekslusif pada sastera Bahasa Inggeris kemungkinan besar kerana penulis-penulis sastra Bahasa Inggeris di Malaysia terdiri daripada mereka yang bukan Melayu. Atau mungkin, wacana anti-perkauman lebih banyak (atau lebih selesa) diadakan dalam bahasa selain Bahasa Melayu? Pada saya, wacana penting untuk menimbulkan kesedaran. Dan wacana yang berkualiti adalah komplementari kepada penghasilan karya-karya sastera yang berkesedaran dan berkualiti.


5. Apakah bentuk bentuk Seksisme dalam sastra?

Saya mahu bercerita tentang pengalaman saya sendiri di mana saya menghantar satu cerpen yang mempunyai watak wanita yang lebih kuat dari lelaki. Pada suatu hari, editor menghubungi saya dan mengatakan bahawa dia mahu menerbitkan karya saya hanya jika saya mengubah perwatakan peran wanita tersebut menjadi lebih lemah dari lelaki. Ada beberapa komentarnya yang juga tidak puas hati kenapa saya memaparkan watak lelaki yang berpendidikan tinggi dan beragama dalam cerpen saya, tetapi pengotor. Dia bilang itu tidak masuk akal.


Saya merasa canggung sebab mengapakah cerita saya didiktat sedemikian rupa. Dan mengapa kita merasa bermasalah untuk memaparkan watak lelaki yang dikira ‘tidak sempurna’ dalam karya sastera? Ini seksisme yang saya yakin ianya tidak dikenakan kepada penulis lelaki.


Jika lelaki menulis, mereka jauh lebih bebas. Jika lelaki kritikal dalam wacana atau menawarkan cerita dengan peran yang kompleks dan tidak linear, mereka akan dipuji pintar dan penting. Persoalan mereka dianggapi dengan serius.


Ramai wanita yang saya kenali tidak dilayan dengan sedemikian rupa. Ada ketidaksedaran (subconscious) yang memandu diskriminasi halus terhadap wanita ini.


Tambahan, saya rasa komuniti pembaca juga penting. Pembaca dan penulis berkualiti saling memerlukan. Tapi saya tidak rasa kita cukup pembaca dan pewacana yang kritikal akan seksisme dan wacana gender serta feminisme melalui sastera. Ada pembaca lelaki yang tidak mahu membaca karya yang tekal dengan cerita dan permasalahan wanita kerana katanya, penat membaca cerita pasal perempuan sahaja. Ramai lelaki yang saya kenal tidak mahu membaca karya yang ditulis penulis perempuan.


Apabila tidak kritikal dan tidak empati serta tidak berjujur dengan aspirasi perubahan dan pemberdayaan, maka lahirlah pembaca sebegini.


Idea pemerkasaan penulis wanita juga saya rasa boleh gagal jika kita asyik menyalahkan produktiviti penulis wanita yang dikatakan sangat kurang menulis berbanding lelaki. Untuk melawan seksisme, komuniti sastera perlu menilai mengapa wanita dikatakan kurang menulis berbanding lelaki tersebut? Keluarga – ibu, bapa dan suami yang mempunyai anak atau isteri yang berpotensi sebagai penulis, berikan mereka ruang untuk mengasah pena, menulis dan membaca. Hentikan beban ganda terhadap penulis wanita yang berkeluarga supaya wanita terus produktif dan mempunyai masa untuk menulis dan berkreatif.


Apabila perempuan atau lelaki menulis, lagi-lagi tentang isu gender dan emansipasi-- wacanakan, timbulkan kesedaran dan bedahlah seksisme dalam sastera, dan perbaiki keadaan. Jangan meremeh-remeh cause atau gerakan feminisme atas sebab-sebab prejudis. Bersikaplah, saya jamin, keadaan akan berubah.

6. Apakah perlawanan ini khusus kaum perempuan atau bisa juga dari kalangan laki-laki. Jika laki-laki turut bergabung, apakah peran mereka secara khusus? Berikan contoh dari negara kamu.

Lelaki sebagai sekutu melawan patriaki, diskriminasi dan seksisme amatlah penting. Ada dua contoh terkini yang saya lihat penting dalam memeriahkan perkembangan sastera di Malaysia iaitu dua platform penerbitan karya atas talian yang serius iaitu Tukang Puisi[iii] (bagi puisi) dan Cukaria[iv] (bagi cerpen, namun malangnya Cukaria sudah tidak beroperasi lagi). Kedua-dua penerbitan ini ditangani oleh editor lelaki. Tetapi, mereka terbuka menerbitkan pelbagai tema dari penulis perempuan termasuklah cerita-cerita yang lazimnya dianggap taboo untuk diperkatakan. Dalam Cukaria contohnya, cerpen Bintang Kartika dan Regina Ibrahim membawa pelbagai cerita-cerita peran wanita yang kompleks, wanita yang mendepani masalah agama, cinta, peranan dalam ruang domestik sebagai ibu dan sebagainya. Cerpen mereka dibaca meluas dan disukai. Paling penting, isu-isu kewanitaan yang dibawa dalam cerpen-cerpen mereka diwacanakan di ruang awam yakni media sosial.


Hal yang sama dengan Tukang Puisi. Tukang Puisi menyediakan ruang demokratik penerbitan puisi yang bagus yang memberikan platform untuk massa mengenali pemuisi muda seperti Quratul Aini, Hidayu Hatta, Syaheeda Hamdani, Wardah Puteh dan ramai lagi. Pemuisi ini juga bukan terhad membicarakan isu wanita, tetapi turut memperkatakan isu-isu sosial yang penting seperti krisis pemodenan, pendidikan, eksistensialisme dan kemiskinan.

