top of page
Search
  • Writer's pictureAdmin Baik Hati

KETIKA PEMUJA KARL MARX BERLARI DI PANTAI MALDIVES

Oleh Nursyuhaidah A. Razak.




KETIKA pemuja Karl Marx berlari-lari di pantai Maldives, saya masih di sini - mencari makna. Perlahan-lahan perasaan ‘’ingin buat baik’’ saya terhakis. Malah saya merasakan ianya bermasalah. Rendra berkali-kali menyindir, maksud baik saudara untuk siapa//mengapa maksud baik dan maksud baik berlaga//saudara berdiri di pihak yang mana - tiga baris di dalam puisi ini diulang-ulang membuat saya seperti mendapat wahyu. Saranan Tuhan Berlumba-lumbalah kamu dalam berbuat kebaikan.. agaknya telah menghumban orang-orang baik di dalam kebodohan. Malam itu saya lihat lagi buktinya di dataran Chow Kit. Baju-baju terpakai dibungkus dengan kotak dan plastik sampah kemudian dilonggokkan. Orang-orang baik berdiri di sisi kereta mewah menjadi pemantau. Anak-anak tidak diajar untuk bergaul dengan betul, tetapi diajar untuk melihat komuniti jalanan ini seperti ayam yang menguis-nguis dedak yang mereka taburkan. Dan ketika pemuja Karl Marx berlari-lari di pantai Maldives, saya jadi runsing melihatnya. Saya mahu menghentikannya dari berlari dan bertanya - mengapa etika dan tanggungjawab tidak mahu ditumpukan komuniti Islamis lebih dari pahala dan syurga?


Namun soalan itu begitu lucu untuk ditanya kepada pemuja Karl Marx, jadi saya biarkan dia terus berlari.


Saya masih ingat warna langit pada 20 Februari 2018, hitam dan ngeri. Langit seakan berkabung dengan anak-anak pinggiran yang sekian lama disepikan. Kaji selidik dari UNICEF tentang kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak miskin bandar memberi tamparan maha dahsyat sehingga sesiapapun yang kehilangan kekasih pada ketika itu tidak sempat merasakan kesakitannya malah menulis sakit patah gigi sama dengan sakit patah hati pun tidak akan sanggup. Pejuang-pejuang kemanusiaan tersedu-sedan menangis di tangga PPR mengenangkan hampir satu daripada empat kanak-kanak terbantut sedang tertindas di daerah paling kaya di Malaysia iaitu Putrajaya. Barangkali jika memikirkan buah-buahan yang mahal sampai 97% isi rumah tidak mampu menyediakan hidangan sihat kepada anak-anak, sesiapapun tidak akan sanggup menayang ikan mewah di timeline Facebook dan pemuja Karl Marx sendiri mungkin tidak jadi berlari di pantai Maldives. Atau jika masih mahu berlari, barangkali beliau berlari sambil berteriak kepada saya - Kami banyak bergaduh di dalam, orang luar apa tahu?


Dan hari ini, langit yang hitam dan ngeri itu bertempur lagi. Pejuang-pejuang kemanusiaan sekali lagi tidak senang duduk menyaksikan Philip Alston dan Azmin Ali berperang. Satu melaungkan 15%, satu lagi mempertahankan 0.4%. Berapa peratus sekalipun kadar kemiskinan tegar sebenar yang cuba disorok Azmin Ali, dataran Chow Kit masih jadi tempat bermain anak-anak miskin bandar, orang-orang baik masih membungkus pakaian-pakaian terpakai dengan plastik sampah dan pemuja Karl Marx akan tetap berlari-lari di pantai Maldives. Kemanusiaan borjuis yang dikutuk Pramoedya - Kasihan mereka, tapi jangan ganggu kesenangan dan kemakmuranku akhirnya telah membuat ‘’pemihakan untuk manusiawi’’ terkubur lebih awal di dalam liang lahad di makam pahlawan. Lalu terpaksalah Pramoedya bertalkin di tepi kubur itu, ‘’Humanisme universal yang memang indah didengar kuping dan direnungkan dengan sepenuh perasaan, tapi justeru dia diajarkan untuk meneutralkan aspirasi politik.’’ Terjerit-jerit marahlah pemuja Karl Marx saat ini - Azmin Ali bodoh. Tapi jangan ganggu kebahagiaanku berlari di pantai Maldives…


Hitam langit menjadi lebih ngeri. Saya fikirkan hanya sastera yang mampu jadi pengganti senjata api dalam melawan polemik kekuasaan. Namun seseorang membisik kepada saya - sastera sendiri sebenarnya sudah mati. Pelantikan sasterawan ke-14 barangkali hanya dijadikan modal untuk kapitalis-kapitalis buku dan pempamer. Kemanusiaan apa yang harus dibela dan ketidakmanusiaan mana yang harus dilawan tidak jadi perbincangan dan matlamat jelas penulis-penulis muda sastera. Karya sastera kekal terperuk di dalam lingkungan yang sama sementara penulis-penulisnya mengeluh masyarakat tidak dekat dengan sastera. Barangkali ramai yang sedang bersedap-sedapan dengan John F. Kennedy yang memurnikan autoriti dan penguasa dengan sastera sambil berkhutbah - jika politik itu kotor, puisi akan membersihkannya. Jika politik bengkok, sastera akan meluruskannya.


Dan saya masih di sini - mengamati pemuja Karl Marx berlari.

217 views
bottom of page