Kebebasan wanita untuk menulis semahu mereka, untuk menulis dengan kesedaran mereka sebagai wanita adalah amat-amat penting. Dan karya sastra yang bagus adalah karya sastra yang menimbulkan perbincangan tentang kerencaman masalah sosial. Lelaki (dan wanita) perlu ingat dan mengamalkan ini. Jangan disekat-sekat wanita yang menulis. Mereka punya cerita mereka, pengalaman unik dan tersendiri. Biarkan mereka membawa cerita-cerita ini ke tengah karya mereka sendiri dan ke ruang awam.


Kebebasan dan merasa bebas ini penting untuk memacu keyakinan diri dan produktiviti penulisan. Ini masih kurang dan perlu sama-sama kita perbaiki.


Pengkritik dan ahli akademik sastera termasuklah lelaki juga perlu mempunyai kesedaran ynag tinggi tentang permasalahan patriaki ini. Tidak boleh sewenangnya merasakan bahawa kerana penulis lelaki lebih mudah dan bebas diterbitkan ceritanya, maka penulis lelakilah yang lebih baik untuk bercerita tentang perempuan.


Isu patriaki dan emansipasi perlu dipandang serius dan dibicarakan seperti kita menanggapi isu kemiskinan, kesenjangan pendapatan, Pembangunan, pendidikan dan lain-lain. Tidak boleh sewenangnya anggap partriaki dan feminisme adalah isu Barat dan bertentangan dengan Islam, maka tidak perlu difikirkan.


Kita perlu mewujudkan ekosistem sastera yang mempunyai kesedaran sosial yang tinggi. Beban memberi sedar bukan atas bahu penulis semata-mata.


7. Apakah masa depan sastra feminis di negara kamu?

Di satu sudut, saya merasa sangat positif melihat perkembangan semasa. Di satu sudut yang lain, saya agak risau sebenarnya. Wacana sains sosial lagi-lagi wacana feminisme belum berkembang dan progresif selaras masa yang semakin moden. Inikan pula sastera feminisme. Ada ramai lelaki dan wanita yang saya kenali melalui lingkung aktivisme dan akademik yang merasa cukup dengan usaha-usaha terpencil mereka seperti menyambut Hari Wanita dikira sudah feminis, menulis tentang perempuan yang terberdaya tetapi tidak meraikan jika wanita mengkritisinya. Tetapi jika lelaki yang mengkritik, dikira anak yang pintar dan kritikal. Inilah patriaki. Ini pemerhatian peribadi saya melalui penglibatan dalam komuniti aktivis.


Feminis pula. Apabila bersantun dalam menegur, yang patriaki tidak dengar tetapi apabila feminis marah, mereka bilang perempuan feminis ini tidak boleh dibawa berbincang pula. Kemudian mulalah tembakan-tembakan ad hominem yang menggagalkan agenda pemerkasaan.


Peremehan isu seksisme dan aktivisme pemerkasaan wanita ini agak barah di Malaysia. Tidak banyak lelaki yang dengan terbuka akan mengatakan bahawa, nah ini saya feminis, atau hey karya sastera feminisme penting untuk diwacanakan. Pengalaman wanita penting untuk didengari.


Banyak yang meremehkan sahaja. Paling merisaukan, feminisme dianggap perjuangan kafir, terikut-ikut dengan Barat dan tidak sesuai dengan Islam. Mereka kata apa yang Rasulullah lakukan supaya wanita tidak lagi dijadikan harta warisan bukan kategori tindakan feminis. Ada ketakutan yang besar terhadap perkataan feminisme, emansipasi, patriaki ini. Oleh sebab takut, orang tak mahu bicara. Wacana tenggelam. Takut penulis yang mahu membawa isu ini merasa, ah buat apa menulis jika tidak dibaca maka dia pun tidak menulis. Saya agak risau.


Tetapi, saya tahu penulis wanita kuat. Ramai yang semakin berkesedaran kerana mereka merasai sendiri pengalaman dibesarkan dalam masyarakat patriaki. Mereka mahu keadaan ini berubah maka mereka terus menulis. Mereka terus menegur untuk mengkoreksi walaupun digelar apa pun. Ada juga lelaki yang berkesedaran, sebagai editor, rakan penulis, pembaca atau penerbit yang nampak masalah ini dan mahu membetulkannya. Mereka mungkin kata apa yang mereka usahakan itu bukan feminisme, tetapi ianya memang tindakan feminisme dan pemerkasaan maka kita sokong dan harap usaha tersebut berterusan.


Saya optimis sastra feminisme, komuniti sastra yang feminis akan terbentuk jika usaha melawan diskriminasi berterusan di Malaysia dan negara-negara jiran. Apa yang berlaku di Indonesia dan Singapura, sedikit sebanyak dibicarakan di Malaysia dan yang baik-baik harap akan memberi impak seumpamanya juga.


Kita semua saling memerlukan. Perempuan, lelaki, Malaysia, Indonesia, Singapura, rantau Asia-- adalah tanggungjawab kita semua untuk memastikan patriaki iaitu ketidakadilan kepada perempun ini, tidak terus berlaku.

[i] iqra.id : https://www.facebook.com/id.iqra/?ref=page_internal [ii] Silverfish Book : https://www.facebook.com/SilverfishBooks [iii] Tukang Puisi : https://www.facebook.com/tukangpuisiMY [iv] Cukaria : https://www.facebook.com/Cukaria

171 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page